Ia sering dilupakan oleh masyarakat Muslim hari ini bahawa tamadun atau peradaban Islam yang telah muncul dari China Barat ke Asia Tengah dan dari utara Laut Caspian ke Afrika Tengah telah menzahirkan suatu keindahan yang tinggi pencapaiannya dalam sejarah dunia dan masih kekal-relevan dijadikan panduan dan inspirasi untuk menghidupkan kembali keindahan dalam negara-negara Islam.

Sekiranya perkara ini diabaikan masyarakat Muslim, maka musuh-musuh masyarakat Islam akan terus menghancurkan warisan dan khazanah sebegini, dan membuat kita mengabaikannya supaya segala bentuk pencapaian agung dan kecemerlangan umat Islam akan diperkecil dan padam sinarannya.

Ternyata ini adalah antara yang akan terus terjadi dalam peperangan halus pada peringkat saraf, kesedaran, dan pemikiran—khususnya dengan kuasa-kuasa sekularisasi.

Koleksi buku nadir di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) terdiri daripada buku-buku yang jarang ditemui, tinggi mutu ilmiahnya, dan kebanyakannya berasal dari perpustakaan pemilik terdahulu yang terkenal dan terpelajar – dibeli dengan geran khas dari Perdana Menteri ke-5 Malaysia, hasil usaha mantan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Secara umum, buku-buku nadir yang boleh ditemui dalam Koleksi Tamadun Islam (KTI) – kutubkhanah IKIM yang digelar Perpustakaan Tun Ahmad Sarji – ialah salinan terbaik yang mungkin, dalam edisi terbaik dan merangkumi semua aspek seni, daripada seni bina hingga seni hiasan. Keluasan koleksi itu boleh dilihat dengan kehadiran banyak karya yang kurang dikenali mengenai senjata dan perisai, tekstil, seramik, kerja logam, kerja kaca dan ciri-ciri hiasan yang memberikan ciri tersendiri kepada seni Islam.

Dilihat dari sudut pandangan alam Islam, seni adalah dari satu segi, dianggap sebagai adab terhadap bentuk dan warna sehingga menghasilkan kesan yang menggembirakan dan persekitaran yang harmoni.

‘Adab’ di sini dimaksudkan sebagaimana ia telah difahami oleh ulama-ulama besar silam dan seperti yang ditakrifkan semula oleh Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai pengenalan dan pengakuan terhadap tempat-tempat yang sewajarnya, sehingga ia membawa kepada pengenalan dan pengakuan Tuhan yang Maha Esa.

Justeru ‘seni’ (atau ‘fann’ dalam Bahasa Arab) dalam tamadun Islam dilakukan dengan kesedaran kenyataan Nabi Muhammad: Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai perkara yang indah; ia dilihat sebagai lanjutan daripada penyerahan dan pengabdian orang yang beriman; ia adalah ungkapan ihsan orang yang beriman berhubung dengan kesedarannya tentang Tuhan. Ia tidak dilakukan semata-mata untuk menunjuk kepada diri sendiri, apatah lagi untuk kemasyhuran, kekayaan, atau pangkat duniawi.

Keindahan yang luar biasa dalam peradaban Islam juga dikagumi oleh ramai cerdik pandai bukan Islam seperti yang boleh dilihat dalam koleksi nadir di IKIM ini. Terdapat sejumlah buku dalam koleksi ini yang berskala besar (oversized books) bagi memuatkan lukisan dan reka-bentuk seni bina indah peradaban Islam dengan penuh perinci.

Salah satu daripadanya ialah penerbitan yang diusahakan oleh James Murphy (1760–1814), seorang arkitek dan ahli diplomat Irish, yang menghasilkan karya yang luar biasa mengenai Istana Alhambra dan Cordoba di Sepanyol (bertajuk The Arabian Antiquities of Spain, London 1813-1815). Gabenor Alhambra pada tahun 1802, berhasrat bahawa pengetahuan tentang tinggalan seni binanya yang indah harus disebarkan dengan tepat kepada generasi masa depan, memudahkan akses pengarang ke istana diraja itu, pada setiap masa sepanjang hari. James Murphy mengambil masa tujuh tahun di Sepanyol untuk membuat lukisan terukur (measured drawings) dengan sangat tepat dan lagi tujuh tahun untuk menyediakan penerbitan ini dengan kemas.

Penerbitan ini membolehkan pembaca membentuk persepsi yang lebih tepat tentang kecemerlangan tinggi yang dicapai oleh umat Islam Sepanyol dalam seni halus, pada saat seluruh Eropah belum berupaya menghasilkan sebarang pencapaian sebegitu rupa kerana diliputi oleh kejahilan dan kebiadaban.

Amalan lukisan terukur seperti yang dipamerkan dalam penerbitan ini penting untuk bidang seni bina bagi tujuan pemeliharaan seni bina tersebut dan juga untuk mengambil inspirasi untuk seni bina lain pada masa akan datang. Cetakan asal buku ini yang tidak diterbitkan lagi ada dijual oleh sebuah kedai buku nadir di United Kingdom dengan harga lebih RM50,000.00 (lima puluh ribu ringgit).

