Sebahagian besar ahli masyarakat Malaysia sebenarnya tidak sedar tentang pencapaian negara dalam sains dan teknologi. Malah tidak ramai yang mengetahui bahawa terdapat penyelidik-penyelidik di negara ini yang telah berjaya menghasilkan produk-produk berteknologi tinggi dan inovatif.
Jika ditanya tentang produk keluaran penyelidik tempatan yang sudah berada di pasaran dan sedang digunakan oleh semua orang, mungkin tidak ramai yang tahu. Mungkin ada yang tidak langsung boleh menamakan produk-produk tersebut atau ada yang mengenali produk tersebut tetapi tidak sedar ia sebenarnya merupakan keluaran anak tempatan.
Perkara yang dinyatakan di atas menunjukkan betapa luasnya jurang pengetahuan rakyat Malaysia terhadap kejayaan negara ini dalam sains dan teknologi. Ini bukan sesuatu yang menghairankan kerana tahap kesedaran masyarakat terhadap sains dan teknologi belum berada pada tahap yang membanggakan. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila sebahagian rakyat negara ini lebih gemar kepada perkara-perkara tahyul dan ghaib yang menyimpang daripada ajaran agama. Malah ramai begitu mudah terpedaya dengan sesuatu yang bertentangan dengan sains misalnya dalam isu “flat earth“, doula, anti-vaksin, penggunaan produk kecantikan yang mengandungi bahan terlarang dan banyak lagi.
Oleh itu, amat penting untuk kita meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap kejayaan dalam bidang sains dan teknologi di negara ini. Menurut Global Innovation Index 2018 (GII), sebuah penerbitan tahunan yang menyenaraikan kedudukan pelbagai negara dari segi kebolehan dan kejayaan berinovasi, Malaysia merupakan negara dalam kategori pendapatan sederhana (middle-income) yang paling menunjukkan kemajuan dari segi inovasi. Malaysia kini berada pada tangga ke-35 senarai tersebut. Maklumat ini memberi gambaran bahawa terdapat banyak produk inovasi yang dihasilkan penyelidik di negara ini. Namun, hakikat ini tidak diketahui ahli masyarakat.
Oleh itu, amat baik jika penghasilan produk-produk inovasi penyelidik tempatan ini diketahui umum. Ia boleh dilakukan melalui pelbagai cara dan salah satunya melalui media kerana media merupakan satu saluran penyampaian maklumat yang cepat dan boleh dicapai lebih ramai pengguna. Pernahkah anda menonton sebuah dokumentari bertajuk How It’s Made? Rancangan ini merupakan sebuah siri dokumentari tentang penghasilan pelbagai produk berasaskan sains dan teknologi yang mula ditayangkan pada Januari 2001 dan disiarkan di Discovery Channel di Amerika Syarikat dan Kanada. Mungkin usaha sebegini boleh juga dilaksanakan di Malaysia. Malah secara kreatif, hasil inovasi penyelidik tempatan itu juga boleh dijadikan bahan dalam penerbitan filem di Malaysia agar lebih ramai pengguna dapat memahami kewujudan produk tersebut.
Jika usaha di atas dapat dilaksanakan kemungkinan besar kesedaran awam terhadap produk penghasilan penyelidik tempatan dapat ditingkatkan. Masyarakat bukan sahaja dapat mengetahui kewujudan produk tersebut tetapi dapat memahami kegunaannya. Dalam masa sama, dapat mengenali penyelidik-penyelidik yang terlibat menghasilkan produk itu. Secara tidak langsung, ini dapat meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan kajian saintifik untuk menghasilkan produk mahupun perkhidmatan yang bermanfaat kepada masyarakat.
Masyarakat harus disedarkan bahawa menceburi bidang sains dan teknologi dan seterusnya berjaya menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat merupakan sesuatu yang mulia sama ada pada padangan masyarakat mahupun agama. Jika seorang saintis atau penyelidik dapat menghasilkan sesuatu yang membantu pengguna, misalnya mencipta ubatan merawat pesakit berbahaya, bayangkanlah faedah yang telah beliau berikan kepada masyarakat keseluruhannya.
Dalam pandangan hidup Islam, setiap Muslim harus berusaha menjadi seseorang yang membawa manfaat keseluruhan alam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia, adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.” (HR Al-Tabrani). Oleh itu, menguasai bidang sains dan teknologi sehingga mampu mencipta sesuatu yang boleh memudahkan orang lain adalah sesuatu yang amat bermanfaat.
Meningkatkan kesedaran tentang “kemeriahan” dunia sains dan teknologi di negara ini juga mungkin boleh menjadi pencetus minat golongan pelajar untuk menceburi bidang Science, Technology, Engineering and Mathematic atau sering disebut sebagai STEM. Ini kerana, minat golongan pelajar terhadap bidang ini semakin menurun dari tahun ke tahun. Untuk makluman, “Dasar 60:40” iaitu peratus pelajar sains berbanding pelajar sastera di sekolah dan institusi pengajian tinggi sehingga kini masih belum tercapai.
Berdasarkan Science Outlook 2017, nisbah pelajar yang mendaftar di aliran sains tingkatan empat dan lima sekolah kerajaan menunjukkan bahawa peratusan pelajar dalam bidang STEM berbanding sastera ialah 46:54 peratus. Data ini pula merangkumi pelajar dalam aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Jika jumlah pelajar TVET ini diasingkan maka nisbah pelajar aliran sains berbanding sastera sebenarnya masih rendah.
Ini menunjukkan betapa usaha untuk meningkatkan minat, kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam sains dan teknologi perlu dipertingkat. Terdapat banyak kelebihan jika masyarakat celik sains dan teknologi misalnya, mereka dapat sama-sama terlibat dalam menentukan hala tuju perkembangan sains dan teknologi negara melalui perkongsian pandangan terhadap dasar-dasar negara. Masyarakat juga akan memahami pelbagai isu berkaitan sains dan teknologi yang timbul dari semasa ke semasa dan seterusnya membuat keputusan yang bijak berkaitan isu tersebut. Selain ini, hal ini penting bagi membantu mencapai matlamat negara maju berasaskan sains dan teknologi dengan penghasilan pelbagai produk dan perkhidmatan yang memudahkan masyarakat. Tidak ketinggalan aspek paling penting bagi seorang Muslim ialah pengetahuan menguasai bidang sains dan teknologi juga merupakan salah satu jalan untuk mendekatkan diri dengan Sang Pencipta.
Berdasarkan kelebihan ini, usaha untuk meningkat dan memperkasa kesedaran, kefahaman dan penglibatan masyarakat terhadap bidang sains dan teknologi perlu disegerakan.