Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 183, yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu sekalian mencapai tingkatan takwa.
Kini, Ramadan datang lagi. Inilah masanya untuk umat Islam menunaikan rukun Islam yang ketiga. Sebagai umat Islam yang taat dan patuh, tentunya kita ternanti-nanti akan kedatangan bulan mulia yang penuh keberkatan ini.
Dalam bulan ini, umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan ibadat. Ibadat sunat pada bulan ini diberi ganjaran seperti ibadat wajib. Manakala ibadat wajib pula diberi ganjaran sehingga 70 kali ganda berbanding biasa. Itulah sebabnya, umat Islam berlumba-lumba untuk melakukan ibadat sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Walaupun memperbanyakkan ibadat itu amat dituntut, namun, itu tidak bererti kita hanya perlu bersembahyang, berzikir dan bertasbih semata-mata sepanjang bulan Ramadan ini. Pekerjaan yang kita lakukan sehari-hari juga boleh menjadi satu ibadat sekiranya dilakukan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Jadi, tiada sebab mengapa kita perlu menganggap kerja-kerja yang berkaitan dengan dunia ini tidak menyumbang kepada ibadat puasa yang kita jalankan.
Sebaliknya, ibadat puasa itu dapat menjadikan kita sebagai pekerja yang lebih tekun dan berdedikasi. Ini kerana sudah pasti kita akan mengoptimumkan masa kerja kita kerana tidak perlu lagi memikirkan tentang masa makan atau minum, mahupun berbual kosong yang mungkin menjejaskan pahala puasa kita.
Ramadan juga membuka pintu rezeki bagi sesetengah orang. Ini khususnya kepada para peniaga yang berniaga di pasar Ramadan, mahupun peniaga bermusim yang menjual barang-barang keperluan Hari Raya. Para peniaga ini perlu bersyukur dengan peluang perniagaan yang terbuka sempena Ramadan dan Syawal.
Sebagai tanda kesyukuran itu, mereka sepatutnya bertekad untuk menjadi peniaga yang memenuhi etika berniaga seperti yang dituntut oleh Islam.
Ini bererti mereka perlu menjadi peniaga yang jujur, yang menjual makanan dan barangan yang berkualiti pada harga yang berpatutan.
Mereka sepatutnya tidak mengambil kesempatan ke atas para pelanggan dengan menjual pada harga yang mahal, mahupun menjual barang-barang yang tidak baik kualitinya. Malah, dalam situasi ini, memberi lebih adalah lebih baik atas dasar sedekah yang sudah pasti akan mendatangkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
Para pengguna pula perlulah bijak dalam membuat keputusan tentang barang-barang yang ingin dibeli. Dalam keadaan sekarang di mana harga barangan semakin meningkat, para pengguna perlu sedar bahawa pada akhirnya, keputusan untuk membeli atau tidak, terletak di tangan kita.
Apalah gunanya merungut tentang kenaikan harga barangan jika kita tetap membeli dan menggunakannya tanpa berhemah. Jadi, sepanjang Ramadan ini, amalkanlah sikap pengguna yang bijak dan berhemah. Berbelanjalah ikut kemampuan dan keperluan. Ingatlah, berbelanja dalam keadaan perut yang lapar sememangnya membuatkan kita membeli lebih dari apa yang diperlukan. Untuk itu, sentiasalah beringat sebelum membeli sesuatu juadah, mahupun keperluan yang lain.
Ramadan juga melatih kita tentang kesabaran. Bukan hanya bersabar untuk menunggu masa berbuka tetapi juga dalam semua hal yang lain. Sehinggakan jika ada yang memprovokasi kita, maka kita dituntut untuk mengatakan, “Sesungguhnya aku berpuasa.” Ini bertujuan untuk mengingatkan diri kita dan pihak lawan agar berhenti daripada bertekak supaya puasa kita tidak jadi sia-sia seandainya timbul pergaduhan yang lebih besar.
Berkait dengan kesabaran ini, para pelajar akan menduduki peperiksaan SPM dalam bulan Ramadan ini. Jika ini dilihat sebagai satu dugaan, maka bersabarlah menghadapinya.
Keadaan ini tidak patut dilihat sebagai satu halangan. Anggaplah ia sebagai satu pengorbanan, satu jihad ke arah memartabatkan ummah. Umat Islam terdahulu terpaksa ke medan perang di bulan Ramadan. Jadi, apalah sangat, menduduki peperiksaan dalam keadaan berpuasa.
Sebaliknya, keadaan ini perlu dilihat sebagai satu kelebihan kerana di bulan ini Allah mengabulkan doa orang-orang yang berpuasa.
Oleh yang demikian, di samping mengulang kaji pelajaran, banyakkanlah berdoa supaya Allah menerangkan hati dan melancarkan fikiran kita agar dapat menjalani peperiksaan itu dengan baik dan cemerlang.
Sebenarnya, sebagai umat Islam yang tinggal di Malaysia, tidak banyak dugaan yang perlu kita hadapi sepanjang bulan Ramadan ini. Tidak seperti saudara seagama kita di Palestin atau Iraq, mahupun Afghanistan. Di sini, kita tidak berperang atau diperangi. Cuma kita perlu berperang dengan tabiat dan kebiasaan buruk kita yang sering mengajak untuk melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan ibadah puasa kita menjadi sia-sia.
Oleh itu, sentiasalah berwaspada dengan bisikan hati sendiri. Ingatlah kepada pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud, Berapa banyak orang yang mengerjakan puasa yang tidak mendapat habuan dari puasanya melainkan rasa lapar dan dahaga.
Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini.