Hati tersentuh dengan kejadian seorang pemuda bermotosikal kuasa tinggi diserang beberapa orang lain hanya kerana memakai baju yang berlainan warna. Mereka juga dikatakan telah membaling telur ayam ketika dia melintasi jalan masuk ke kawasan kumpulan itu.
Hanya kerana perbezaan pandangan maka kita membenci dan sanggup pula menyerang individu terbabit. Jelas sikap yang tidak matang ini tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan pun kepada mana-mana pihak.
Perbezaan pandangan sepatutnya diurus dengan cara yang lebih matang dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan mempunyai undang-undang. Bukannya dengan cara menyerang dan melakukan kekasaran dan keganasan sehingga mengakibatkan kecederaan. Apa yang sedang berlegar di fikiran mereka sewaktu melakukan perbuatan terkutuk dan memalukan itu.
Di sini timbulnya persoalan, ke manakah hilangnya sifat ukhuwah atau persaudaraan yang sepatutnya dimiliki oleh orang Islam? Perbuatan yang dilakukan langsung tidak mencerminkan akhlak dan peribadi seorang Muslim yang diperintahkan agar bersatu padu, tidak berpecah belah atau bermusuhan.
Kata ukhuwah berasal dari bahasa arab yang kata dasarnya adalah akh yang bererti saudara, sementara kata ukhuwah bererti persaudaraan. Secara istilah ukhuwah Islamiyyah adalah kekuatan iman yang dikurniakan Allah kepada hambaNya yang beriman dan bertakwa yang menumbuhkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, kemuliaan dan rasa saling percaya terhadap saudara seakidah. Dengan berukhuwah akan timbul sikap saling menolong, saling pengertian dan tidak menzalimi harta mahupun kehormatan orang lain.
Dalam Surah Al-Hujurat:10 maksudnya,
“Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara. Kerana itu, damaikanlah kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”.
Semua orang Islam adalah bersaudara. Kerana itu jika bertengkar mereka harus bersatu kembali dan bersaudara seperti biasanya. Ukhuwah Islamiyyah seharusnya menjadi kekuatan dalam hidup beragama, sehingga menjadi sebuah suasana yang menyejukkan, bukan yang menebar kebencian.
Dan dalam sebuah hadis:
“Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” [HR. Muslim]
Persaudaraan itu adalah sesuatu yang semestinya dibuktikan dan bukan hanya teori semata-mata. Seorang mukmin harus merasakan penderitaan yang diderita oleh saudaranya, seperti yang dialami oleh mereka di Palestin dan Syria. Menyumbang setakat mana yang mampu serta sentiasa mendoakan keselamatan mereka.
Jika saudaranya mendapat kebahagiaan maka dia pun turut rasa bahagia, dan tidak boleh dengki kepadanya. Demikian pula jika saudaranya menerima musibah dan ujian, dia harus turut merasa prihatin dan sedih. Begitu juga jika saudaranya memerlukan pertolongan, maka haruslah dia memberikan pertolongan yang mampu, itulah nilai dari sebuah persaudaraan.
Namun demikian pada hari ini perkara sebaliknya yang berlaku; seorang Islam tidak ambil peduli dengan apa yang menimpa saudaranya. Sifat kasih sayang dan mengambil berat yang sepatutnya dimiliki sesama orang beriman sudah lama pudar.
Manusia sudah terbiasa dengan kehidupan yang semakin dijauhkan dari nilai-nilai persaudaraan yang murni. Pertolongan itu kalau pun ada, diberi dengan terlambat; itupun setelah dinilai supaya dia tidak merasa rugi sekaligus melupakan kurnia pahala di sisi Allah.
Ketiadaan rasa belas dan kasih sesama saudara kerana tiada atau kurangnya perasaan persaudaraan. Pada dasarnya sifat untuk menolong akan wujud jika memiliki rasa belas kasih dan persaudaraan yang kukuh. Namun jika rasa belas kasih itu tidak dimiliki dan ikatan tali persaudaraan rapuh, maka jangan diharap pertolongan walau sedikitpun, inikan pula dalam bentuk darah dan nyawa seperti yang disebutkan Nabi SAW dalam hadisnya.
Mengeratkan persaudaraan, bersatu padu dan tidak berpecah belah mampu menegakkan dan menjadikan agama Islam kuat. Sebaliknya, jika permusuhan dan kebencian berleluasa, Islam akan menjadi lemah dan umat Islam tiada suara di pentas antarabangsa. Maka itu yang terjadi di dunia sekarang di mana umat Islam adalah umat yang lemah, ditindas, dizalimi serta dilanda kemiskinan.
Amat malang sekali jika seorang itu mengharapkan belas kasihan dari Allah SWT tetapi dia tidak peduli terhadap kesejahteraan saudara segamanya. Apatah lagi apabila dia sengaja menyerang saudaranya dengan niat untuk mencederakan atau menyakitinya. Pada ketika itu tiada gunanya lagi dia menegakkan benang basahnya dengan pelbagai alasan mempertahankan tindakannya menggunakan keganasan ke atas saudaranya. Apa saja yang keluar dari mulut orang yang sebegini tidak boleh dipercayai kerana apa yang jelas dia memperalatkan agama untuk kepentingannya dirinya sendiri.