Ulama ulung, Sayyid Sabiq menyatakan bahawa terdapat tujuh kekuatan yang perlu ada pada setiap orang Islam jika ingin membangun iaitu kekuatan akidah merangkumi keimanan mutlak kapada Allah s.w.t; kekuatan ilmu iaitu ilmu yang merupakan penegak peribadi manusia, penyingkap hakikat kewujudan sesuatu benda atau perkara di alam nyata; kekuatan budi pekerti iaitu dengan cara menyucikan jiwa sehingga dapat berkembang di jalan yang lurus menuju ke arah kemuliaan dan keluhuran rohani; kekuatan ekonomi iaitu memperolehi kekayaan, kemakmuran bumi, memperkembangkan kekuatan alam dan mengambil kemanfaatan dari sumber alam; kekuatan ikatan masyarakat iaitu menggerakkan masyarakat di atas dasar kemerdekaan, keadilan, kesamarataan, mengikut asas-asas syariat Islam, bekerja kuat, pergaulan yang baik, undang-undang yang jujur menuju kebahagiaan yang dikatakan; kekuatan susunan perdamaian iaitu melaksanakan perdamaian umum yang berteraskan kepada hormat-menghormati antara sesama manusia, menjamin hak manusia dan melindungi semua perjanjian; dan akhirnya kekuatan jihad iaitu memberi pengorbanan nyata demi membela hak, memperolehi kehidupan yang merdeka dan memperolehi kehidupan manusia.
Asas-asas kekuatan yang digariskan oleh Sayyid Sabiq itu bersesuaian dengan pandangan Imam al-Ghazali bahawa pembangunan insan harus menekankan peningkatan dua perkara penting iaitu kekuatan intelektual dan kekuatan taharah (penyucian).
Berlandaskan kekuatan-kekuatan yang digariksan diatas, dapat difahami bahawa agenda pembangunan merupakan satu proses yang berterusan kerana ianya terikat dengan kehidupan manusia sejak ia dijadikan sehinggalah kehidupannya di hari akhirat. Ini adalah kerana pembangunan atau kehidupan di dunia merupakan alat untuk mendapat keredaan Allah (mardatillah) sebagai ganjaran kebahagiaan kehidupan di akhirat kelak.
Pembangunan insan dalam konteks Islam membawa manusia ke arah satu tamadun yang seimbang iaitu tamadun yang mementingkan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Umumnya, matlamat-matlamat pembangunan dalam Islam boleh dilihat dalam beberapa konteks di bawah.
Pembangunan peribadi dan keupayaan manusia tercetus apabila seseorang itu patuh sepenuhnya kepada ajaran Islam dan menjadikan Islam sebagai pegangan hidup (the way of life). Ini adalah kerana Islam mengajar manusia ke arah membentuk watak dan sikap yang betul menerusi pendidikan, kepimpinan, dan lain-lain yang berdasarkan nilai-nilai Islam.
Sumber pengeluaran yang berguna dan bermanfaat yang dimaksudkan dalam Islam adalah makanan dan benda-benda asasi yang lain, keluaran untuk pertahanan Islam dan barang-barang untuk kegunaan sendiri. Satu perkara yang penting dititik beratkan oleh Islam terhadap bahan-bahan keluaran yang dihasilkan itu ialah ia mesti mampu dibeli oleh orang-orang miskin yang berpendapatan rendah. Bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud “(Oleh itu) kekayaan itu janganlah hanya dikuasai oleh segelintir manusia….“(Fussilat:7)
Islam mementingkan kesejahteraan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik. Kesejahteraan ini adalah gambaran kualiti kehidupan umat Islam. Kualiti kehidupan yang dimaksudkan boleh dicapai dengan tiga cara iaitu mewujudkan peluang pekerjaan; mewujudkan jaminan sosial secara meluas khususnya kepada golongan yang tidak dan kurang berupaya melalui pengagihan zakat contohnya; dan pengagihan pendapatan dan harta wajib dilakukan secara adil supaya dengan ini boleh merapatkan jurang ketidaksamaan yang berlaku di kalangan masyarakat.
Islam juga mementingkan pembangunan teknologi. Teknologi yang ingin dibangunkan itu mestilah sesuai dengan persekitaran tempatan iaitu sesuai dengan keperluan atau aspirasi negara Islam. Islam menggalakan rekacipta, memperbaiki, dan mengubahsuai teknologi yang ada kepada teknologi yang lebih canggih.
Jelaslah bahawa agama Islam melarang sebarang pembangunan yang mendatangkan kesusahan kepada manusia. Pembangunan jenis ini sebenarnya berasaskan kepada kuasa dan kebendaan semata-mata. Pembangunan sedemikian termasuklah pembangunan yang memberi kezaliman kepada manusia, mengancam kesejahteraan sejagat, menjadikan manusia lupa tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. Oleh itu, setiap pembangunan itu mestilah mendatang manfaat kepada kehidupan manusia.
Kejadian manusia, sebagai khalifah di muka bumi, dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbir urusan dunia demi kebahagiaan kehidupan di dunia dan akhirat. Dalam konteks yang lebih besar, manusia merupakan agen perubah yang dinamik dan progresif kerana kejadian manusia itu pada dasarnya adalah baik, tetapi kerana dorongan nafsu dan bisikan syaitan menyesatkan manusia sehinggalah pembangunan dilihat daripada aspek keduniaan semata-mata. Hakikat ini difirmankan Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”(ar-Rum 30:41)
Dalam erti kata lain, kehidupan manusia di muka bumi ini berasaskan kepada elemen perhubungan yang penting. Sekiranya elemen perhubungan ini diamalkan dengan sebaik-baiknya, manusia akan dapat menunaikan tanggungjawabnya dan memberi manfaat dan kebahagiaan. Hubungan yang dimaksudkan itu ialah hubungan di antara Allah dan manusia (hablul minAllah) yangterjalin menyatakan bahawa manusia adalah hamba Allah dan pada masa yang sama manusia adalah khalifah dan penguasa di muka bumi dalam konteks perhubungan sesama makhluk, ciptaan tuhan yang lain (hablul minnas).
Inilah konsep yang sering dipinggirkan dalam memahami konsep pembagunan Pembangunan dalam konteks Barat hanya dikaitkan kepada urusan duniawi semata-mata, walhal kita mengetahui hakikat di mana manusia sebagai agen perubah dalam masyarakat, mempunyai pertalian atau perhubungan rapat dengan penciptaNya. Dan Allah s.w.t sebagai Maha Pencipta meletakkan amanah kepada setiap manusia di muka bumi ini untuk membuat kebaikan dan menghindarkan kemungkaran sebagaimana firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka merweka enggan meikmkulnya dan bimbang tidak dapat menyemprunakanny (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persedian yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabi’at kebanyakkan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan” (al-Ahzab 33:72)
Setiap negara mengimpikan pembangunan yang menjamin keadilan dan sesejahteraan hidup. Keagungan dunia Islam suatu ketika dulu musnah apabila umat meminggirkan hubungan mereka dengan Allah dan sesama manusia. Kemusnahan ini disebabkan oleh kerakusan manusia terlampau mengejarkan pembangunan keduniaan sehingga melupai pembangunan akhirat. Oleh itu, setiap dasar pembangunan yang hendak dibuat haruslah dimulai dengan kekuatan akidah, intelek, dan kemasyarakatan. Apabila ini berlaku maka kesan pembangunan yang diambil akan mendatangkan manfaat dan kesejahteraan kepada manusia itu sendiri.