Kadar jangka hayat manusia di Malaysia adalah sekitar 75 tahun pada hari ini. Angka ini dilihat bertambah baik tahun demi tahun seiring dengan perkembangan dalam amalan dan polisi kesihatan negara begitu juga gaya hidup yang lebih sihat oleh rakyatnya. Umumnya, individu akan mula bersara pada usia sekitar 55 tahun. Ini menjadikan secara kasarnya, kita mempunyai hingga 20 tahun untuk terus hidup selepas bersara jika mengikut kadar jangka hayat semasa negara.
Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan cadangan umur persaraan minimum bagi pekerja swasta di negara ini dilanjutkan sehingga 60 tahun bermula pada Januari 2013 berbanding 55 tahun sekarang. Ini dikatakan selaras dengan amalan kebanyakan negara maju dalam meningkatkan produktiviti negara.
Pertambahan tempoh perkhidmatan ini dilihat sebagai satu peluang yang menarik bagi sesetengah individu dan sebaliknya bagi yang lain. Ini kerana sesetengahnya masih lagi memerlukan pekerjaan pada usia emas bagi menampung keperluan keluarga ataupun semata-mata kerana masih lagi komited kepada kerjaya manakala sebahagian yang lain telah mula menurun produktivitinya sekaligus tidak lagi boleh menyumbang dengan baik kepada majikan.
Persoalan yang timbul daripada penguatkuasaan akta ini sekiranya diluluskan adalah berkenaan kesannya terhadap masyarakat dan negara umumnya. Perkara pertama yang dikhuatiri oleh masyarakat ialah peluang pekerjaan kepada generasi muda semakin kurang. Hal demikian boleh sahaja berlaku sekiranya peluang pekerjaan yang baharu kepada generasi muda tidak diperbanyakkan. Keduanya, pekerja yang melewati usia persaraan dikatakan tidak lagi boleh menyumbang dengan baik sebaliknya menjadi liabiliti kepada organisasi. Perkara ini tidak semestinya benar terutama sekali melibatkan individu yang mempunyai kemahiran atau kepakaran yang khusus seperti guru bahasa dan sebagainya.
Realiti tenaga kerja di Malaysia yang terdiri daripada 80 peratus berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi maklumat kepada kita bahawa umur mula bekerja bagi sebahagian besar rakyat negara ini adalah sekitar 18 tahun. Namun begitu, angka ini harus mengambil kira juga individu yang bekerja menggunakan kelulusan SPM biarpun mempunyai kelulusan yang lebih tinggi atas pelbagai alasan.
Antara sebab mengapa perkara ini berlaku ialah dikatakan bahawa peluang pekerjaan di pasaran adalah kurang berbanding dengan jumlah graduan yang dikeluarkan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT). Disebabkan peluang yang terhad dan persaingan sengit, ramai graduan memilih untuk melibatkan diri dalam kerjaya yang tidak sepadan dengan kelulusan. Selain itu, para graduan juga dikatakan tidak memiliki ciri-ciri yang diperlukan majikan seperti berkemahiran, berkeyakinan, rajin dan berani mengambil risiko. Sikap tidak yakin dan tidak berani mencabar diri menyebabkan ada graduan yang memilih kerjaya yang tidak sepadan.Jika masalah ini berterusan, kita akan dapati bahawa agak sukar untuk menjadikan umur 60 tahun sebagai umur yang kompetitf untuk bersara. Sebaliknya, ia bakal mengundang lebih banyak masalah di masa hadapan.
Cadangan pertambahan had umur persaraan juga sebenarnya memberikan kita petunjuk bahawa gaya hidup rakyat Malaysia telah berubah. Walaupun had persaraan yang semakin panjang dapat memperbanyakkan simpanan, ramai di antara kita masih lagi memerlukan pekerjaan pada usia emas disebabkan menanggung anak yang masih kecil, membayar ansuran pinjaman rumah dan sebagainya. Ini adalah satu petunjuk bahawa ramai telah memilih untuk berkahwin pada usia sedikit lewat maka kebanyakkan daripada mereka masih mempunyai anak yang kecil ketika umur persaraan. Selain itu juga, tempoh membayar balik pinjaman yang panjang melewati usia persaraanmenunjukkan tren berhutang yang tinggi berlaku dalam masyarakat.
Dalam perkara ini, kerajaan perlu meneliti polisi perbankan yang sedia ada bagi mengekang tren membayar balik pinjaman yang panjang akibat jumlah hutang yang tinggi kerana pada dasarnya, had umur persaraan dinaikkan tidak sama sekali dengan tujuan untuk menggalakkan orang ramai berhutang dalam tempoh yang lama. Sekiranya perkara ini terlepas pandang, kita akan dapati gaya hidup berhutang akan semakin galak dipromosi secara tidak langsung.
Dalam masa beberapa tahun lagi, Malaysia dikatakan akan mengalami krisis populasi tua di mana sebahagian besar rakyat adalah warga tua dan tidak berada dalam peringkat produktif kepada negara. Walaupun kenaikan had persaraan adalah sebahagian daripada penyelesaian perkara ini, usaha-usaha ke arah penyeimbangan umur dalam populasi perlu dilaksanakan bermula dari sekarang antara lain ialah dengan menyediakan sokongan kepada institusi kekeluargaan. Jika ini tidak dilakukan, negara pada masa akan datang terpaksa mengeluarkan belanja yang besar bagimenampung keperluan populasi tua yang tidak berkeupayaan untuk menyumbang lagi.
Selain itu penyediaan prasarana ke arah pemantapan kualiti hidup tenaga kerja berusia perlu dimantapkan. Ini termasuklah polisi kesihatan yang ditambah baik dengan memberikan pelepasan kepada pekerja berusia 50 ke atas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sekerap yang diperlukan. Rombakan cara kerja berpasukan juga perlu dilakukan bagi memastikan kepakaran yang ada pada seseorang pekerja itu dapat dikongsi dengan yang lain terutama sekali oleh generasi muda dengan pengenalan sistempembimbing yang tersusun di tempat kerja.
Penambahan usia had persaraan tenaga kerja di Malaysia adalah satu manifestasi penghargaan kepada warga kerja yang berdedikasi. Namun begitu, pelan jangka masa panjang yang berkesan perlu dilakukan bagi menampung golongan ini untuk bekerja dalam persekitaran yang mesra usia selain daripada membuka lebih bannyak peluang pekerjaan kepasda generasi muda. Seterusnya, baki usia sekitar hingga 15 tahun setelah persaraan dapat dinikmati dengan lebih berkualiti.