Walaupun rawatan yang ada dapat mengurangkan kesan buruk komplikasi HIV/AIDS, namun masyarakat belum lagi boleh merasa selesa dengan perkara ini, lebih-lebih lagi apabila mendapati kadar jangkitan HIV masih lagi meningkat. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan terutamanya dalam mempertingkatkan aspek pencegahan penularan dan jangkitan virus ini kepada orang lain. Malah, dari segi rawatan dan penjagaan kesihatan penyakit ini, aspek utama pemulihan belum lagi secara menyeluruh, kerana ia masih lagi tertumpu di peringkat pemulihan aspek biologi dan fizikal sahaja.
Sedangkan sebagai seorang individu, pesakit menyedari bahawa wujud keperluan untuk mengisi segala ruang kekosongan yang ada demi pemulihan diri mereka secara total, meliputi aspek mental, emosi, sosial, ekonomi dan spiritual. Tetapi perkara inilah yang sering tidak menjadi keutamaan dalam aspek pemulihan. Apabila wujudnya keperluan seperti ini, menunjukkan kepada kita bahawa proses pemulihan tidak wajar tertumpu di satu-satu aspek diri individu pesakit, pada peringkat tertentu kehidupan mereka atau melibatkan sesebuah agensi masyarakat sahaja. Ia mungkin akan menjadi tanggungjawab pelbagai peringkat dan agensi yang lain juga, malah ia mungkin akan menjadi tanggungjawab seluruh anggota masyarakat. Kemungkinan besar inilah trennya. Persoalannya, adakah masyarakat kita sudah terbuka fikirannya dan bersedia untuk menyambut dan menerima kehadiran serta kewujudan pesakit HIV/AIDS di dalam lingkungan kehidupan mereka, atau sebahagian dari anggota masyarakat mereka? Sudah pasti akan timbul pelbagai persoalan dan jawapan, namun perlu diingat, setiap individu yang ada sekarang ini berisiko tinggi untuk terdedah kepada jangkitan HIV yang biasanya atau secara sinonimnya akan berakhir dengan penyakit AIDS.
Kajian epidemiologi mendapati jangkitan HIV/AIDS kini turut menjangkiti golongan yang tidak berisiko tinggi terlibat dengan gaya hidup dan tingkahlaku negatif dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan. Ia turut menjangkiti suri rumah sepenuh masa, ia juga menjangkiti kanak-kanak yang tidak bersalah, yang masih lagi di peringkat awal persekolahan seperti di tadika dan taska. Apakah masyarakat masih lagi tergamak untuk memandang serong kepada golongan-golongan seperti ini? Adakah masyarakat masih lagi takut, gentar atau malu untuk berdepan dengan mereka? Sanggupkah masyarakat kita masih lagi berdiam diri tanpa melakukan apa-apa yang positif untuk golongan ini demi membangun dan memulihkan kehidupan mereka? Inilah di antara beberapa stigma yang masih lagi wujud dan melanda pemikiran anggota masyarakat masakini dalam menghadapi isu ini yang sewajarnya diperbaiki.
Stigma seperti ini sebenarnya lebih memburukkan keadaan dan ia turut membantutkan usaha pemulihan pesakit yang akhirnya kecewa dan berasa malu ke depan untuk menerima rawatan yang telah disediakan kerajaan. Menghapuskan stigma seperti ini juga merupakan antara objektif mengapa diadakan sambutan Hari Aids Sedunia pada setiap 1 Disember setiap tahun, di samping memperjuangkan hak pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik secara penuh adil serta dapat memperingati insan tersayang yang telah pergi dahulu buat selama-lamanya akibat penyakit ini. Manakala tema pada peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu atau UNAIDS bagi tahun ini pula telah mensasarkan matlamat tidak akan ada lagi jangkitan baru HIV di dalam masyarakat, tiada lagi kematian akibat AIDS dan tidak juga wujud lagi diskriminasi terhadap pesakit HIV/AIDS dan keluarga mereka. Semua anggota masyarakat diseru untuk berusaha lebih gigih lagi supaya matlamat ini dapat dicapai sepenuhnya.
