Agama hanya memiliki kemuliaan dan ketinggian kerana ia benar. Kalau ia bohong dan dianggap suatu pembohongan apakah lagi yang tinggal padanya? Siapa yang akan mengikuti ajarannya? Mempertahankan institusi-institusinya? Memuliakan tokoh-tokohnya? Jawabnya hanya orang-orang yang bodoh dan tertipu sahaja. Akan tetapi itulah tanggapan ramai manusia pada hari ini: agama adalah khayalan manusia semata-mata, dan para pengikutnya adalah golongan yang bodoh, yang terpedaya. Dalam kalangan mereka yang berpendirian sedemikian ada yang percaya bahawa walaupun agama itu kepalsuan, akan tetapi ia adalah alat yang berguna untuk kesejahteraan negara kerana dengan agama masyarakat dapat diatur dan dikawal dengan lebih mudah. Seorang ahli falsafah Peranchis dikhabarkan berkata, “Tuhan sebenarnya tidak wujud, akan tetapi jangan katakan itu kepada khadammu, takut dia akan membunuhmu semasa engkau tidur dan mencuri wangmu.” Perkataannya ini membayangkan sikapnya terhadap agama sebagai kepalsuan yang berguna sebagai alat semata-mata. Pandangan yang lain pula mengatakan bahawa agama itu adalah kepalsuan yang merbahaya; oleh itu ia mesti diperangi dan dihapuskan. Menurut pandangan ini manusia hanya mencapai kesejahteraan apabila mereka meninggalkan agama.
Kedua-dua pandangan di atas menolak kebenaran agama, dan sikap inilah yang dominan dalam masyarakat Barat hari ini. Walau bagaimanapun, sikap ini tidak lagi terhad kepada orang Barat. Ramai yang turut berfikiran begitu, termasuklah sebahagian daripada kaum Muslimin.
Tidak mungkin sah pengakuan seseorang bahawa dia seorang Muslim kalau di dalam hatinya dia meragui kebenarannya. Sebagai contohnya adalah seseorang yang mendakwa bahawa agama adalah diasaskan kepada mitos-mitos kejadian. Sekiranya yang dia maksudkan dengan kenyataan itu ialah semua agama, termasuk Islam, maka dia telah secara langsung menafikan kebenaran agama Islam. Inilah bahananya apabila ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi, sosiologi, dan antropologi diambil dan diajarkan secara melulu tanpa menilai dengan teliti kesahihan kesimpulan-kesimpulan umumnya. Untuk membolehkan penilaian itu dibuat pula seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu yang mencukupi dalam perkara-perkara fardu ain. Namun apa yang berlaku selama ini adalah pengabaian terhadap ilmu-ilmu fardu ain, dan pengabaian ini pula berpunca daripada salah faham yang mendalam terhadap konsep ilmu fardu ain itu. Maka apa yang dipelajari oleh umat Islam pada hari ini hanya terhad kepada hukum-hakam yang berkaitan dengan amal ibadat yang asas, dan sedikit-sebanyak tentang akidah, dan itulah yang mereka sangka fardu ain sedangkan apa yang dipelajari itu hanya memadai untuk kanak-kanak kecil dan tidak memadai untuk dijadikan panduan dalam menilai ilmu-ilmu lain yang bakal dipelajari pada peringkat pengajian tinggi, sedangkan pada peringkat pengajian tinggilah segala macam falsafah dan ideologi dibawa masuk dan dipelajari dengan sangkaan semua itu adalah ilmu-ilmu yang terkini. Dengan cara itulah bibit-bibit keraguan terhadap kebenaran agama mula tumbuh.
Dalam masyarakat Barat, keraguan terhadap agama bukanlah masalah baharu. Penyakit ini sudah lama timbul bersama-sama dengan kebangkitan sains dan zaman moden. Dalam pengalaman hidup mereka, ilmu sains telah menyebabkan mereka hilang, meragui kebenaran agama akibat daripada penemuan-penemuan baharu yang didapati bercanggah dengan ajaran agama mereka. Lama-kelamaan para saintis dan orang ramai langsung merasa ragu terhadap kebenaran agama dan kitab suci. Keraguan mereka ini telah berjangkit dan merebak ke seluruh dunia melalui sistem pendidikan Barat, dan di antara penerima keraguan ini adalah sebahagian daripada umat Islam.
Penghinaan terhadap Islam, secara khusus, bukanlah perkara baharu. Ia bermula dengan ketibaan Islam. Sebaik sahaja Rasululah SAW mengisytiharkan dakwahnya kepada kaumnya, semasa itu jugalah segala kata-kata pujian dan sanjungan terhadap baginda SAW berubah menjadi kejian dan nista. Namun, di sebalik penghinaan, penentangan dan ugutan yang diterima, Rasulullah SAW tetap memohon kepada Allah, “Ya Allah! Kurniakanlah hidayat kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak tahu!” Maksudnya, tindakan mereka itu adalah berpunca daripada kejahilan semata-mata yang disebabkan oleh ketaksuban terhadap puak dan pengaruh propaganda palsu yang diulang-ulang. Kalau sekiranya mereka tahu hakikat sebenar, mereka takkan menentang Islam, apatah lagi menghinanya kerana yang mereka tentang dan hina itulah yang mereka perlukan demi kesejahteraan abadi. Apa yang mereka perlukan adalah kesedaran itu, dan bukan mudah untuk menyedarkan manusia daripada lena yang panjang!
Masalah penghinaan terhadap agama membayangkan krisis dalaman yang menimpa manusia hari ini kesan daripada pembaratan dan pensekularan. Ia tidak boleh diatasi semata-mata dengan cara undang-undang tanpa memahami akar umbi masalah.
Dalam soal ini kaum Muslimin mempunyai tugas yang amat besar, bukan sekadar dengan menunjukkan bantahan dan kemarahan terhadap penghinaan yang dilemparkan terhadap Islam, tetapi yang lebih utama adalah dengan menunjukkan jalan keluar daripada krisis itu. Umat manusia pada hari ini sedang menderita akibat daripada keraguan terhadap makna diri dan nasib akhir. Apa yang mereka tidak miliki itu ialah keimanan yang memberikan keamanan kepada diri, dan keamanan itu tidak mungkin tercapai oleh jiwa yang ragu-ragu dan keluh-kesah mengenangkan nasib yang tidak pasti. Yang mereka perlukan adalah ilmu yang berpunca daripada petunjuk dan hidayat Allah SWT. Ilmu itulah yang telah mereka nafikan kerana terpedaya dengan falsafah ilmu sekular, dan akibatnya mereka turut menderita kekosongan jiwa kerana tiada keyakinan.
Maka perjuangan sebenar bagi membela Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada manusia adalah perjuangan yang diasaskan kepada ilmu dan keyakinan. Manusia yang selama ini sudah hilang keyakinan terhadap agama kerana dakyah kebudayaan Barat, mesti diyakinkan semula bahawa ilmu dan keyakinan dapat dicapai olehnya, dan hanya dengan itu kesejahteraan dapat dicapai.