Sebuah forum membincangkan peri pentingnya pendermaan organ di kalangan masyarakat khasnya masyarakat Melayu-Muslim telah diadakan pada 14 Oktober 2014 baru-baru ini bersempena dengan minggu pendermaan organ. Walaupun sudah wujud fatwa, bermula dengan negeri Perlis seawal 1965, fatwa kebangsaan 1970, (Sarawak 1996, Selangor 2000, Johor 2001 dan Pulau Pinang 2010), masih ramai umat Islam yang belum bersedia untuk menjadi pledgers atau pengikrar organ khususnya apabila mereka meninggal dunia (cadaveric donor) walaupun jumlah pesakit yang memerlukan pelbagai organ, contohnya pesakit buah pinggang meningkat pada setiap tahun.
Sehubungan dengan hal ini satu trend yang membimbangkan ialah jumlah pesakit buah pinggang ini meningkat dengan kadar yang begitu cepat, 22,932 orang pada tahun 2010 berbanding hanya 7,837 orang sahaja 10 tahun sebelumnya. Daripada trend ini amat perlu juga nampaknya semua pihak yang terlibat memandang serius dan mengambil langkah-langkah untuk mendidik dan mengubah sikap dan pemahaman orang ramai tentang kaitan di antara penyakit/kondisi kerosakan buah pinggang yang selalunya muncul akibat gaya hidup. Realitinya ialah penyakit buah pinggang yang kronik (PBPK) ialah contoh life-style disease atau penyakit-penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi yang berasal daripada gaya hidup (PGH) kurang/tidak sihat yang mengakibatkan penyakit-penyakit tersebut. Hari ini PGH mengancam kesihatan penduduk di negara-negara maju dan pesat membangun seperti Malaysia khasnya dengan begitu serius sekali. Di Amerika Syarikat misalnya dianggarkan lebih daripada 20 juta orang mengalami penyakit buah pinggang yang kronik.
PBPK ialah satu keadaan di mana buah pinggang seseorang itu rosak dan tidak berupaya membersihkan darah sepertimana yang boleh dan perlu dilakukan oleh buah pinggang yang sihat setiap hari. Akibatnya bahan sisa dan toksik yang dikeluarkan oleh sel-sel badan kekal di dalam darah dan seterusnya menimbulkan masalah lain pada tubuh.
Statistik daripada Unit Perkhidmatan Transplantasi Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa sehingga 30 September 2014 jumlah rakyat Malaysia yang berikrar untuk menderma organ selepas kematian adalah 266,583 orang mewakili hanya 0.9% dari jumlah keseluruhan rakyat Malaysia dan dari kalangan rakyat Melayu-Muslim hanya 0.4% yang berikrar untuk menderma. Statistik di negara-negara Islam yang lain sebagai perbandingan ialah 13% di Iran, 25% di Turki, Saudi dan di Kuwait.
Dalam konteks orang Islam sedunia, sudahpun wujud lebih 90 fatwa di kalangan negara-negara dan komuniti-komuniti Muslim dan tiada satu pun yang tidak menyokong pendermaan organ. Namun hakikatnya ialah ada dua pendapat/pendirian tentang isu pendermaan organ di kalangan umat Islam secara amnya iaitu yang menyokong dan yang tidak. Yang menariknya ialah walaupun majoriti tidak menentang hukum keharusan pendermaan organ namun mengikut kajian, hujah teologi daripada tokoh-tokoh agama yang disegani masih lagi boleh memainkan peranan yang penting dengan memberi soroton kepada nas-nas al-Quran dan Sunnah yang boleh menggalakkan pendermaan organ. Kajian juga menunjukkan apabila difahami, hujah-hujah tersebut mampu membantu para Muslimin lebih berusaha dan bersedia untuk berikrar mendermakan organ seperti yang cuba digalakkan oleh kempen kesedaran yang berlangsung 16 – 24 Oktober setiap tahun tersebut di negara ini misalnya.
Sudut inilah yang cuba diselami semasa forum yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini. Di samping pakar-pakar perubatan yang menjelaskan prosedur-prosedur dan adab-adab serta SOP proses pemindahan organ, tokoh fatwa dan tokoh imam muda yang juga pengikrar dermaan organ turut memberikan rasionalisasi mereka terhadap amalan yang dianggap sejenis qurban akbar atau pengorbanan yang besar oleh para ulama seperti Ibn Qayyim misalnya.