Jika ditinjau dari aspek pemulihan pula, rawatan dan penjagaan kesihatan pesakit bagi pemulihan yang menyeluruh masih lagi jauh untuk digapai. Kita membicarakan model pemulihan dan rawatan yang menyeluruh bagi segenap aspek dan kejadian individu sebagai seorang insan kamil. Tidak dinafikan, penjagaan kesihatan moden dan ubatan telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam meningkatkan tahap kesihatan dan memanjangkan jangka hayat mereka. Tetapi pemulihan sebagai satu proses tidak wajar terhenti apabila mereka keluar dari wad-wad hospital atau klinik. Tambahan pula, aspek penjagaan dan pemulihan masalah kesihatan mental yang pada hakikatnya perlu turut diberi keutamaan, tetapi seringkali terabai berbanding pemulihan fizikal. Kefahaman yang ada, berdasarkan kepada perspektif sistem perkhidmatan kesihatan yang sedia ada ialah rawatan biologi dan fizikal adalah lebih dharuriy berbanding penjagaan, rawatan dan pemulihan masalah kesihatan mental HIV/AIDS yang lebih dilihat sebagai sesuatu yang elitis dan tahsiniy serta satu keperluan yang sukar untuk dilaksanakan.
Sememangnya sudah banyak kajian yang dilakukan di banyak negara maju yang mendapati bahawa pesakit HIV/AIDS berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan kesihatan mental dan pelbagai penyakit neuropsikiatri lain walaupun rawatan yang diterima berjaya meningkatkan tahap penyembuhan dan memperbaiki kesihatan fizikal mereka. Namun kualiti kehidupan mereka sebagai seorang individu telah menurun kerana masalah mental yang tidak dirawat itu. Sudah pasti seseorang yang ditimpa jangkitan dan penyakit ini akan berasa gundah, sedih, kecewa, rasa bersalah, keliru, takut, risau dan bimbang terhadap penyakit dan tahap kesihatan serta masa depan diri dan keluarga mereka. Bukan setakat itu, jangkitan yang dialami pula akan turut mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan terhadap otak dan sistem saraf dan ia akan mengakibatkan gangguan neuropsikiatri lain.
Sebahagian besar penghidap dan pesakit HIV/AIDS akan mengalami kerosakan fungsi kognitif otak mereka yang boleh membawa kepada masalah dementia, ada juga yang mula menghidapi gangguan psikotik yang tidak pernah dialami sebelum mengalami jangkitan ini, dan selebihnya pula mengalami gangguan mood dan afek seperti kemurungan dan kebimbangan serta mania depresif dan sebagainya. Hasil kajian juga mendapati bahawa masalah kesihatan mental mereka turut menjejaskan proses pemulihan kesihatan fizikal mereka, di samping meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain pula. Malah, kerosakan fungsi kognitif otak yang dialami didapati meningkatkan pula risiko mortaliti di kalangan pesakit seperti ini.
Bagi memastikan masalah kesihatan mental ini tidak berlaku, rawatan awal dilihat penting kerana ia dapat menghalang penyakit dari menjadi lebih kronik atau serius dan akhirnya sukar untuk dirawat. Tetapi adakah semua pesakit memiliki peluang dan hak yang sama untuk menerima rawatan dan ubatan yang sama? Adakah mereka mempunyai kekuatan tubuh badan dan mental yang sama untuk menghadapi situasi seperti ini? Hakikatnya, ujian tapisan bagi menentukan status kesihatan mental di kalangan mereka pula bukannya menjadi amalan ujian yang rutin dalam menentukan kaedah rawatan terbaik kepada pesakit seperti mereka. Menjadi tugas dan tanggungjawab siapakah ini untuk memastikan bahawa mereka turut menerima bentuk rawatan dan pemulihan gangguan mental dan emosi yang dialami akibat dari jangkitan ini? Namun program rawatan yang terbaik tetap perlu diaturkan dan diteruskan untuk mereka.