Peluang untuk membaca ayat al-Quran adalah sangat penting bagi seseorang pesakit yang sedang nazak. Pesakit sebegini harus mempunyai akses kepada perkara seperti tasbih untuk dipegang dan diguna ketika ibadat solat. Mungkin mereka ingin mendapatkan air dari Mekah, atau sesuatu yang lain seumpama itu, iaitu yang penting bagi kepercayaan mereka.
Petikan ini merupakan terjemahan sebahagian isi temu bual dengan seorang pendeta Kristian yang berkhidmat sebagai chaplain di sebuah hospital di United Kingdom. Mehrunisha Suleimen, seorang penyelidik Muslim daripada Ethox Centre, University of Oxford, telah membuat sesi temu bual ini yang dilaporkan dalam kajian terbitan tahun 2022 dengan tajuk, “The Balancing of Virtues—Muslim Perspectives on Palliative and End of Life Care: Empirical Research Analysing the Perspectives of Service Users and Providers.”
Chaplaincy di hospital merupakan amalan yang tidak asing dalam tradisi agama Yahudi dan Kristian. Dalam kedua-dua agama ini, chaplaincy menjadi penting dalam konteks pesakit yang berada pada tahap akhir penyakit seperti barah pada tahap akhir. Sehubungan itu, pendeta Yahudi dan Kristian sebagai chaplain memberi sokongan moral dan emosi kepada pesakit untuk menghadapi saat-saat akhir kehidupan mereka. Sokongan ini tidak terhad kepada pesakit, malah turut melibatkan ahli keluarga pesakit yang mengalami cabaran menghadapi kematian pesakit.
Malangnya, menurut Wahiba Abu-Ras dan Lance Laird dalam kajian yang bertajuk “How Muslim and Non-Muslim Chaplains Serve Muslim Patients?” pada tahun 2011 menjelaskan bahawa elemen kerohanian Islam dalam penjagaan pesakit kurang diberikan perhatian. Akibatnya, banyak pesakit Muslim tidak mendapat penjagaan yang baik dari sudut keperluan rohani, terutamanya yang melibatkan ibadah harian dan pilihan rawatan dalam penjagaan akhir hayat.
Berkait dengan ibadah harian, Surina Mohamad Shafi dan pasukan penyelidik bagi kajian “Pelaksanaan Amalan Chaplaincy Muslim di Hospital Mesra Ibadah” pada tahun 2021 menyorot pelbagai laporan kajian tentang pelaksanaan solat dalam kalangan pesakit yang berada di wad. Hasil sorotan mereka menunjukkan bahawa peratusan pesakit Muslim yang tidak mendirikan solat ketika menduduki wad berada pada paras yang tinggi dan membimbangkan. Justeru, terdapat keperluan terhadap chaplain Muslim untuk membimbing ibadah pesakit di hospital Malaysia.
Dari sudut emosi, pesakit yang berdepan dengan penerimaan terhadap kesakitan, dan keselesaan meluahkan kemarahan, kekecewaan dan perasaan negatif berkenaan penyakit mereka. Namun, pesakit Muslim cenderung untuk menyembunyikan perasaan sendiri kerana mungkin takut seolah-olah mempersoalkan nasib mereka. Hal ini dikongsikan oleh seorang chaplain Muslim di Amerika Syarikat dalam satu temu bual yang dibuat oleh Robert Klitzman dan rakan-rakan (2023) bagi kajian “Muslim Patients in the U.S. Confronting Challenges Regarding End-of-Life and Palliative Care: the Experiences and Roles of Hospital Chaplains.” Chaplain tersebut turut berkongsikan pengalaman dan kaedah beliau dalam mendekati pesakit yang berdepan dengan ujian rohani dan penyakit kritikal. Beliau berkata (diterjemahkan):
Mereka (pesakit) mungkin fikir tidak baik untuk mengeluh berkenaan penyakit kerana, “Harus sentiasa yakin dengan Tuhan dan bersyukur dalam apa jua keadaan kita.” Jadi, jika itu kekangannya, saya berkongsi dengan mereka bahawa insan mulia seperti Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad—semuanya mempunyai situasi kehidupan seperti ini, iaitu saat-saat jiwa menjadi sangat rapuh. Saya juga menceritakan rasa lemah upaya yang mereka hadapi ketika ujian melanda, serta berkongsi detik-detik kesedihan dan kedukaan mereka. Oleh itu, tidak mengapa jika mereka (pesakit) “marah” dengan penyakit. Musa juga marah kepada abangnya, Harun. Nabi Muhammad juga turut bersedih dengan cara baginda dilayani, tetapi Allah menghiburkan dan menasihati baginda.
Kehadiran chaplain Muslim adalah penting untuk mendengar luahan pesakit tanpa sebarang prejudis serta memberikan kaunseling sebaik mungkin agar pesakit dapat menempuhi penyakit dengan bantuan persiapan rohani secukupnya. Dalam keadaan ekstrem lain, chaplain Muslim boleh turut bertindak memberikan bimbingan tauhid apabila mendapati pesakit yang tidak boleh menerima penyakit yang dihadapi dan kerap menyalahkan takdir.
Melihatkan hakikat cabaran spiritual dan emosi pesakit, khidmat Muslim chaplaincy merupakan satu keperluan. Banyak pihak menyedari hakikat ini sehingga membawa kepada perbincangan akademik untuk memperkenalkan khidmat Muslim chaplaincy atau lebih selesa diungkapkan dengan istilah petugas kesihatan yang khusus kepada penjagaan rohani, emosi dan sosial. Hal ini turut didorong oleh arah tuju penjagaan kesihatan pada masa kini yang bergerak ke arah penjagaan holistik, iaitu tidak hanya terhad kepada rawatan klinikal sahaja.
Meskipun terdapat perhatian yang diberikan terhadap Muslim chaplaincy, khidmat sokongan penjagaan sebegini secara relatifnya masih dianggap baharu. Di Malaysia, khidmat sebegini tidak berlaku secara meluas dan khidmatnya bersifat sukarela. Pegawai agama Islam yang dilantik di hospital digalakkan untuk mengunjungi katil pesakit bagi memberi bimbingan spiritual kepada mereka.
Walau bagaimanapun, disebabkan tiada garis panduan standard yang boleh dirujuk, pemberian khidmat chaplaincy oleh pegawai agama Islam di Malaysia masih bersifat terpencil yang tertumpu di hospital tertentu sahaja. Melihat kepada keperluan spritual pesakit, sudah sampai masanya perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia bergerak ke arah mewujudkan Muslim chaplaincy dengan lebih teratur dan berkesan.
Orang Islam mungkin melihat secara skeptikal dan wujud sentimen keagamaan terhadap istilah chaplaincy kerana istilah ini merupakan istilah yang diadaptasi daripada terma pastoral care (penjagaan pastoral). Namun, hal ini tidak patut hanya dilihat dari aspek istilah semata-mata, tetapi perlu difokuskan kepada idea besarnya, iaitu keperluan sokongan rohani pesakit Muslim.
Melihat semula kajian Mehrunisha Suleiman (2022), pendeta Kristian menyuarakan perhatian terhadap keperluan rohani pesakit Muslim. Sebaiknya, dalam urusan keagamaan pesakit Muslim, pegawai agama Islam perlu berada di barisan hadapan untuk menguruskannya. Untuk itu, perlu ada usaha ke arah membangunkan khidmat Muslim chaplaincy secara formal. Hal ini turut menjadi peluang bagi mengembangkan peranan ahli agama dalam membimbing masyarakat secara lebih dekat.