Dalam usaha dan langkah untuk mengurangkan masalah kekurangan zat makanan, populasi dunia masih lagi digugat dengan pelbagai bentuk ancaman berkait dengan makanan. Masalah kekurangan vitamin dan mineral, obesiti serta penyakit tidak berjangkit bermaharajalela dalam masyarakat awam kini. Ancamannya tidak hanya terhenti setakat itu sahaja, tetapi juga melibatkan suatu aspek yang agak kurang diberi perhatian namun wajar dititikberatkan secara signifikan iaitu aspek keselamatan makanan. Ia jarang dibicarakan tetapi menjadi unsur penting dalam kerangka pemilihan makanan berdasarkan konsep halal dan tayyib.
Memastikan makanan yang dihasilkan, dipasarkan, dimasak dan dimakan bebas daripada sebarang pencemaran serta jangkitan mikrob adalah menjadi keutamaan bagi setiap pihak yang berkepentingan dalam penghasilan makanan mahupun pengguna. Jutaan manusia yang jatuh sakit setiap tahun disebabkan mengambil makanan yang tidak selamat. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), penyakit diarea membunuh hampir 1.5 juta kanak-kanak setiap tahun dan kebanyakannya adalah disebabkan oleh makanan atau minuman yang tercemar.
Kebolehdapatan dan kecukupan makanan yang berzat dan selamat adalah kunci untuk memelihara kesihatan. Ia adalah salah satu aspek jaminan sekuriti makanan. Makanan yang tidak selamat mengandungi pelbagai jenis bakteria yang bahaya, virus, parasit atau bahan kimia. Ia boleh menyebabkan lebih daripada 200 jenis penyakit yang melibatkan masalah diarea sehinggalah penyakit kanser. Keseriusan masalah ini membawa kepada penyakit yang memberi kesan kepada kesihatan dan kualiti kehidupan. Betapa kompleksnya proses penghasilan makanan pada hari ini menyebabkan aspek kawalan keselamatan dan kualiti makanan menjadi begitu mencabar. Pelbagai punca pencemaran perlu dikawal pada setiap rantaian bekalan makanan bermula daripada bahan mentah sehinggalah ke peringkat menghidang makanan.
Banyak insiden yang berkaitan dengan keselamatan makanan membuka mata masyarakat menuntut agar pihak kerajaan lebih serius dalam memastikan penjualan makanan di pasaran tempatan termasuk yang diimport adalah selamat. Pelbagai langkah digembleng oleh pihak kerajaan dalam usaha menjaga kualiti dan keselamatan makanan sama ada di peringkat pengusaha industri mahupun di premis makanan. Ini dapat memastikan agar penghasilan makanan adalah selamat tanpa mudarat dan memberi pilihan premis makanan yang bersih dan selamat kepada pengguna. Namun begitu, bagaimana pula tahap kawalan keselamatan makanan sekiranya berada di rumah? Aspek keselamatan makanan tidak hanya tertakluk kepada usaha kerajaan untuk mengawalnya tetapi ia juga memerlukan komitmen pengguna. Ini kerana pencemaran boleh berlaku dalam setiap peringkat dan proses yang membabitkan makanan. Sebab itu, kesedaran pengguna harus ditingkatkan melalui program pendidikan amalan kebersihan diri dan sanitasi makanan yang baik.
Pencemaran makanan boleh disebabkan oleh mikrob yang merbahaya seperti Salmonella, E. Coli dan sebagainya. Mikroorganisma dipindahkan kepada makanan dan minuman melalui amalan sanitasi yang tidak bersih dan juga peralatan kotor. Kebersihan tangan sebelum, semasa dan selepas pengendalian makanan amatlah penting dalam memastikan makanan tidak tercemar. Pencemaran silang juga boleh berlaku apabila makanan mentah yang mengandungi banyak mikroorganisma dipindahkan kepada makanan yang telah dimasak atau sedia untuk dimakan melalui sentuhan. Contohnya, pisau yang digunakan untuk menghiris daging mentah digunakan pula untuk memotong buah atau sandwich.
