“Kemurungan: Jom Bincang” merupakan tema sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2017 yang disambut pada 7 April setiap tahun. Kenapakah tema tersebut menjadi fokus utama sedunia dalam fraterniti kesihatan? Kemurungan atau depresi merupakan penyakit yang kerap berlaku di seluruh dunia sama ada di negara maju atau sedang membangun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati peningkatan populasi yang mengalami masalah kemurungan adalah lebih daripada 18% di antara tahun 2005 sehingga 2015 dan lebih daripada 300 juta orang kini mengalami masalah kemurungan. Di Malaysia, 4 daripada 10 orang dianggarkan terlibat atau mengalami masalah kesihatan mental dalam kehidupan mereka. Angka ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Tidak mustahil, kemungkinan ada di antara kita juga tergolong dalam statistik tersebut kerana kesukaran untuk mengenalpasti simptom-simptom kemurungan yang wujud dalam diri sendiri.
Situasi yang membimbangkan ini menjadi satu ancaman yang wujud di persekitaran kehidupan setiap orang saban hari. Ia juga menjadi cabaran getir yang perlu dihadapi dan ditangani dalam sektor penjagaan kesihatan secara lokal atau global. World Bank pula menjangkakan 340 juta daripada populasi dunia akan mengalami kemurungan pada tahun 2020. Apa yang lebih merisaukan, pada tahun 2030, dijangkakan kemurungan klinikal akan menjadi penyakit yang paling melumpuhkan kehidupan individu disebabkan ia mengambil tempoh masa yang lama dan mengganggu keupayaan seseorang menjalani aktiviti kebiasaan.
Di seluruh dunia, perbelanjaan oleh kerajaan yang diperuntukkan untuk kesihatan mental hanya mewakili 3 peratus. Negara yang berpendapatan rendah hanya kurang daripada 1 peratus dan negara yang berpendapatan tinggi pula memperuntukkan 5 peratus dalam sektor kesihatan mental. Oleh itu, dalam meningkatkan tahap kesihatan mental serta menambahbaik perkhidmatan kesihatan mental masyarakat, kerajaan juga perlu mengambil langkah yang komprehensif memandangkan beban penyakit berkaitan mental semakin meningkat. Dan tidak hairanlah kempen kemurungan dan kesihatan mental terus menjadi fokus dalam dunia kesihatan pada hari ini.
Kerajaan perlu melihat isu kesihatan mental secara holistik dengan meningkatkan fasiliti untuk mengurangi beban penyakit berkaitan masalah mental. Ia juga termasuk menambahbaik keperluan rawatan dalam kesihatan mental dan juga menambah bilangan pakar psikologi dan psikiatri dalam perkhidmatan kesihatan negara agar isu dan masalah ini tidak terus kritikal dalam masyarakat kita.
Kemurungan menjadi masalah serius dalam masyarakat yang memberi impak kepada setiap aspek kehidupan. Malah, kemurungan yang teruk akan membawa kepada kes bunuh diri di mana telah mencatatkan hampir 800,000 jumlah kematian pada setiap tahun. Kesan ekonomi yang dampak apabila seseorang mengalami kemurungan bukan sekadar kepada individu tersebut malah kepada majikan juga kerajaan. Individu yang mengalami kemurungan akan menyebabkan kurang upaya untuk bekerja dan ini akan memberi kesan kepada majikan secara keseluruhannya. Produktiviti akan menjadi semakin merosot akibat ketidakhadiran pekerja disebabkan gejala kemurungan seperti kelesuan, kurang tidur, hilang selera makan dan sakit-sakit badan. Di pihak kerajaan pula akan memberi kesan pengurangan penerimaan cukai dan peningkatan dalam perbelanjaan kesihatan dan kebajikan. Kos yang ditanggung akibat kurangnya produktiviti pekerja di tempat kerja disebabkan oleh kemurungan dianggarkan sebanyak USD 1 trilion setahun.