Bagi pengagum dan pengkaji era Empayar Uthmaniyah (Ottoman Empire) pula, terdapat juga penerbitan mengenai ilmu usul seni bina Uthmaniyah [Usul-i mimari-î Osmanî] dalam tiga bahasa: Turki, Perancis, dan Jerman di perpustakaan IKIM, berjudul L’Architecture Ottomane diusahakan oleh Victor Marie de Launay dan Pietro Montani Effendi dengan bantuan pelbagai kumpulan ahli seni, arkitek, dan birokrat yang mempunyai hubungan profesional yang rapat dengan istana Empayar Uthmaniyah—dalam masa satu tahun.

Ia dihasilkan di bawah naungan Ibrahim Edhem Pasha (meninggal 1893), presiden Suruhanjaya Empayar Uthmaniyah untuk Pameran Vienna pada tahun 1873, dan juga seorang wazir atau menteri dalam kerajaan Uthmaniyah ketika itu. Untuk mendapatkan izin daripada Sultan Abdul Aziz secara langsung, Edhem Pasha menulis seperti berikut:

“Since the day our exalted dynasty … began illuminating the heavens with its might and glory, a new kind of architecture has emerged [within its domains … and found expression] in the fine and worldly renowned monuments of this very city, and of Bursa and Edirne, all worthy to be mentioned as true sources of pride for the nation. The mentioned architecture culminated in a new and delightful style, distinctly separate from those of the Arabs, Indians, Persians, and Greeks, and was tightly secured to exact geometrical principles. [Although] the greatest Ottoman builders operated with these principles for centuries, no attempt has yet been made to produce a comprehensive book or an atlas describing and explicating this method. Such a distinct publication would not only illustrate the esteemed virtues of the Ottomans, their inherent skill and merit, once again to the world but also serve contemporary architects as a basis for operation and a fine [source of] instruction. Thus certain men of science and knowledge suggested that I plead of your highness the sublime permission to prepare and publish such a study in the Turkish, French, and German languages. The product of such an undertaking, under the auspices of our Sultan … will surely be a source of abundant glory, pride, and benefit for the state and the nation.” (Edhem Pasha’s petition to the Grand Vizierate, 23 Muharrem 1289/April 2, 1872. Translated by Ahmet Ersoy)

Penerbitan ini dibahagikan kepada tiga bahagian: bahagian pertama dimulakan dengan Prakata ditulis oleh Mehmed Sevki, diikuti oleh Sejarah Ringkas Uthmaniyah seni bina, dan Dokumen Teknikal oleh Pietro Montani mengenai teori seni bina Uthmaniyah; bahagian kedua—yang paling panjang—terdiri daripada lapan karangan mengenai beberapa mercu tanda binaan Uthmaniyah tertentu; bahagian ketiga (dan terpendek) diakhiri dengan dua karangan tentang hiasan zaman Uthmaniyah dan katalog akhir karya seni bina Sinan (arkitek termasyhur zaman Empayar Uthmaniyah).

Penyunting keseluruhan jilid, dan pengarang sebahagian besar teks asal, ialah Victor Marie de Launay, seorang lelaki berketurunan Perancis yang punyai kerakyatan Empayar Uthmaniyah. De Launay memegang jawatan setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Kerja Raya Empayar Uthmaniyah. Dengan minat ilmiah yang mendalam dalam seni bina, seni, dan kraf tradisional, Marie de Launay, sepanjang kerjaya birokrasinya yang panjang di ibu kota empayar, terlibat secara mendalam dalam perwakilan negara Uthmaniyah di pameran dunia.

Penerbitan ini dianggap sebagai pameran unik kecekapan teknikal Empayar Uthmaniyah, serta kajian komprehensif terawal tentang sejarah dan teori seni bina Uthmaniyah. Kini ia dianggarkan bernilai RM70,000.00 (tujuh puluh ribu ringgit). Karya nadir dan berharga berkenaan warisan Islam di Asia Tengah yang boleh didapati di IKIM pula ialah Les mosquees de Samarcande: Fascicule I: Gour-emir oleh Aleksei Viktorovich Shchusev, Petr Petrovich Pokryshkin, dan A. Minenko (St. Petersbourg: Expedition pour la confection des papiers d’etat, 1905). Ia merupakan penerbitan khas pada era Empayar Rusia yang meneliti pelbagai aspek seni bina dan reka bentuk kompleks makam pemimpin Muslim termasyhur di Asia Tengah, iaitu Amir Timur (meninggal tahun 1405), dan kini terus dianggap sebagai tokoh besar dalam sejarah Uzbekistan. Malik Keylan, yang menulis dalam Wall Street Journal mengenai pemerhatian beliau tentang tempat ini, menggambarkan kompleks makam Amir Timur ini sebagai: “…sebuah usaha agung yang dibayangkan secara halus di Samarkand, Uzbekistan…”(“…a work of subtly conceived grandeur in Samarkand, Uzbekistan…”).

