“Hak asasi adik-beradik yang telah dewasa untuk menentukan sendiri hubungan seksual pilihan mereka adalah lebih penting berbanding dengan matlamat pemeliharaan keluarga yang abstrak sifatnya.” Pendirian yang jelas mengutamakan kerakusan nafsu berbanding dengan kesucian institusi keluarga disuarakan oleh majoriti daripada keseluruhan 26 orang anggota Majlis Etika Kerajaan Jerman. Anggota majlis etika tersebut terdiri daripada ahli akademik dan individu terkemuka dalam bidang sains, perubatan, teologi, etika, sosial, ekonomi, dan undang-undang. Majlis Etika Jerman yang ditubuhkan pada tahun 2007 itu berperanan menasihati parlimen dan kerajaan berhubung dengan persoalan etika, kemasyarakatan, sains, perubatan, dan undang-undang selain mengesyorkan tindakan dari aspek politik serta perundangan.
Campur tangan oleh majlis etika tersebut dilakukan berikut kes membabitkan dua orang adik-beradik, Patrick Stuebing dan Susan Karolewski yang hidup sebagai pasangan suami isteri. Pasangan yang menegaskan hubungan mereka berasaskan kehendak naluri itu memiliki empat orang anak. Dua daripadanya mengalami kecacatan dan seorang lagi memerlukan pemindahan jantung. Kedua-dua adik-beradik berkenaan dibesarkan secara terpisah. Mereka hanya bertemu setelah Stuebing mencapai usia dewasa sementara Karolewski belasan tahun. Kes tersebut menimbulkan perdebatan hangat di Jerman lebih sedekad. Stuebing didakwa atas kesalahan sumbang mahram atau inses pada tahun 2008 dan menjalani hukuman tiga tahun penjara. Rayuannya pada tahun yang sama kepada Federal Constitutional Court dan European Court of Human Rights (ECHR) untuk mendapatkan hak kehidupan berkeluarga pada tahun 2012 tidak berjaya. Sebaliknya, keluarganya dipaksa untuk tinggal secara berasingan selepas diputuskan bahawa anak-anak mereka mesti dipastikan terpelihara daripada kesan buruk hubungan sumbang mahram.
Hubungan seksual antara adik-beradik atau antara ibu bapa dengan anak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 173 Kanun Jenayah Jerman. Undian yang dibuat pada 24 September lalu menyaksikan 14 anggota majlis etika tersebut menyokong pemansuhan Seksyen 173 itu berbanding sembilan orang anggota lagi membantah. Anggota majlis yang mengkaji semula keputusan mahkamah dan menyokong pemansuhan tersebut menekankan bahawa undang-undang jenayah tidak digubal untuk menguatkuasakan standard moral atau menentukan batasan bagi hubungan seksual yang dilakukan oleh warga negara atas kerelaan sendiri. Sebaliknya, undang-undang bertujuan melindungi individu daripada bahaya atau pencabulan yang serius dan memelihara ketenteraman awam daripada gangguan. Mereka turut berhujah bahawa risiko kecacatan yang dialami anak-anak bagi pasangan inses adalah tidak mencukupi untuk mewajarkan undang-undang tersebut.
Syor yang dikemukakan oleh anggota majlis tersebut segera mendapat bantahan daripada ahli politik tertentu. Alasan yang diberikan ialah pemansuhan undang-undang yang melarang hubungan sumbang mahram akan memberikan isyarat yang salah. Ini kerana pemansuhan hukuman bagi perlakuan sumbang mahram dalam sesebuah keluarga bertentangan dengan usaha yang diambil untuk memelihara kelancaran perkembangan kanak-kanak.
