5 Jun 2023 tercatat tarikh Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dalam kalendar negara. Tahun ini juga merupakan tahun kelima dan terakhir bagi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah meraikan keputeraan baginda sebagai Ketua Negara.
Sebagai rekod, baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 24 Januari 2019 setelah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V meletak jawatan pada 6 Januari 2019. Jawatan Yang di-Pertuan Agong merupakan satu-satunya jawatan unik di dunia kerana dipilih oleh Majlis Raja-Raja (MRR) dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu bagi tempoh satu penggal bersamaan lima tahun. Juteru, seseorang Sultan yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang jawatan tersebut seumur hidup seperti mana di negeri Baginda dan raja-raja lain yang wujud di dunia.
Pemilihan dibuat dengan cara undian sulit yang hanya boleh dilakukan oleh sembilan Raja-Raja Melayu dalam satu mesyuarat khas MRR tanpa penglibatan Yang di-Pertuan Negeri-negeri walaupun mereka sebagai ahli mesyuarat MRR.
Perlembagaan Persekutuan memperincikan berkaitan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Ketiga dibaca bersama Perkara 32. Menurut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan Malaysia mengatasi semua orang lain.
Perkara 32(2) menyebut perihal pemilihan Yang di-Pertuan Agong dipilih MRR bagi tempoh lima tahun. Manakala Perkara 32(3) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan atau boleh diturunkan takhta oleh Majlis Raja-Raja. Baginda boleh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selagi mana baginda adalah Raja bagi negeri baginda.
Mengikut Seksyen 1 Jadual III baca Bersama Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, seseorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong kecuali Raja itu belum dewasa atau Raja itu telah memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja tersebut tidak berhasrat dipilih atau Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya atau kerana apa-apa sebab lain.
Secara umumnya, dalam menjalankan tugas baginda, Perkara 40 (1), (1A) dan (3) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri. Dalam hal ehwal agama Islam, mengikut Perkara 3(5), satu majlis ditubuhkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan agama Islam. Tetapi Yang di-Pertuan Agong diberikan kuasa bertindak atas budibicara baginda menurut Perkara 40 (2) melantik seorang Perdana Menteri; tidak memperkenankan permintaan oleh Perdana Menteri untuk membubar Parlimen; dan meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Satu syarat penting yang dimasukkan dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong, Jadual Keempat baca bersama Perkara 37 bahawa Yang di-Pertuan Agong berikrar memelihara agama Islam pada setiap masa. Tambahan pula, semua undang-undang tubuh negeri mensyaratkan bahawa seseorang raja mestilah seorang Islam dan lelaki. Malah Perkara 3(2) memperuntukkan bahawa Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri beraja dan Perkara 3 (5) bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja.
Institusi Yang di-Pertuan Agong hanya wujud sejurus negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Baginda memainkan peranan penting dalam kestabilan politik, ekonomi dan soisal negara. Institusi Yang di-Pertuan Agong bukanlah bersifat istiadat (ceremonial) dan pengesahan semata-mata (rubber stamp) sahaja. Ia berperanan sebagai nilai tambah penyemak dan pengimbang kepada tiga cabang badan pembahagian kuasa iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman agar pentadbiran negara berada di atas landasan yang betul selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tuanku Al-Sultan Abdullah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong sekarang dijadualkan berkhidmat sehingga habis penggal pada Januari 2024. Sejarah mencatatkan pelbagai peristiwa menarik terjadi sewaktu pemerintahan baginda. Hanya dalam tempoh lima tahun, negara menyaksikan pertukaran Perdana Menteri sebanyak empat kali.
Meskipun begitu, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda dalam melantik Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri menurut Perkara 43(1) dan individu yang dilantik itu hendaklah mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen (Perkara 43(2)(a)).
Sebagai contoh, kemelut politik pada tahun 2020 timbul apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 23 Februari. Apabila Perdana Menteri meletak jawatan, seluruh anggota Jemaah Menterinya juga terungkai. Ini kerana, Perdana Menteri adalah Ketua Jemaah Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda dalam menjalankan tugas baginda. Keputusan mengejut ini menyebabkan ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan nama calon Perdana Menteri baharu. Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat perkenan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 29 Februari 2020 selaras dengan Perkara 43(2)(a) kerana pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang disusuli dengan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 di Istana Negara.
Pada 16 Ogos 2021, negara sekali lagi menyaksikan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana didapati hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan. Bagi pemilihan Perdana Menteri ke-9, seramai 220 Ahli Dewan Rakyat diberi peluang menerusi surat akuan bersumpah untuk menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat bagi tujuan tersebut. Seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Dato’ Seri Ismail Sabri Yaacob menerajui negara. Jumlah tersebut adalah majoriti mudah, mencukupi bagi membentuk sebuah kerajaan dan baginda berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan Ahli Dewan Rakyat atas kerelaan mereka sendiri dan tanpa sebarang paksaan.
Pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat memangkah kertas undi bagi memilih kerajaan setelah berlakunya beberapa siri pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri hanya melalui Ahli Dewan Rakyat.
Disebabkan tiada satu parti mendapat majoriti mudah, maka berlakunya kerajaan campuran gabungan beberapa parti politik iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa parti lain yang mencapai majoriti dua pertiga untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang stabil. Menerusi Perkara 43(1), Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menggunakan kuasa budi bicara baginda dalam melantik Perdana Menteri pada hemat baginda individu itu mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen. Yang di-Pertuan Agong akhirnya berkenan melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 berdasarkan sesi Perbincangan Khas bersama Raja-Raja Melayu selaras dengan kuasa Baginda diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Melalui beberapa siri pertukaran dan pemilihan Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat ini menuntut kepada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam memilih calon yang betul-betul layak, mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan mampu menerajui sesebuah kerajaan dengan baik.
Sayugia diingatkan juga, penularan wabak COVID-19 yang melanda satu dunia termasuk di Malaysia, turut berlaku semasa zaman pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Sebuah Proklamasi Darurat 2021 telah diisytiharkan di seluruh Malaysia pada 11 Januari 2021. Pengisytiharan darurat yang dimaklumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ke 8 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos 2021 menyebabkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung. Sebelumnya pada 25 Oktober 2020, baginda menolak permintaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat walaupun lonjakan kes COVID-19 di seluruh Malaysia. Tanpa prejudis, mengikut Perkara 150(1), Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat bagi memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terpelihara. Perlu ditegaskan bahawa kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong sama ada menolak atau memperkenankan perisytihgaran darurat tidak boleh dicabar di mana-mana Mahkamah (Perkara 150 (2)).
Sebenarnya, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah mewakli Raja-Raja Melayu di peringkat Persekutuan. Peristiwa-peristiwa di atas menuntut kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan tugas terutama mengawal suhu politik yang tidak menentu dan dalam masa yang sama, menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara supaya tidak berlaku kacau-bilau yang boleh mengakibatkan perpecahan dan ketidaktenteraman. Daulat Tuanku!