Pengurusan sisa merupakan antara cabaran besar yang dihadapi oleh kita pada hari ini. Sementelah lagi, dalam kerancakan pembangunan ekonomi yang kian pesat telah menyaksikan longgokan sisa buangan juga semakin bertambah. Ini pastinya menuntut perhatian yang lebih serius lagi daripada pihak pemerintah dalam menguruskan sisa agar tahap kebersihan alam sekitar terus terpelihara.
Angka kitar semula yang begitu kecil ini pastinya sangat mengecewakan kita, dan ia jelas memperlihatkan berlakunya pembaziran yang ketara ke atas sumber-sumber yang masih berharga ini, sedangkan ia sepatutnya dipulihkan untuk digunakan semula. Jika keadaan ini dibiarkan berlanjutan, ia pastinya akan menjadi lebih meruncing selari dengan kepesatan pertambahan penduduk dari semasa ke semasa.
Dalam menentukan kaedah penyelesaian bagi mengatasi masalah timbunan sisa, pemilihan insinerator (kaedah menunu sisa untuk ditukar menjadi sumber) bukanlah satu pilihan yang bijak dan tepat. Ini kerana, dari sisi lain kaedah ini menuntut kos yang terlalu mahal untuk dioperasikan sebab bahan api yang lebih diperlukan bagi menunu sisa organik yang dijana, dan ia pastinya menimbulkan beban kewangan kepada negara.
Ini sekali gus membawa kepada peningkatan kos pengurusan sisa yang akhirnya kita sendiri terpaksa membayar untuk penggunaan teknologi yang begitu mahal, dan dalam masa yang sama turut menghalang usaha dan sistem baru dalam pengurusan sumber dan sisa untuk berkembang yang ternyata boleh membantu mengurangkan kos dalam jangka masa pendek dan juga panjang.
Selain faktor pembaziran kos yang perlu diambil kira, kesan daripada pembinaan dan operasi insinerator juga perlu diperhalusi kerana ia turut berpotensi menjejaskan tahap kesihatan awam, ekonomi, iklim dan alam sekitar.
Justeru, sudah tiba masanya kita memikirkan secara serius untuk bergerak ke arah aplikasi konsep ‘sisa sifar’. Ia merupakan pilihan tepat kerana mengetengahkan pendekatan sistem secara keseluruhan yang bertujuan mengubah cara bahan-bahan mengalir melalui masyarakat dengan matlamat akhir adalah sisa sifar.
Dalam erti kata lain, konsep ‘sisa sifar’ merupakan satu pendekatan bagi menyeru masyarakat untuk mencontohi kitaran semulajadi, iaitu semua bahan buangan adalah sumber yang masih berguna yang boleh diproses untuk kegunaan lain.
Melalui konsep ‘sisa sifar’, kita dianjurkan untuk memaksimumkan kitar semula, meminimumkan sisa lebihan dan mengurangkan penggunaan serta memastikan setiap produk yang dihasilkan boleh diguna semula, dibaiki, dikitar dan dikomposkan.
Konsep ‘sisa sifar’ adalah berbeza dengan konsep kitar semula, yakni ia bermula seawal proses penciptaan sesuatu produk lagi yang melibatkan pengguna, pengeluar dan juga pembuat dasar. Manakala, bagi konsep kitar semula pula, proses bermula setelah sampah atau sisa terhasil.
Sebagai contoh, melalui konsep ‘sisa sifar’ pihak pengeluar perlu menghasikan produk atau perkhidmatan yang tidak berbahaya seperti dapat mengurangkan penghasilan jumlah sisa toksik dan paling minimum menghasilkan sisa setelah digunakan. Dalam konteks ini, pihak pengeluar perlu memastikan aspek pembungkusan dan produk yang dihasilkan juga adalah boleh dikitar dan diguna semula bagi menghasilkan produk-produk yang seterusnya.