Apa yang sedang berlaku di negara yang penduduknya melebihi 80 juta orang itu tidak lebih daripada kesesatan yang diakibatkan oleh sekularisasi. Sebagaimana pernah ditegaskan oleh Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, penafian terhadap kekekalan nilai dalam akal dan perlakuan manusia merupakan salah satu komponen utama sekularisasi. Penafian ini seterusnya menyebabkan sikap manusia terhadap semua nilai menjadi relatif. Justeru, manusia dianggap bebas untuk mencipta perubahan nilai tersebut dan menghilangkan nilai-nilai yang bersifat mutlak. Dengan kata-kata lain, tiada nilai-nilai suci dan yang kekal untuk sepanjang masa. Sebaliknya nilai-nilai tersebut sentiasa akan berhadapan dengan penyemakan semula dan perubahan mengikut zaman. Kesimpulan tepat yang diberikan oleh Prof. Al-Attas ialah pandangan alam sekular berpegang sepenuhnya pada akal rasional manusia dalam menghuraikan segala persoalan. Perkara ini menurut beliau merupakan pendewaan manusia. Secara lebih khusus, manusia yang didewakan itu ialah manusia sekular dan manusia sekular tulen tentulah manusia barat.
Pendirian Islam terhadap perkahwinan sesama saudara atau adik-beradik adalah pasti (qat`ie), tetap, dan tidak berubah sama sekali. Penegasan al-Qur’an terhadap larangannya berkekalan sejak mula kitab suci itu ditanzilkan sehinggalah hari kiamat. Allah S.W.T. berfirman, “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita-wanita yang berikut): ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu….” (Surah al-Nisa’, ayat 23). Larangan ini sudah tentu bertujuan memelihara kemaslahatan manusia umumnya dan menghindarkan mereka daripada kemudaratan. Kemaslahatan yang dipelihara syarak melalui larangan ini ialah pengukuhan institusi keluarga, perluasan hubungan kekeluargaan, dan perkembangan keturunan yang baik, sama ada mental mahupun fizikal. Syari`at menetapkan peraturan terperinci berhubung dengan pasangan yang boleh dikahwini atau sebaliknya kerana ia berkaitan dengan beberapa persoalan penting lain dalam kehidupan individu Muslim seperti perwalian dan pembahagian harta pusaka.
Kemudaratan yang mahu dihindarkan syarak daripada menimpa manusia ialah keharubiruan dalam institusi keluarga yang mengakibatkan keruntuhannya dan kemusnahan keturunan. Sumbang mahram, perzinaan, dan hubungan seks songsang merupakan perlakuan-perlakuan keji yang mendorong berlakunya keruntuhan institusi keluarga serta keturunan. Seyogia diingatkan bahawa pemeliharaan keturunan dan prinsip-prinsip maqasid lain, iaitu nyawa, akal, harta sedemikian penting kerana kesemuanya bertujuan memelihara kepentingan agama, iaitu prinsip maqasid paling asas.
Sering kali benar kita didedahkan dengan cabaran pemikiran yang menular daripada faham falsafah barat. Pemikiran tersebut berusaha dan kelihatan berjaya menyeludup masuk dalam sistem nilai hidup, akhlak, pemikiran, kepercayaan, dan keseluruhan cara hidup umat Islam. Semuanya dengan tujuan untuk membawa perubahan yang melampau. Hakikatnya pula perubahan itu lebih bersesuaian dengan pandangan hidup sekular barat. Dengan yang demikian, kita dapat menyaksikan kini bagaimana nilai-nilai baharu dan berubah-ubah dianjurkan untuk menggantikan nilai-nilai kekal yang terdapat dalam agama. Lantas nilai-nilai baharu itu melahirkan pandangan hidup yang bertentangan dengan pandangan hidup agama.
Nilai-nilai tersebut begitu mudah meresapi kehidupan serong yang sememangnya digemari masyarakat awam. Itulah masyarakat kita yang tidak sama sekali menyedari nasib malang sebenar yang sedang ditempuh oleh mereka. Bagi menangani kekacauan yang melanda kini, maka persediaan besar perlu dilakukan umat Islam, terutama dari segi akal fikiran. Kefahaman tentang sifat dan akibat wabak sekularisasi harus difahami dengan sempurna. Hanya dengan demikianlah kita dapat memastikan masyarakat kembali berpaut pada nilai-nilai kekal dan tidak menuruti jalan yang dirintis manusia sekular menuju kesesatan. Manusia yang digambarkan Allah S.W.T. dalam firman-Nya sebagai, “…yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A`raaf, ayat 179).