Maulid al-Rasul, hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. yang lazimnya disambut umat Islam dengan perasaan gembira baru-baru ini sedikit terganggu dengan insiden pembunuhan di Perancis, justeru menghangatkan kembali suhu hubungan beragama di Barat serta menyemarakkan kembali isu Islamofobia di sana.
Yang pasti, peristiwa yang berlaku bukanlah perkara baru. Malah ia seolah-olah siaran ulangan drama ngeri (thriller) dengan plot dan watak yang sama; provokasi karikatur Nabi Muhammad yang dilakukan atas nama hak asasi dan tindak balas kekerasan yang dilakukan ke atas mereka yang terlibat dengan provokasi tersebut.
Di akhir drama, pengajaran untuk dibawa pulang (take home message) yang zahirkan oleh sebahagian media dan pemimpin Barat ialah persepsi bahawa Islam dan masyarakat Islam adalah agama yang menganjurkan keganasan. Antara yang mendahului senarai pesalah ialah individu agung yang memimpin agama ini iaitu Nabi Muhammad SAW.
Hakikatnya, tindakan sama ada yang membuat provokasi dan yang bertindak balas melalui jalan keganasan, kedua-duanya tidak mewakili hati nurani sebahagian besar masyarakat sama ada di Barat atau dalam kalangan Kaum Muslimin. Sebaliknya kedua-duanya adalah cerminan cara berfikir ekstremisme yang timbul hasil dari kejahilan, kekeliruan dan amukan perasaan yang tidak terkawal. Kedua-duanya tindakan tidak membantu ke arah kemajuan dan keamanan dunia.
Bagi yang melakukan provokasi, mereka harus dididik untuk benar-benar mengenal Nabi Muhammad dari saluran dan sumber ilmu yang sebenar, bukan melalui saluran yang sememangnya tebal disalut dengan sifat prejudis, kebencian dan permusuhan terhadap Islam.
Usaha menghina Nabi bukanlah satu perkara yang baru. Al-Quran sendiri merakamkan sifat kebencian kaum Musyrikin terhadap Nabi, bukan disebabkan mereka mempunyai bukti tentang kesalahan dan keburukan Nabi, akan tetapi disebabkan kepentingan peribadi dan kelompok serta perasaan tidak selamatnya mereka dengan kedatangan Agama Islam yang dibawa Nabi Muhammad.
Sepanjang sejarah ketamadunan pula, pelbagai bentuk penghinaan telah dilontar kepada Nabi dengan tujuan untuk merendah-rendahkan baginda serta agama Islam yang sedang pesat berkembang dan menyaingi dominasi agama dan peradaban yang sedia ada.
John V. Tolan dalam kajiannya, Faces of Muhammad telah mengetengahkan pandangan pelbagai kelompok di zaman pertengahan di Barat tentang Nabi Muhammad. Bermula dari tuduhan Nabi Muhammad sebagai Tuhan berhala golongan Saracens (Saracen idolatory), ahli sihir yang menyesatkan, Nabi palsu (pseudo prophet), Nabi orang-orang Turki dan pelbagai gelaran lain.
Tidak kurang juga kemudiannya timbul gelaran-gelaran yang lebih positif kepada baginda (terutama selepas perkembangan peradaban Islam dalam bidang ilmu) seperti gelaran Nabi Pencerahan (Enlightenment Prophet), pemimpin berwawasan (visionary leader), negarawan, hakim dan hero.
Dalam kesimpulannya, J.V. Tolan sendiri mengakui bahawa pelbagai pandangan terhadap Nabi Muhammad tidak lain menggambarkan betapa baginda terus relevan kepada Dunia Barat dan Eropah hingga ke hari ini.
Hari ini dengan kepesatan teknologi maklumat dan peranan media yang begitu penting dalam membentuk persepsi manusia, provokasi penghinaan terhadap Nabi Muhammad di zahirkan di sebalik topeng hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.
Apa yang kurang disedari oleh ejen provokasi ini ialah hakikat bahawa tiada hak asasi dan kebebasan manusia yang bersifat mutlak. Mortimer J. Adler, ahli falsafah Amerika yang terkenal, ketika membahaskan makna kebebasan menyatakan bahawa kebebasan (freedom) adalah konsep yang rumit dan bermasalah lantaran pelbagai takrif dan teori mengenainya yang diketengahkan oleh para ahli falsafah yang bertentangan antara satu sama lain.
Beliau yang menulis kajian mendalam berkaitan The Idea of Freedom berkesimpulan bahawa tidak ada yang dinamakan kebebasan mutlak apabila ia dikaitkan dengan manusia: When we use the word ‘independence’ as a synonym for the freedom, we attribute to a finite being, we must, therefore, mean a relative independence or independence in a certain respect, not in all respects or absolutely.
Justeru yang membuat provokasi harus belajar dimana batas hak asasi manusia terutama dalam konteks hubungan antara tamadun dan peradaban dan memahami keperluan terhadap hidup bersama dengan aman (peaceful co-existence). Malah jalan terbaik ialah untuk mereka belajar sendiri dari insan yang mereka telah hina dan karikaturkan dengan melihat secara objektif dan melalui sumber yang sahih, bagaimana individu ini telah berjaya mengembangkan satu ajaran agama yang berpaksikan nilai-nilai akhlak yang unggul.
Sementara itu, bagi sekelompok kecil masyarakat Islam yang bertindak balas dengan menggunakan kekerasan pula, mereka juga harus diajar bahawa tindakan mereka juga tidak menyumbang kepada apa-apa kemajuan terutama dalam konteks keamanan dunia dan kesejahteraan hidup rakan-rakan semuslim mereka di Barat.
Mereka juga mungkin lupa bahawa ada cara lain yang boleh dilakukan untuk menyatakan kemarahan masyarakat Islam tanpa melakukan sesuatu yang akan menambah minyak kepada api Islamofobia yang sedang membakar di Barat.
Walau apapun yang berlaku, satu perkara yang pasti, setiap kali tibanya hari Maulid al-Rasul, di sebalik pelbagai tohmahan palsu yang cuba dilontarkan terhadap baginda, kasih sayang Kaum Muslimin terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad ternyata semakin menebal dan mendalam. Selawat dan Salam atas Junjungan Mulia Sayyiduna Muhammad, juga kepada ahli keluarga baginda dan sekalian para Sahabat.