Perancangan untuk membina stesen jana kuasa elektrik tenaga nuklear sebagai satu lagi opsyen sumber tenaga di Malaysia bukanlah isu baharu. Sebaliknya, hasrat ini telah disuarakan oleh kerajaan Malaysia sejak beberapa tahun yang lepas.
Perancangan ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik berasaskan petroleum dan arang batu, selain memenuhi keperluan sumber tenaga yang kian meningkat saban tahun.
Pada masa ini didapati sebanyak 45 peratus tenaga elektrik di Malaysia adalah dijana melalui loji gas dan arang batu, manakala sebanyak 10 peratus lagi dijana menerusi loji hidro. Sekiranya peracangan Malaysia membina loji nuklear benar-benar direalisasikan, ini bermakna sumber tenaga nuklear akan mengambil alih keperluan tenaga tambahan negara pada masa akan datang.
Dari satu sudut, perkara ini dilihat merupakan suatu anjakan yang positif kerana negara bakal beralih daripada kebergantungan sepenuhnya kepada sumber tenaga sedia ada yang banyak menyumbang kepada masalah pencemaran kepada sumber tenaga yang lebih bersih.
Sementelah, sejak kebelakangan ini negara-negara maju telah sepakat untuk mengambil usaha yang serius bagi mengurangkan kesan pemanasan global yang disebabkan oleh pelepsan gas karbon dioksida ke atmosfera yang salah satunya adalah terhasil daripada stesen-stesen janakuasa elektrik yang ada di seluruh dunia.
Selain merupakan sumber tenaga yang lebih bersih, tenaga elektrik yang dihasilkan daripada loji jana kuasa nuklear juga adalah lebih murah berbanding sumber tenaga alternatif lain yang menyebabkan masyarakat antarabangsa kini tertarik untuk mengalihkan perhatian kepada sumber tenaga nuklear sebagai sumber tenaga masa hadapan.
Misalnya, pada masa ini beberapa negara lain di dunia yang sedang membangunkan loji nuklear untuk menghasilkan elektrik di negara masing-masing adalah seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bangladesh, Turki dan Belarus. Malaysia pula pada saat ini hanya menggunakan nuklear untuk tujuan perubatan dan pertanian.
Sekiranya Malaysia serius untuk mengorak langkah ke arah pembangunan tenaga nuklear, negara dilihat perlu bersedia dari pelbagai aspek terutamanya dalam menghadapi sebarang kontroversi yang mungkin timbul dalam kalangan segelintir masyarakat berhubung perkara ini.
Justeru dalam mendepani isu ini, kerjasama yang erat antara negara dan pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa ( IAEA) adalah diperlukan agar lebih banyak maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarkat tentang kelebihan tenaga nuklear memandangkan mereka secara umum mempunyai persepsi yang negatif mengenainya.
Penekanan yang sewajarnya perlu diberikan kepada masyarakat bahawa pembangunan yang dicadangkan ini hanya bertujuan untuk menjana kuasa elektrik dan loji yang dirancang adalah memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa dan mesra alam sekitar agar dapat meyakinkan mereka untuk lebih bersedia dengan pembangunan tenaga nuklear yang bakal dilaksanakan kelak.