Penyimpanan bahan makanan mengikut suhu yang sesuai juga perlu diambilkira untuk mengelakkan pencemaran berlaku. Mikroorganisma mudah membiak dan berganda dengan cepat sekiranya makanan disimpan pada suhu bilik. Dengan mengekalkan suhu di bawah 5 darjah celcius atau melebihi 60 darjah celcius akan merencat perkembangan mikroorganisma. Sekiranya ingin menyahbeku bahan mentah, elakkan daripada diletakkannya dalam keadaan suhu bilik. Perkara sebegini seringkali diabaikan oleh masyarakat terutama sekali golongan suri rumah semasa proses penyimpanan makanan sehinggalah disedari sekiranya berlaku simptom-simptom diarea seperti muntah dan sakit perut. Langkah tersebut kelihatan kecil tetapi memberi impak yang besar kepada tahap kesihatan sesebuah keluarga. Pengendalian makanan yang baik boleh mengelakkan daripada berlakunya penyakit bawaan makanan ini.
Begitu juga jika makanan yang terdedah, mudah dimasuki oleh kuman menerusi haiwan seperti lalat, tikus dan lipas. Dalam Islam, pemilihan makanan yang bersih dan berkualiti menjadi unsur penting selain daripada aspek kehalalan. Islam amat menekankan kebersihan secara rohani dan jasmani. Oleh sebab itu, unsur kebersihan tidak boleh diabaikan dalam memastikan sesuatu makanan selamat atau tidak untuk dimakan. Rasulullah SAW pernah bersabda,
Penekanan kepada aspek keselamatan makanan menjadikan sebagai salah satu ciri makanan berkualiti. Sebagai seorang Islam, kita perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang tercemar, makanan bertin yang sudah lama terbuka dan berkarat, makanan daripada sumber yang tidak selamat dan berbahaya, makanan yang layu dan sebagainya. Ini kerana ia akan memudaratkan kesihatan dan menimbulkan penyakit-penyakit yang berpunca daripada makanan. Makanan yang mendatangkan kemudaratan kepada fizikal dan mental manusia diharamkan dalam Islam. Pengharaman sesuatu yang memudaratkan ini dapat difahami melalui hadis Nabi SAW iaitu “tidak boleh memudaratkan diri dan tidak memudaratkan orang lain”.
Kebanyakan masyarakat kita pada hari ini, tidak menganggap aspek keselamatan makanan penting seperti mana unsur halal yang selalu dititikberatkan. Masyarakat pengguna menuding jari bahawa tanggungjawab tersebut terletak di bahu kerajaan dan pengusaha serta pengendali makanan. Sedangkan pihak kerajaan, industri dan pengguna memainkan peranan penting dalam memastikan tahap keselamatan makanan kerana ia tanggungjawab bersama.
Kepedulian terhadap keselamatan makanan yang diremehkan mungkin disebabkan oleh kurangnya kesedaran dan pengetahuan dalam setiap proses pengendalian makanan. Ia juga menggambarkan sikap dan amalan seseorang dan menentukan bagaimana mereka menanggapi aspek kualiti sesuatu makanan. Sedangkan pemilihan makanan yang selamat juga merupakan satu kriteria yang perlu dipatuhi dalam memenuhi konsep halal dan tayyib. Pengetahuan tentang keselamatan makanan merupakan satu langkah untuk mengelakkan diri daripada mengambil makanan yang sudah tercemar dan mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan.
Menjadi satu bencana kepada masyarakat sekiranya makanan yang kita ambil dalam kehidupan ini tidak selamat. Pihak kerajaan harus memperkasakan langkah-langkah yang sedia ada untuk menyusun atur strategi dalam bidang pertanian, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial demi menyediakan makanan yang sihat dan selamat untuk semua. Justeru, masih banyak yang perlu dibuat dan dianalisis oleh semua pihak yang berkepentingan dalam rantaian makanan. Penyepaduan usaha daripada semua akan menentukan tahap keselamatan makanan dan kesihatan kita dan generasi akan datang.