Keparahan masalah kemurungan ini mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Tetapi situasi ini menular dan semakin membarah dalam masyarakat sekiranya tidak ditangani dan dirawat dengan sewajarnya. Wujud perasaan malu dan tidak mahu untuk mendapatkan rawatan awal bagi mereka yang menderita kemurungan. Ini juga disebabkan oleh faktor stigma masyarakat terhadap pesakit yang mempunyai masalah mental. Masalah ini tidak seharusnya dipandang remeh dengan pelbagai persepsi negatif terhadap mereka yang mengalami masalah kemurungan.
Diskriminasi masyarakat yang timbul menjadi halangan utama bagi mereka yang menderita kemurungan atau masalah berkaitan mental untuk mendapatkan rawatan pemulihan dengan segera. Keterbukaan masyarakat dan positif terhadap pesakit yang mengalami kemurungan akan memberi sokongan dan bantuan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.Sseterusnya dapat mengelakkan diri daripada terus dilanda kemurungan dan hilang pertimbangan yang akan memudaratkan kualiti kehidupan. Sesetengah individu menganggap masalah kesihatan yang berkaitan mental bukanlah sesuatu yang serius seperti penyakit lain. Ini akan menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan malahan ada diantaranya mendapatkan rawatan yang tidak sewajarnya. Akhirnya, permasalahan ini kian meruncing kerana tidak dirawat secara mengakar.
Seharusnya langkah awal perlu diambil dengan mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin jika mengalami kemurungan dan kerisauan berlanjutan dalam tempoh melebihi dua minggu bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk. Masalah dan tekanan hidup yang dihadapi, sekiranya tidak dikawal dan ditangani dengan sewajar akan menyebabkan menyebabkan kemurungan klinikal yang berpanjangan. Dalam hal ini, Allah telah mengungkapkan dalam al-Quran menerusi surah al- Baqarah ayat 155-156 yang membawa maksud: “Sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut terhadap musuh, kelaparan, dan kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Justeru, sebagai orang Islam, menghadapi kesusahan dan tekanan kehidupan perlu diatur dengan perasaan tenang, rasional dan sabar dengan apa jua ketentuan Allah SWT di samping menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin.
Bantuan dan sokongan moral daripada keluarga dan individu di sekeliling pesakit amatlah penting setelah dikenalpasti mengalami kemurungan. Pemantauan yang berterusan daripada pihak tersebut membantu untuk mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku. Sokongan sosial dan penerimaan masyarakat ini akan membantu mereka meneruskan cabaran kehidupan kerana masih merasai diri disayangi dan diberi perhatian.
Pada hari ini ramai pesakit yang berkecenderungan untuk mendapatkan rawatan bomoh apabila mengalami masalah mental dan tidak merujuk kepada pakar psikiatri atau psikologi. Ini merupakan cabaran dalam dunia kesihatan mental. Oleh itu, perlu ada langkah dalam memberi kesedaran kepada masyarakat memilih saluran rawatan yang bersesuaian sekiranya menghadapi masalah. Di samping itu, rawatan terapi berunsurkan Islam perlu diintegrasikan dengan ilmu dan kepakaran profesional kesihatan yang sedia ada dalam merawat pesakit yang mempunyai masalah dalam kesihatan mental memandangkan aspek teologi dalam hal ini juga tidak boleh dikesampingkan.
Walau bagaimanapun, rujukan segera kepada pakar psikiatri dapat mengurangkan kesan negatif daripada masalah mental yang dihadapi tersebut. Masyarakat juga perlu dididik untuk meningkatkan tahap kesihatan mental serta mengelakkan stigma dan prejudis terhadap masalah tersebut. Ini kerana, pendidikan amat penting dalam meningkatkan literasi dan kesedaran berkenaan isu kesihatan mental supaya ia dapat dibincang secara terbuka dan dikenalpasti permasalahan daripada awal.