Penerbitan ini merupakan satu usaha yang penting, berskala besar dan bercita-cita tinggi oleh Suruhanjaya Arkeologi Imperial Rusia (Imperial Russian Archaeological Commission). Ia bertujuan untuk menjadi karya yang lebih besar tetapi hanya edisi pertama yang pernah diterbitkan. Penerbitan ini bersaiz besar (76 x 55 cm) yang bukan sahaja berlaku adil kepada tokoh besar Amir Timur itu, tetapi menyediakan rekod terperinci tentang salah sebuah mercu tanda Laluan Sutera. Kehalusan dan kejelasan kromolitografi (satu kaedah percetakan berwarna kurun ke-19), berdasarkan lukisan yang dibuat di tapak oleh tiga orang pelukis, menjadikannya salah satu buku Empayar Rusia yang paling indah pada ketika itu, dan karya penting dalam seni bina Islam. Hari ini penerbitan ini dianggarkan bernilai antara RM40,000.00 dan RM70,000.00.

Daripada warisan Islam di India atau Empayar Mughal pula, buku nadir yang boleh didapati di IKIM bertajuk “The Mogul Architecture of Fatehpur-Sikri (4 Volumes) (1894-98)” (tajuk penuhnya: Archaeological Survey of India. The Moghul Architecture of Fatehpur-Sikri: Described and Illustrated by Edmund W. Smith), yang kini bernilai RM32,000.00 (tiga puluh dua ribu ringgit) menurut sebuah penjual buku-buku nadir.

Penerbitan ini merakamkan keindahan dan kehalusan seni perbandaran Fatehpur Sikri yang dibina oleh Maharaja Mughal Akbar (antara pemerintah Muslim yang terkenal di India) yang memerintah antara 1556-1605 C.E. Ia adalah salah satu contoh reka bentuk seni bina, khat, ukiran dan jālī (corak hiasan yang dibina melalui penggunaan khat, geometri atau corak semula jadi) yang paling indah dari era Mughal India. Motif geometri dan bunga dalam segala kegemilangannya telah terukir di dinding kompleks ini dengan kehalusan dan kepekaan estetik yang hebat oleh pengukir (artisans) zaman dahulu. Pembinaan ibu kota ini bermula sekitar 1570 M.

Pengusaha buku ini ialah Edmund W. Smith, seorang Jurugambar Arkeologi British di India. Pada tahun 1886, beliau menyertai Kajian Arkeologi India sebagai Penolong Juruukur Arkeologi untuk Wilayah Barat Laut dan Oudh. Beliau juga pernah bertugas sebagai Kurator Muzium Lucknow pada tahun 1898.

Lukisan asal telah disediakan di bawah arahan penyusun dan pengawasan oleh pelukis India, yang menerima latihan awal dalam pelbagai sekolah seni India sebelum bertugas di Jabatan Arkeologi India. Lukisan-lukisan ini, disediakan untuk laporan Kajian Arkeologi India bertajuk ‘The Moghul Architecture of Fathpur Sikri’, telah diterbitkan semula dalam fotolitografi oleh Messers W Griggs and Sons, Hanover Street, Peckham, London, pada tahun 1897. Edmund W. Smith dalam mukadimahnya menyatakan harapan bahawa lukisan itu akan menyebarkan pengetahuan tentang tempoh paling menarik Seni Bina India kepada arkitek, jurutera, pelajar seni, dan lain-lain.

Penulisan-penulisan ini membuktikan bahawa penyebaran Islam serta tamadun Islam ke pelbagai budaya dunia telah memperhalus dan memperkayakan budaya bangsa-bangsa tersebut. Ia juga membuktikan agama Islam merupakan sebuah peradaban yang luhur, bertentangan dengan persepsi negatif dan palsu yang sering digambarkan dalam masyarakat sekular kontemporari.

Diharapkan melalui karangan ini, seseorang dapat mempelajari bagaimana perkara ini dizahirkan secara terperinci selama berabad-abad di dunia Islam, dan juga di negara-negara lain yang dapat meluaskan ufuk tentang keindahan budaya dan tamadun umat Islam dan dunia, serta sebagai rujukan kepada penyelidikan dan kajian berterusan tentang kesenian Islam dan kesenian tradisional amnya.

Untuk itu, terdapat keperluan untuk golongan profesional dan akademik daripada pelbagai bidang termasuklah arkitek, kontraktor, jurutera, perancang bandar, dan ahli-ahli seni yang lain untuk turut menggali dan mendedahkan diri kepada khazanah keindahan tamadun Islam seperti ini secara bersungguh-sungguh untuk mengelakkan suasana dan landskap negara-negara Muslim daripada terus berubah keperibadiannya kepada sesuatu yang asing.