KITA kini berada dalam bulan kemerdekaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita Tuntutan melaksanakan solat fardu di awal waktu pula dianggap sebagai amalan yang paling afdal berbanding melaksanakannya di akhir waktu dan ini menunjukkan bahawa sikap memberi keutamaan kepada perkara yang lebih perlu dan penting berbanding perkara lain turut diajar dalam Islam. Ini bukan bermakna perkara atau hal lain itu tidak tidak penting tetapi keperluannya mungkin tidak perlu didahulukan dalam masa sekarang.
Pendek kata, dalam ibadah solat, kita bukan sahaja diajar tentang nilai pengurusan masa yang produktif, tetapi juga nilai memberikan keutamaan kepada hal-hal yang lebih penting.
Oleh yang demikian, bagi seorang Muslim yang berjaya menguruskan masanya dengan efektif, pada masa yang sama juga akan mampu menilai keutamaan dalam urusan hidupnya. Sudah pasti ia tidak akan membazirkan masanya dengan melakukan hal ehwal yang tiada kepentingan baginya.
Dalam usaha untuk memahirkan diri dengan pengurusan masa yang teratur, selain daripada agenda memberi keutamaan kepada perkara yang berfaedah dan penting, aspek pengisian juga perlu diberi perhatian.
Oleh yang demikian, agenda yang menjadi keutamaan dalam kehidupan seorang Muslim sewajarnya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti atau program yang boleh menyediakan mereka dengan kehidupan yang baik di akhirat kelak, tanpa mengabaikan urusan kehidupan dunia.
Dalam kehidupan dunia yang sedang mengharungi arus globalisasi ini, tamparan hebat bagi umat Islam ialah mengukuh perpaduan dunia Islam selain berhadapan dengan pelbagai propaganda negara yang mahu melihat umat Islam terus dirundung kepapaan dan perpecahan.
Atas alasan ini, seluruh umat Islam perlu mampu menilai keutamaan bagi memenuhi agenda pengisian mereka.
Sudah pasti pada masa kini, umat Islam perlu meningkatkan keupayaan mereka dalam pelbagai bidang termasuk pencapaian sosioekonomi, pendidikan, pengurusan dan pentadbiran, kewangan, pertahanan, sains dan teknologi serta kesihatan agar kemajuan mereka setanding dengan negara-negara yang telah lama maju.
Kesanggupan umat Islam untuk maju bukan hanya tertumpu dalam bidang-bidang keutamaan atau kritikal sahaja yang memang sudah pasti akan terus diberi keutamaan, tetapi juga tumpuan kepada bidang-bidang sokongan lain kerana setiap disiplin keilmuan itu ada sumbangannya tersendiri demi kemajuan negara.
Sebagai contohnya negara Amerika Syarikat menjadi amat maju kerana terdapat ramai pakar dalam pelbagai bidang di kalangan rakyatnya sendiri. Sehinggakan rakyatnya yang memiliki kepakaran dalam sejarah negara Iraq turut berganding bahu dengan pakar senjata dan pakar geografi serta geologi ketika tercetusnya Perang Iraq yang lalu, yang membawa kemenangan kepada mereka tetapi kemusnahan kepada Iraq dan ketamadunan Islam.
Semangat untuk bersaing secara positif dan memiliki ketahanan diri yang mantap juga antara nilai murni yang turut tersirat dalam ibadah khusus yang boleh ditemui bukan sahaja dalam ibadah solat, tetapi juga dalam ibadah puasa dan haji.
Contohnya, individu yang memelihara ibadatnya mempercayai bahawa pahala yang diperoleh wajar dipelihara supaya ia tidak hilang atau berkurangan.
Bagi memenuhi hasrat ini, mereka perlu berjuang dan bersaing dengan diri sendiri, dan pada masa yang sama memantapkan daya tahan diri agar tidak tertewas dengan godaan nafsu.
Pembentukan semangat daya juang yang tinggi dan ketahanan diri yang mantap melalui proses ini sudah tentu akan memperkukuhkan perjuangan hidup individu dan masyarakat Islam sejagat.