HARI ini, genaplah 41 tahun penubuhan Malaysia apabila Persekutuan Tanah Melayu bergabung dengan Sabah dan Sarawak untuk membentuk sebuah negara baru pada 16 September 1963.
Sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, Malaysia menunjukkan perkembangan begitu pesat dalam pelbagai bidang.
Pada peringkat awal penubuhannya, ekonomi negara banyak bergantung kepada dua sumber utama yang menjadikan Malaysia terkenal di serata dunia sebagai pengeluar terbesar getah dan bijih timah.
Komoditi itu kemudiannya digantikan dengan kelapa sawit sebagai hasil tanaman utama negara, meletakkan Malaysia sebagai pengeluar terbesar minyak kelapa sawit di dunia.
Ekonomi negara kemudiannya terus berkembang dengan pembabitan Malaysia dalam sektor pembuatan dan perindustrian.
Peralihan daripada bahan komoditi sebagai eksport utama kepada barangan siap adalah langkah yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi seterusnya merealisasikan matlamat Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.
Sektor perindustrian menghasilkan banyak produk daripada industri berat seperti pembuatan kereta dan motosikal nasional, industri berasaskan teknologi tinggi yang menghasilkan cip mikro dan produk berkaitan ICT hinggalah kepada pembuatan barangan keperluan pengguna seperti pakaian serta makanan.
Antara produk makanan utama yang dihasilkan negara ialah makanan halal bagi memenuhi keperluan umat Islam yang menjadi kumpulan majoriti penduduk di Malaysia.
Malaysia sudah sekian lama bergantung kepada produk makanan dan minuman halal yang diimport dari luar negara berbanding yang dihasilkan di dalam negara, pada nisbah 2:1.
Makanan dan minuman adalah keperluan asas umat manusia untuk menjalani kehidupan seharian dan bagi umat Islam, sumber makanan dan minuman hendaklah dipastikan halal.
Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Firman Allah lagi yang bermaksud, “Maka makanlah dari (sembelihan binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.” (Surah al-An’aam, ayat 118) Melalui dalil yang dikemukakan itu, jelaslah kepada kita bahawa keperluan makanan halal bagi umat Islam adalah fardu yang diperintahkan Allah bagi tujuan kesejahteraan dan memenuhi konsep ibadah hamba terhadap Penciptanya.
Bagaimanakah seharusnya kita memenuhi tuntutan agama bagi tujuan kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini?
Sebagai seorang individu Muslim, kita seharusnya bersikap taat, patuh dan berhati-hati sewaktu memilih bahan yang digunakan sebagai makanan dan minuman seharian.
Di Malaysia, selain daripada makanan dan minuman yang disediakan oleh orang Islam sendiri, kita sepatutnya berasa bertuah kerana terdapat banyak produk di pasaran yang mendapat pengesahan halal daripada pihak berwajib, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
JAKIM adalah badan yang bertanggungjawab mengeluarkan persijilan halal kepada pengusaha serta syarikat pengeluar makanan dan minuman tempatan untuk mengesahkan bahawa produk keluaran mereka adalah halal di sisi syarak.
Melalui persijilan ini dan logo `Halal Malaysia’ yang diperoleh, banyak pengusaha dan pengeluar mendapat manfaat daripada kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap produk mereka.
Bagi umat Islam, selain manfaat yang diperoleh sebagai pengguna, kita juga harus menyedari dan mengambil peluang yang ada melalui persijilan halal untuk memasarkan produk keluaran pengusaha Muslim sendiri.
Cuba kita bayangkan sekiranya makanan dan minuman halal yang dihasilkan oleh masyarakat Islam tidak memperoleh persijilan halal JAKIM, tentu pengeluar yang lain akan mendapat manfaat lebih melalui produk mereka yang disahkan halal.
Persoalannya, adakah masyarakat Islam negara ini akan terus membiarkan diri ketinggalan dari sudut ekonomi sedangkan penggunaan makanan halal adalah satu kemestian bagi mereka, bukan untuk umat lain?
Seharusnya kesempatan ini diambil umat Islam untuk menghasilkan produk makanan dan minuman halal, selain memastikan segala hasil keluaran mereka mendapat pengesahan dan persijilan `Halal Malaysia’ bagi menembusi pasaran yang ada. Sebenarnya, potensi pasaran bagi produk halal ini begitu luas sekali, bukan setakat di dalam negara.
Menurut anggaran, potensi pasaran produk makanan halal di seluruh dunia berjumlah antara RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion setahun, dengan mengambil kira penggunaan oleh pengguna Muslim saja.
Ini menunjukkan pengeluaran produk makanan halal tempatan mampu menembusi pasaran dunia sekiranya dilakukan dengan sistematik dan terancang. Menyedari hakikat itu, kerajaan
Malaysia telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam usaha menyokong industri tempatan untuk menembusi pasaran produk makanan halal antarabangsa.
Dalam perkembangan mutakhir, usaha ini dapat diperluaskan melalui inisiatif beberapa organisasi termasuk Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jakim, Sirim Berhad di bawah kendalian Jabatan Standard Malaysia untuk membangunkan Standard Malaysia MS 1500:2004 (Makanan Halal – Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan – Garis Panduan Umum).
Pelancaran piawaian halal ini disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Ogos lalu bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2004.
Semoga dengan adanya Standard Malaysia mengenai makanan halal, negara amnya dan umat Islam khasnya akan memperoleh manfaat lebih luas melalui garis panduan untuk pengeluaran produk makanan halal lebih komprehensif di negara ini, insya Allah.