Amalan yang berkait dengan pseudosains sering berlaku di sekililing kita. Misalnya, kita diberitahu bahawa dengan memakan jus A, kita akan dapat mengubati penyakit kencing manis, tanpa perlu mengawal pemakanan dan mengambil ubatan yang diberikan di klinik dan hospital.
Bagi menarik perhatian awal, kita dipaparkan dengan testimoni seorang individu yang menghidap penyakit kencing manis sebulan sebelum mengambil jus A. Kemudian, kita dikejutkan testimoni daripada individu yang sama selepas dua bulan mengamalkan jus A. Testimoni tersebut menunjukkan beliau sudah berjaya sembuh daripada kencing manis dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa kesan daripada mengamalkan jus A.
Tanpa banyak soal, individu-individu yang terdesak kerana telah lama berasa perit menghidap kencing manis terus mendapatkan jus A dengan harapan ia akan memberikan kesan seperti yang digambarkan oleh testimoni tadi.
Pilihan untuk mendapatkan jus A tersebut dibuat tanpa mengesahkan kesahihan tesimoni yang dibuat, apatah lagi mengesahkan secara saintifik mekanisma yang digunakan oleh jus A dalam “mengubati” penyakit kencing manis seperti yang didakwa.
Selain daripada produk-produk kesihatan, amalan pseudosains digunakan untuk melariskan produk kegunaan harian seperti pelekat yang didakwa berupaya meminimumkan penggunaan petrol motokar meskipun telah melalui perjalanan yang jauh, atau kad ajaib yang boleh mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di rumah sekiranya ditampal pada kotak fius elektrik.
Keajaiban dan kesaktian yang diwar-warkan mengaburi mata masyarakat walaupun secara hakikatnya, keberkesanan yang didakwa itu tidak dapat untuk dibuktikan secara ilmiah kerana ia merupakan dakwaan yang bersifat palsu, atau secara istilahnya dikenali sebagai pseudosains.
Psedosains (pseudoscience) merupakan istilah yang merangkumi dua perkataan iaitu pseudo dan science. Pseudo merupakan perkataan Greek yang memberi maksud palsu atau pura-pura. Perkataan science pula berasal daripada perkataan Latin iaitu scientia yang membawa maksud pengetahuan. Pseudosains melibatkan sesuatu dakwaan, kepercayaan atau amalan yang didakwa sebagai sesuatu yang saintifik tetapi tidak bertepatan dan tidak dapat dibuktikan dengan kaedah ilmiah dan saintifik.
Amalan pseudosains secara umumnya tidak memberikan kesan yang ketara. Namun, ia menjadi amalan yang membimbangkan apabila ia melibatkan penipuan dalam pemasaran dan memudaratkan nyawa apabila mula menunjukkan campur tangan dalam perkhidmatan kesihatan.
Sehubungan itu, bagi mengelakkan daripada diperdaya oleh agenda pseudosains, pengetahuan tentang ciri-ciri pseudosains amat diperlukan. Terdapat beberapa ciri psedosains yang penting untuk diketahui.
Pertama, antara ciri pseudosains yang perlu diberikan perhatian ialah kecenderungan membuat dakwaan tentang sesuatu perkara secara keterlaluan. Misalnya, seseorang mengatakan bahawa dengan memakan tablet A, ia boleh mengubati 10 penyakit secara serentak tanpa perlu mengawal pemakanan, tanpa perlu bersenam dan tanpa ubatan hospital. Dalam amalan perubatan, setiap penyakit berbeza-beza antara satu sama lain dan perlu dirawat dengan kaedah yang tersendiri.
Kedua, dakwaan-dakwaan yang dibuat disandarkan kepada anekdot atau pendapat peribadi daripada individu yang tidak dikenali dan tidak dapat dipastikan kewujudannya serta kesahihan ceritanya. Misalnya, seseorang yang membuat dakwaan tentang produk A dalam ciri yang pertama meneruskan dakwaan dengan mengatakan bahawa “kawan saya baru sahaja menggunakan tablet A selama dua bulan. Kini, beliau sudah sembuh daripada 10 penyakit.” Malangnya, identiti kawannya tersebut tidak dapat dikenal pasti, apatah lagi mengetahui tentang kebenaran ceritanya.
Ketiga, amalan pseudosains bergantung kepada penilaian dan pengesahan yang subjektif dan bias tentang sesuatu fenomena. Misalnya, Ahmad menyapu gel B di kepalanya. Selepas lima jam Ahmad mendapati sakit kepalanya telah hilang. Dalam pemikiran pseudosains, gel B disimpulkan sebagai penyembuh sakit kepala. Sedangkan, dalam tempoh lima jam itu terdapat banyak perkara lain yang berlaku atau banyak perkara lain yang dilakukan oleh Ahmad tetapi tidak diambil kira semasa kesimpulan dibuat. Perkara-perkara lain tersebut berkemungkinan menyumbang kepada sembuhnya sakit kepala tetapi diabaikan oleh amalan pseudosains kerana sikap pseudosains yang bias terhadap gel B.
Keempat, dalam menyampaikan idea dan kesimpulan, pseudosains sering bersifat selektif terhadap data-data. Pseudosains mengambil kira data-data yang memihak kepadanya dan mengabaikan data-data yang tidak memihak kepadanya. Misalnya, seseorang dikatakan boleh menentukan penyakit-penyakit yang dihadapi oleh orang lain berdasarkan pemerhatian terhadap corak mata. Mereka yang mempercayai kebolehannya itu menerima sebarang pernyataan individu tersebut yang kelihatan tepat tetapi mengabaikan ramalan-ramalannya yang tidak benar.
Kelima, mereka yang mengamalkan pseudosains kerap menggunakan istilah rekaan yang kedengaran saintifik tetapi tidak dapat difahami secara jelas dan seringkali bertentangan dengan prinsip saintifik. Misalnya, seseorang mengatakan bahawa larutan D menghasilkan gelombang bau yang boleh merangsang dan membaiki gelombang otak. Hakikatnya, dalam ilmu sains fizik, bau tidak dikategorikan sebagai gelombang.
Dalam kalangan masyarakat Melayu, amalan pseudosains membawa ancaman yang buruk terutamanya apabila ia melibatkan penggunaan nas-nas al-Quran dan hadis secara membuta tuli tanpa merujuk kepada kitab tafsir dan kitab syarah untuk menyokong ideanya. Sedangkan, sekiranya diteliti melalui kaedah-kaedah dalam pengajian Islam, penggunaan nas-nas tersebut tidak bersesuaian, bahkan menyimpang daripada maksudnya yang sebenar. Amalan sebegini boleh membawa tanggapan yang buruk dan memporak-perandakan disiplin pengajian Islam.
Ciri-ciri yang terdapat dalam pseudosains merencatkan perkembangan minda dalam kalangan masyarakat. Sekiranya masyarakat tidak dapa membangkitkan persoalan tentang idea aneh pseudosains atau mengkritik idea tersebut, ia boleh menggugat daya berfikir secara kritis.
Oleh yang demikian, bagi mengatasi kebejatan amalan pseudosains, masyarakat perlu berusaha untuk memilih saluran yang betul dalam mendapatkan malumat. Maklumat yang disampaikan melalui media sosial perlu dikenal pasti identiti dan kredibiliti penyampainya. Maklumat yang disampaikan perlulah dipastikan kesahihannya. Sikap memastikan kesahihan sesuatu khabar merupakan sesuatu yang dituntut dalam Islam seperti yang digambar dalam surah al-Hujurat, ayat 6. Sudah tentu, kesahihan mestilah dipastikan dengan kaedah yang tersusun dan sistematik.