Dengan pengintegrasian konsep ‘sisa sifar’ atau pengurusan bijak sumber ini, pelbagai manfaat yang kita akan perolehi. Pertama, kita dapat melindungi alam sekitar kerana ia memberi kesan yang sangat minimum berbanding kaedah-kaedah lain. Misalnya, masalah pencemaran udara, air dan tanah dapat dikurangkan, selain memelihara sumber semulajadi dan meminimumkan pembebasan gas rumah hijau ke atmosfera yang menjadi punca kepada berlakunya perubahan iklim dunia yang memberi ancaman besar kepada kehidupan sejagat.
Kedua, aplikasi ‘sisa sifar’ dapat membantu dalam pembangunan ekonomi dan juga eko-pelancongan. Sebagai contoh, dengan memanfaatkan sumber-sumber berharga dalam aliran sisa, ia dapat merangsang pertumbuhan ekonomi melalui kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan.
Malah, jika dibandingkan dengan kaedah insinerator, kaedah ‘sisa sifar’ dapat menyediakan secara purata 20-30 peratus lebih banyak peluang pekerjaan. Selain itu, tenaga kerja yang diperlukan untuk pelaksanaan kaedah ‘sisa sifar’ juga boleh berpuas hati dengan pasaran domestik berbanding keperluan kemahiran tinggi teknologi seperti insinerator.
Dalam masa yang sama, dasar ‘sisa sifar’ juga dapat membantu melindungi dan mempromosikan imej negara sebagai destinasi pelancongan hijau tanpa bahaya kesihatan yang tersembunyi berkaitan dioksin dan pencemaran air bawah tanah.
Ketiga, pengaplikasian konsep ‘sisa sifar’ dapat membantu mengurangkan kadar import. Ia adalah berikutan kesan langsung daripada kadar penggunaan semula bahan yang lebih tinggi dan juga konsep pemulihan yang berkait dengan ‘sisa sifar’.
Keempat, konsep ‘sisa sifar’ juga dapat membantu mengurangkan kos pelupusan sisa jangka panjang kerana kos tambahan untuk tujuan pemulihan tapak pelupusan akan dapat dielakkan.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna aplikasi konsep ‘sisa sifar’ dapat menghapuskan sisa secara sepenuhnya. Tetapi sekurang-kurangnya dengan mempraktikkan prinsip ‘sisa sifar’, kita dapat mencapai tahap menghampiri sifar, selain mencapai matlamat seperti pengeluaran bersih (clean production) dan perlindungan alam sekitar daripada kesan sampingan rawatan sisa.
Melihat kepada manfaat/kelebihan yang disumbangkan melalui aplikasi konsep ‘sisa sifar’, ia sebenarnya amat bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh islam sendiri. Antaranya, kita dilatih agar memaksimumkan penggunaan supaya unsur-unsur pembaziran dapat dielakkan, selain menggunakan pelbagai sumber yang ada secara berhemah walaupun ia wujud dalam kuantiti yang besar.
Malah, kita juga disaran untuk menguruskan amanah Allah secara berhemah dan bijaksana. Misalnya, konsep ‘sisa sifar’ yang menekankan aspek pengurusan sumber berbanding pengurusan sisa dilihat amat bertepatan dengan saranan tersebut. Ini kerana, jika sumber diurus secara baik dan berkesan dengan bantuan teknologi yang bersesuaian, pastinya produk dan perkhidmatan yang dihasilkan juga adalah berkualiti dan menepati konsep mesra alam.
Melalui konsep ‘sisa sifar’ juga, masalah kekurangan tapak pelupusan dapat diatasi dan longgokan sampah tidak akan berlaku kerana hasil perindustrian dan perkilangan tidak lagi menyumbang ke arah penghasilan sisa yang tidak bermanfaat serta berbahaya. Ini sekali gus dapat membendung masalah pencemaran alam sekitar yang semakin kritikal pada hari ini dan kesihatan alam sekitar juga akan terus terpelihara.