Menurut Imam al-Ghazali, akal merupakan punca, titik permulaan dan asas kepada pengetahuan. Pengetahuan terbit daripada akal sebagaimana buah yang tumbuh daripada pokok, cahaya terbit daripada matahari dan penglihatan daripada mata. Akal juga merupakan unsur yang membezakan keperibadian seseorang manusia dengan seorang manusia yang lain. Ia perlu sentiasa dikembangkan secara berterusan supaya manusia dapat memperbaiki diri, menambah pengetahuan dalam kehidupan serta kemahiran dalam bidang teknologi juga bagi menjana dan merangsang kemajuan dan kesejahteraan hidup
Dalam dunia rumah tangga atau hubungan suami isteri, akallah yang akan menjadi pemula bagi menentukan setiap pihak mampu menerima tanggungjawab masing-masing, seterusnya melaksanakannya. Sebaliknya, jika akal tidak boleh berfungsi dengan baik, sudah tentu ia akan menjejaskan keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Akal yang sihat membenarkan kehidupan berkeluarga yang harmoni. Namun, hubungan suami isteri yang tidak harmoni dan sering bersengketa sebaliknya berupaya untuk menyebabkan ketidaktenangan jiwa dan gangguan terhadap akal, atau dengan bahasa yang lebih popular, tekanan mental.
Oleh sebab akal merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan manusia, maka kepentingan akal dijadikan sebagai salah satu daripada lima atau enam perkara yang menjadi tujuan Syariah diturunkan kepada masyarakat manusia sebagai aturan hidup selain kepentingan agama, diri, keturunan, harta dan kehormatan insan.
Sehubungan dengan itu, maka terdapat justifikasi tertentu sekiranya terdapat perkara-perkara yang menjejaskan kepentingan akal setiap individu manusia. Termasuklah jika terjejasnya kepentingan akal disebabkan oleh konflik perkahwinan. Atau dari sisi hukum syarak disebut darar terhadap akal. Rentetan daripada itu, tekanan mental boleh dijadikan sebagai antara alasan yang boleh dikemukakan oleh pihak isteri bagi pembubaran perkahwinan melalui fasakh.
Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada kes-kes yang pernah diputuskan, ternyata tekanan mental walaupun mudah untuk dibuktikan dengan menggunakan pendekatan dalam bidang psikiatri dan kesihatan mental, tetapi setakat ini ia belum pernah dijadikan sebagai alasan yang dominan. Seolah-olahnya, dari sudut keterangan ia tidak diyakini boleh berdiri sendiri, tidak sebagaimana alasan lain. Contohnya, penganiayaan fizikal yang kelihatan lebih konkrit sifatnya.
Dan yang lebih malang lagi apabila prosedur yang selama ini diamalkan lazimnya mengambil masa. Prosedur yang terpaksa dilalui ini dan mengambil masa yang panjang dan lama sebenarnya boleh menyumbang kepada bertambahnya tahap tekanan yang dialami oleh pihak penuntut.
Keadaan yang malang ini, diburukkan lagi dengan kaedah perbicaraan yang berbentuk adversarial. Kaedah ini secara mudahnya boleh difahami bahawa setiap pihak akan bersungguh-sungguh mengatakan bahawa ia di pihak yang benar sementara pihak lawan adalah salah. Dan kaedah perbicaraan ini bersifat amat tidak harmoni dengan penderita tekanan mental. Malah, sebenarnya boleh menambah buruk keadaan pihak penuntut yang menderita dengan masalah tekanan mental. Sedangkan, penderita tekanan mental adalah individu yang mengalami pelbagai bentuk masalah dari aspek emosi, fisiologikal, fizikal, sosial, spiritual dan tingkah laku. Masalah-masalah yang dihadapi ini sebenarnya boleh mengakibatkan ketidakupayaan bagi pihak yang menjadi mangsa untuk memberi sebarang keterangan di dalam mahkamah.
Berdasarkan konsep darar, tekanan mental sebenarnya boleh dijadikan sebagai alasan tunggal dalam membuat tuntutan fasakh bagi pembubaran perkahwinan. Dalam hal ini, al-Syatibi mendefinisikan darar sebagai penganiayaan suami terhadap isteri yang melibatkan lima perkara asas yang wajib dijaga, iaitu maslahah daruriyyah-agama, nyawa, keturunan, harta benda dan termasuklah akal isteri.