Untuk meningkatkan kefahaman golongan Melayu-Muslim di negara kita, khususnya golongan belia/muda, dan untuk menggerakkan proses ‘pembudayaan’ pendermaan organ di kalangan masyarakat seperti yang disarankan oleh kempen ini memerlukan asas berfikir atau tasawwur Islam tentang pendermaan organ diuar-uarkan lagi. Di antara nas-nas yang digunakan adalah seperti yang berikut:
Hadith:
“Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan ubatnya” (Sahih Bukhari);
Dari Jabbir bin Abdullah Rasulullah SAW menyatakan:
“Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat tersebut sesuai dengan penyakit, maka ia akan sembuh dengan izin Allah” (Sahih Muslim);
“Sesungguhnya Allah tidak mengadakan sesuatu penyakit, melainkan Dia juga mengadakan ubatnya kecuali satu penyakit, iaitu ketuaan” (Ibn Majah & Abu Dawud).
Dalam ijtihad ulama zaman ini, pendermaan organ termasuk di bawah kategori mengubati/merawati penyakit dan dua asas perkiraan di dalam membolehkan pendermaan organ adalah prinsip maslahah (kebajikan umat) dan al-Ithar (altruisme). Walaupun umat Islam meyakini bahawa menghidup dan mematikan adalah hak dan kuasa Allah semata-mata seperti ayat Quran yang bermaksud:
“Dan Allah yang menciptakan dan yang mematikan kamu…” (Quran an-Nahl:70), namun Quran juga meminta kita menggunakan akal untuk berikhtiar mencari penyembuh kepada penyakit yang dihadapi.
“dan sesiapa yang menyelamatkan sebuahnya nyawa, seolah-olah dia menyelamatkan nyawa semua manusia” (al-Maidah: 32).
Ini menandakan prinsip menjaga kebajikan/maslahah ummah dan al-Ithar atau altruisme amat disanjung di dalam Islam dan oleh kerana pendermaan organ memang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa maka ianya dianggap sebagai pengorbanan yang amat tinggi; apatah lagi sekiranya pendermaan tersebut diniatkan kerana Allah jua pada hakikatnya.
Prinsip-prinsip kebolehan/keharusan pendermaan organ di dalam Islam juga termasuklah:
•(i) Segala amalan dihakimkan/diukuri mengikut sebab dan tujuannya. Pendermaan organ dilaksanakan bukan untuk menyakiti mayat/jenazah tetapi untuk menyelamatkan nyawa.
•(ii) Kerosakan atau kemusnahan nyawa perlu dihindarkan. Seperti yang dinyatakan surah al-Maidah di atas. Di dalam situasi pendermaan organ, darjah “kerosakan” mengambil organ orang yang meninggal dunia dianggap jauh kurang daripada membiarkan si penerima organ maut akibat gagal menerima organ si penderma. Undang-Undang Islam juga membolehkan pendermaan organ di dalam keadaan yang terpaksa seperti yang disarankan oleh al-Quran, “Maka sesiapa yang terpaksa (melakukan sesuatu tindakan) sedang ia tidak menginginkannya, dan tidak pula melampaui batas (kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya maka tidaklah ia berdosa” (al-Baqarah: 173).
•(iii) Apabila berlaku kecemasan, pendermaan organ dibolehkan kerana ia merupakan kemudahan yang Allah adakan untuk membantu manusia di dalam kesusahan yang dihadapinya. “Allah mengkehendaki kemudahan bagimu dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu” (Quran al-Baqarah: 185).
Bergantung kepada darjah kedharuratan yang dialami masyarakat amnya dan orang Islam khasnya serta realiti di mana mereka, di dalam banyak kes merupakan penerima organ orang yang bukan Islam juga, mungkin sudah sampai masanya isu pendermaan organ di kalangan mereka dihalusi dan disebarkan dengan lebih berkesan lagi. Pada masa yang sama turut relevan sepatutnya ialah usaha menyebarluaskan khazanah ilmu Islami tentang ‘gaya hidup’ yang baik yang boleh dinatijahkan sebagai mekanisme mengelakkan kerosakan organ itu sendiri.