- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyatakan sokongan penuh terhadap komitmen YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, dalam menggerakkan usaha pembinaan sekolah, hospital, dan masjid di Gaza sebagaimana yang diumumkan pada 29 Januari 2025. Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap kesejahteraan rakyat Palestin tetapi juga menegaskan peranan negara sebagai peneraju dalam memperkukuh solidariti kemanusiaan antarabangsa dan tanggungjawab moral dalam membantu masyarakat yang terkesan oleh konflik.
- IKIM turut menyambut baik penubuhan dan pemerkasaan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi, yang dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan diurussetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Yayasan Waqaf Malaysia. Jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform penyelarasan bagi menggembleng potensi dan sumber secara holistik, dengan matlamat utama memastikan usaha pembangunan semula Gaza dilaksanakan secara berkesan, berstruktur, dan berkesinambungan. Kerjasama strategik dengan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri serta organisasi kemanusiaan lain akan diperkukuhkan bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan program bantuan. Dalam hubungan ini, IKIM akan memberikan kerjasama pada tahap optimum bagi memastikan kejayaan matlamat yang disasarkan.
- IKIM berpandangan bahawa komitmen yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri amat signifikan, mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sebagai Pengerusi ASEAN. Dalam konteks geopolitik, Malaysia berada dalam kedudukan yang strategik untuk menjalin kerjasama erat dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, dan negara-negara Timur Tengah lain yang mempunyai kapasiti ekonomi yang kukuh. Melalui jaringan ini, usaha pembinaan semula Gaza dapat dilaksanakan secara sistematik dan lebih mampan. Pada peringkat ASEAN, Malaysia juga boleh menggerakkan inisiatif serantau yang lebih menyeluruh untuk memperkukuh peranan negara-negara jiran dalam menyokong kestabilan dan pembangunan semula Palestin.
- Pada peringkat domestik pula, IKIM menegaskan bahawa sokongan dan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat merupakan elemen penting dalam menjayakan misi pembangunan semula Gaza. Institusi berkaitan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), berpotensi memainkan peranan utama dalam menyediakan sumber kewangan, kepakaran teknikal, serta membina jaringan strategik yang diperlukan untuk memastikan keberkesanan inisiatif ini. Selain itu, penglibatan NGO juga wajar diperkasakan bagi menyediakan sokongan logistik dan menggerakkan jaringan sukarelawan bagi mempercepatkan penyampaian bantuan secara berkesan.
- IKIM kekal komited dalam menyokong dan mengukuhkan usaha yang menyumbang kepada pembangunan semula Gaza, selaras dengan prinsip keadilan sosial, kemanusiaan sejagat, serta tanggungjawab kolektif dalam membina masyarakat global yang lebih aman dan sejahtera.
Sekian, terima kasih.
Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
31 Januari 2025 bersamaan 1 Syaaban 1446HUNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail : 016-219 5345 ([email protected])
En. Sharuzi bin Ismail : 010-4026 6200 ([email protected])