Melihat kepada keadaan ini dan situasi prosedur yang perlu ditempuhi adalah berpotensi untuk menambah buruk tahap tekanan yang ditanggung oleh pihak penuntut, maka satu penyelesaian alternatif yang lebih ringkas, efektif dan kompeten perlu diwujudkan bagi menguruskan kes fasakh dengan alasan tekanan mental. Dan ia sedikit pun tidak mengurangkan kredibiliti atau mengesampingkan kaedah-kaedah beban pembuktian sebagai disiplin perbicaraan dan kehakiman Islam yang perlu dipatuhi.
Prosedur cadangan yang jauh lebih ringkas tidak perlu mengandungi soal balas, soal semula ataupun keterangan saksi-saksi dari kedua-dua belah pihak, sebagaimana yang selama ini diamalkan. Iaitu, selepas pihak penuntut/plaintif membuat penyata tuntutan, dan kemudiannya saman diserahkan kepada pihak kena tuntut/defendan, mahkamah akan mengarahkan pihak plaintif untuk menghadiri ujian tahap tekanan mental untuk mendapatkan tahap tekanan yang dihadapinya. Dan konflik perkahwinan merupakan alasan atau punca yang dominan terhadap tekanan yang dialami.
Bagi tujuan ini, pakar-pakar dari bidang psikiatri dan kesihatan mental akan membina atau mewujudkan modul ujian khusus yang akan mendorong jawapan atau penjelasan bahawa tekanan mental yang dihadapi oleh pihak yang terlibat adalah disebabkan konflik-konflik yang berlaku dalam perkahwinan.
Sehubungan dengan perkara ini juga, pihak atau agensi yang menyediakan keterangan atau laporan tentang tahap tekanan mental pihak yang terbabit merupakan pihak yang berkecuali; tidak memihak mana-mana pihak, sama ada plaintif mahu pun defendan. Oleh yang demikian, satu pindaan undang-undang perlu dilakukan dengan menambah satu peruntukan seumpama Seksyen 104 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dengan tajuk, “Mahkamah hendaklah mengambil kira tentang nasihat pegawai kebajikan, dsb”
Selain itu, bagi tujuan penambahbaikan, adalah dicadangkan agar perbicaraan bagi kes-kes yang melibatkan tekanan mental diasingkan daripada perbicaraan biasa, selain suasana perbicaraan yang lebih selesa dan kondusif disediakan kepada pihak-pihak yang bertikai bagi mengelakkan sebarang unsur yang boleh menambah gangguan emosi bagi penghidap tekanan mental.
Selanjutnya, bagi penghidap tekanan mental yang lebih tenat, walaupun tidak berkeupayaan untuk membuat tuntutan secara sendirian, mereka seharusnya mempunyai ruang dengan bertindak melalui waris atau wakil mereka. Iaitu, melalui laluan yang diberikan oleh peruntukan yang meletakkan golongan ini dalam klasifikasi orang tak berkeupayaan. Ringkasnya dalam hal ini seseorang yang tidak berkeupayaan juga boleh dijadikan sebagai pihak-pihak dalam tindakan mal.
Daripada kupasan perbincangan ini menunjukkan bahawa Islam amat menghargai akal sebagai pemula kehidupan yang bermakna. Tanpa akal, kehidupan umpama tidak bernyawa. Sehubungan itu, kehidupan berumah tangga sewajarnya memberi ketenangan kepada diri dan kesejahteraan akal kepada suami isteri selain untuk menghalalkan hubungan, menjalin kasih sayang dan menambah zuriat.
Sekiranya suasana rumah tangga tidak sebagaimana yang diharapkan malah ia boleh menggugat kepentingan akal dan fungsinya, ada jalan keluar yang disediakan oleh hukum Syarak. Dan prasarana yang dibangunkan dalam bidang sains dan teknologi boleh dimanfaatkan untuk menyokong usaha memerdekakan akal daripada konflik berkenaan.