PERANAN dan pengaruh agama dalam pembentukan kesefahaman dalam komuniti peringkat nasional mahupun antarabangsa adalah sesuatu yang amat penting.
Ia perlu digandingkan demi menjamin kesejahteraan dan keamanan komuniti negara mahupun antarabangsa.
Islam sendiri tidak pernah mengunjurkan bahawa ia satu-satunya agama anutan manusia, malah mengiktiraf wujudnya agama lain seperti Kristian dan Yahudi.
Begitu juga ajaran Islam tidak pernah memaksa anutan mereka ke atas bangsa lain. Perkembangan Islam di Asia Tenggara contohnya, terlaksana tanpa sebarang paksaan.
Satu ketika dulu ideologi komunis pernah cuba untuk dijadikan ideologi anutan utama manusia. Soviet Union dan China satu ketika begitu gigih menetapkan rakyatnya menganuti ideologi komunis melalui pendekatan paksaan dan menekan agama lain.
Pada satu ketika mereka juga giat mengeksport ideologi komunis ke merata dunia, termasuk Malaysia. Keruntuhan Soviet Union dan keterbukaan komunis China ketika ini dilihat sebagai berakhirnya ancaman gagasan itu.
Namun, sejarah juga mencatatkan bahawa tamadun Barat memperkenalkan kolonialisme yang bercirikan penindasan, ketidakadilan, eksploitasi dan pengabaian hak asasi kemanusiaan yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan.
Kolonialisasi Barat menyebabkan berjuta-juta nyawa terkorban; kekayaan bumi dan khazanah negara jajahan dirompak dan dibawa pulang untuk membangunkan negara mereka hingga hari ini. Masyarakat dan bekas tanah jajahan mereka ditinggalkan dengan racun yang pelbagai bentuk bagi menjamin tidak bangkit segera.
Mereka terus mundur dan bergelumang dengan masalah pembangunan semula. Krisis di Palestin, Afrika, Korea dan kemunduran dunia ketiga akibat imbangan ekonomi yang tidak adil dunia adalah kelangsungan tamadun Barat dan kolonialis yang membelakangkan nilai banyak agama.
Sekularisme dan materialisme menjadi asas bagi meneruskan agenda penguasaan mereka secara halus, terlindung dan berterusan hingga kini. Kesan kolonialisasi dan percubaan komunis menguasai Tanah Melayu dilalui oleh negara ini. Kita berjaya membentuk sebuah negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka melalui toleransi, kesepakatan dan persefahaman semua lapisan masyarakat yang wujud ketika itu.
Ancaman komunis berjaya kita atasi secara berkesan, namun saki baki ancaman kolonialisasi tamadun Barat masih terus menghantui masyarakat walaupun bentuknya kini berubah.
Oleh kerana Islam menjadi anutan majoriti rakyat Malaysia kini dan bahawa Islam adalah anutan agama masyarakat umum tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah dan kebanjiran pendatang dari China dan India, fundamental Islam dilihat sebagai senjata yang mampu menangani ancaman kolonialisasi ini.
Hakikat ini diperkukuhkan dalam perlembagaan negara melalui Perkara 3 (1) yang menerima Islam sebagai agama rasmi Persekutuan apabila merdeka. Persefahaman ini kemudian menjadi asas kepada pembentukan Malaysia, yang turut memaktubkan hak dan kebebasan amalan agama lain kepada warga bukan Melayu yang menerima penubuhan Malaysia.
Nilai fundamental Islam satu ketika mengalami resapan pengaruh budaya asing yang dibawa penjajah dan pendatang asing hingga ia seolah-olah kehilangan nilai. Ada ketikanya, ia hampir hilang identitinya dan menyebabkan sesetengah umat Islam mencari identiti baru berteraskan Islam.
Hasilnya fundamentalisme Islam hampir menjadi korban ekstremisme dan penyelewengan agama Islam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Selepas tahun 1980-an, fundamental Islam kembali dihayati dan membentuk nilai masyarakat Islam di Malaysia.
Penerapan nilai Islam, penegasan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan terbaru pengenalan pendekatan Islam Hadhari oleh kerajaan adalah kesinambungan amalan fundamental Islam di Malaysia.
Sesungguhnya ia bukan sesuatu yang baru. Ada juga di kalangan bukan Islam melihat perkembangan terbaru ini sebagai sesuatu yang menjurus kepada pemaksaan ideologi Islam ke atas mereka.
Hakikatnya, kedua-dua perkembangan itu, sebenarnya tidak sama sekali membawa maksud pemaksaan ke atas mana-mana individu untuk menganut Islam. Penekanannya cuma kepada hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti rakyatnya adalah orang Islam.
Begitu juga, hakikat bahawa nilai agama tidak boleh diketepikan dalam membangunkan masyarakat dan negara. Penekanan kepada Islam Hadhari dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam penting kerana sebagai agama anutan majoriti rakyat dan diwarisi turun temurun oleh sebahagian besar penduduk Malaysia.
Islam selama ini menjadi pembentuk asas nilai, amalan dan budaya Malaysia. Hakikatnya fundamental Islam telah membentuk Malaysia yang berdaulat, harmoni dan stabil pada hari ini.
Berikutan pengaruh dan perkembangan politik global, khususnya selepas peristiwa 11 September, fundamental Islam sekali lagi menerima ancaman. Hal ini ditambah dengan usaha sesetengah pihak yang sengaja mencemarkan fundamental Islam dengan mengaitkannya dengan ekstremisme, kemiskinan, kemunduran dan akhir-akhir ini keganasan.
Tamadun Barat sengaja memberi gambaran kepada umum bahawa Islam menjadi penyebab kepada penindasan, kemunduran, kemiskinan, pengabaian hak asasi manusia dan keganasan.
Hakikatnya, semua itu adalah sesuatu yang dicetuskan oleh tamadun Barat sendiri. Keadaan ini amat berbahaya dan mengancam bukan saja kepada anutan Islam yang fundamental, malah mengancam kewujudan dan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam agama rasminya.
Perkara ini pasti akan mempengaruhi kestabilan politik dan keharmonian kaum yang diwujudkan. Setakat ini majoriti rakyat Malaysia yang bukan Islam masih belum dipengaruhi oleh gambaran salah yang dibuat oleh Barat terhadap Islam.
Majoriti akur kepada hakikat Malaysia adalah sebuah negara Islam, menerima penerapan nilai Islam dan pendekatan Islam Hadhari yang bersifat sejagat.
Mereka masih percaya bahawa selagi Islam fundamental menjadi asas pegangan masyarakat Islam yang majoriti, keadilan, kebebasan dan hak semua akan terpelihara dengan baik.
Bagi majoriti umat Islam di Malaysia pula, mereka menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam berbilang bangsa dan agama. Asas pengamalan Islam yang fundamental, menjurus kepada keadilan, kesederhanaan dan kesejahteraan untuk semua.
Islam menghormati dan sama sekali tidak akan menafikan hak orang lain. Kematangan rakyat Malaysia dalam menerima hakikat perbezaan ini untuk membina sebuah negara yang berdaulat, bersatu, sejahtera dan maju menjadi model terbaik untuk contohi dunia.
Seharusnya keadaan ini terus dipelihara dan dihargai. Selagi seluruh lapisan masyarakat di Malaysia melihat isu ini dari perspektif yang objektif, Malaysia pasti akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.