Salah satu tujuan perkahwinan ialah untuk mendapatkan zuriat dan keturunan. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud, “Tuhan telah menjadikan dari diri-diri kamu itu pasangan suami-isteri, dan daripada pasangan suami-isteri itu pula anak-anak dan cucu-cicit (keturunan).” (Surah an-Nahl: 72)
Dalam Al-Quran juga disebutkan bahawa anak-anak adalah “perhiasan kehidupan dunia” (Surah al-Kahf: 46); bantuan daripada Allah (Surah al-Isra’: 6); dan, cahaya mata (Surah al-Furqan: 74). Ini bermaksud, anak-anak ialah anugerah Allah untuk menyempurnakan hidup pasangan suami-isteri. Dalam pada itu, ibu bapa juga harus sedar bahawa anak-anak merupakan ujian untuk kedua ibu bapanya (Surah at-Taghabun: 15).
Keinginan untuk memiliki anak ialah satu naluri semula jadi manusia. Bukan sahaja pasangan yang berkahwin mengharapkan mereka mendapat anak, ibu bapa, kaum keluarga dan kawan-kawan mereka juga berharap perkahwinan itu dikurniai dengan cahaya mata.
Kajian menunjukkan bahawa sama ada anda di Turki, Bangladesh mahupun Malaysia, jika anda telah berkahwin selama setahun dan masih belum hamil, orang-orang di sekeliling anda akan mula bertanya, “Kamu tak mengandung lagi?” atau “Bilakah nak beranak ni?” atau “”Kamu berdua tak pergi berubat, ke?” Soalan-soalan ini, walaupun berniat baik, ia amat menekan perasaan pasangan suami-isteri tadi.
Ketidaksuburan bermaksud kegagalan untuk hamil selepas setahun melakukan hubungan kelamin secara tetap tanpa menggunakan pelindung. Masalah ini dikatakan melanda 10-15 peratus pasangan di usia reproduktif. Dianggarkan sepertiga masalah berpunca daripada lelaki, sepertiga lagi daripada perempuan dan bakinya berpunca dari kedua-dua lelaki dan perempuan.
Ketidaksuburan ialah satu masalah kesihatan. Namun, ia boleh menjadi masalah psikologi kerana salah seorang daripada pasangan tadi atau kedua-duanya berasa tertekan dengan masalah tersebut dan tertekan dengan sikap orang sekeliling yang tidak berhenti bertanya dan mungkin melabel mereka sebagai mandul atau stigma-stigma sosial yang lain.
Dari satu masalah kesihatan, ia menjadi masalah psikologi dan seterusnya menjadi masalah sosial apabila pasangan tadi atau salah seorang daripada mereka, dalam usaha untuk menguruskan tekanan itu, mula mengelak untuk hadir ke majlis-majlis sosial agar tidak berhadapan dengan soalan-soalan yang menyesakkan fikiran mereka.
Sebagai orang Islam, kita percaya bahawa mandul atau tidak itu ialah ketentuan Allah SWT dan ia mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ini jelas dalam firman Nya yang bermaksud, “Dia mengurniakan kepada siapa yang disukaiNya anak perempuan, dan kepada siapa yang disukai-Nya anak lelaki. Ataupun diberikan-Nya mereka pasangan lelaki dan perempuan, kemudian dijadikan-Nya siapa yang disukai-Nya mandul, sesungguhnya Dia Amat Tahu lagi Amat Berkuasa.” (Surah Asy-Syura: 50)
Namun ia bukanlah penghalang untuk para saintis mencari kaedah untuk mengubati masalah ini. Ia juga tidak menghalang kita untuk memanfaatkan teknologi tersebut. Dengan perkembangan sains, pelbagai teknologi reproduktif berbantu (Assisted Reproductive Technology – ART) telah dihasilkan untuk membantu pasangan yang mengalami masalah ketidaksuburan untuk mendapatkan anak.
Rawatan yang terbaik bergantung kepada situasi individu serta punca ketidaksuburan itu. Bagi sesetengah pasangan, hanya satu pihak yang memerlukan rawatan. Namun, bagi pasangan yang lain, kedua-dua pihak perlu dirawat.
Rawatan kesuburan ini termasuk pengambilan ubat-ubatan yang merangsang hormon dan pengovuman. Kadangkala ia di kombinasi dengan prosedur yg memudahkan sperma untuk mempersenyawakan telur, dan membantu telur untuk melekat di dinding rahim.
Dua rawatan kesuburan yang biasa digunakan ialah Inseminasi Intrauterine (Intrauterine Insemination – IUI) dan Persenyawaan in vitro (In Vitro Fertilization – IVF). IUI ialah prosedur di mana sperma yang sihat diletakkan ke dalam rahim isteri semasa pengovuman. Manakala IVF ialah prosedur di mana telur dikeluarkan dari ovari dan disenyawakan dengan sperma dalam makmal untuk menghasilkan embrio yang kemudiannya diletakkan di rahim isteri.
Selain itu, terdapat juga prosedur pengkrioawetan (cryopreservation) di mana telur, sperma dan embrio dibekukan untuk kegunaan pada masa hadapan. Ada juga orang yang mendermakan sperma dan telur mereka untuk kegunaan pasangan lain. Begitu juga, ada yang menjadi ibu tumpang untuk mengandungkan anak orang lain.
Kehadiran teknologi seumpama ini amat dialu-alukan. Namun, sebagai orang Islam, tidak semua teknologi ini dapat dimanfaatkan. Ini kerana dalam Islam, sebarang teknik yang melibatkan benih manusia perlu mematuhi garis panduan tertentu berdasarkan kepada prinsip kemuliaan manusia dan pemeliharaan nasab. Oleh itu, fatwa diperlukan untuk memandu ummah memilih teknologi yang patuh syariah.
Fatwa-fatwa di Malaysia yang menyentuh tentang ART ini mengharuskan rawatan-rawatan ini dimanfaatkan dalam konteks perkahwinan. Ini bermaksud, jika telur dan sperma itu diambil dengan cara yang terhormat daripada pasangan yang berkahwin dan ia disenyawakan ketika pasangan tadi masih berkahwin, maka rawatan tersebut dibenarkan. Namun jika sperma dan telur itu diambil di luar perkahwinan atau disenyawakan di luar perkahwinan – selepas pasangan bercerai atau salah seorangnya telah meninggal dunia, maka ia adalah haram. Fatwa di Malaysia juga mengharamkan penggunaan ibu tumpang.
Fatwa-fatwa seperti ini amat membantu pasangan Muslim yang mengalami masalah ketidaksuburan untuk memilih jenis rawatan yang patuh syariah. Namun, melihat kepada perkembangan ART yang pesat serta situasi masyarakat yang berbeza kini, fatwa-fatwa baru sentiasa diperlukan untuk memandu ummah mengatasi masalah ketidaksuburan serta kesan psikologi dan sosial yang diakibatkannya.