Salah satu isu besar yang dihadapi kerajaan dalam pengurusan ekonomi negara ialah masalah ketirisan subsidi. Subsidi merupakan satu bentuk bantuan kewangan yang biasanya diberi oleh pihak kerajaan kepada individu atau isi rumah mahupun entiti perniagaan. Matlamat utama pemberian subsidi oleh pihak kerajaan adalah untuk mengurang beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh penerima (subsidi). Selain itu ia juga boleh mempromosi tindakan tertentu yang dirancang oleh pihak kerajaan menerusi insentif subsidi yang disediakan tadi. Terdapat dua bentuk subsidi iaitu langsung dan tidak langsung. Subsidi langsung merujuk kepada pemberian bantuan tunai kepada para penerima. Manakala contoh subsidi tidak langsung pula ialah pengurangan harga untuk sesetengah barang keperluan atau insentif percukaian.
Pada 2023, rakyat Malaysia dianggarkan menikmati subsidi harga bagi bekalan elektrik, petrol dan diesel serta pelbagai bekalan makanan berjumlah RM81 billion. Angka ini melebihi angka asal perbelanjaan subsidi yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 iaitu RM64 billion. Hampir separuh daripada jumlah ini merupakan subsidi petrol dan diesel.
Subsidi ada kebaikan dan keburukannya. Dari satu segi ia membantu isi rumah yang berpendapatan rendah. Sebagai contoh subsidi petrol, minyak masak, gula dan tepung membolehkan anggota masyarakat membeli keperluan mereka pada harga yang lebih rendah daripada harga sebenar pasaran. Subsidi juga membantu pihak kerajaan memastikan sektor-sektor tertentu terus wujud atau berkembang dan seterusnya membantu mewujudkan bekalan atau penawaran dalam pasaran. Sebagai contoh pemberian subsidi harga padi kepada para pesawah bukan sahaja meringankan beban mereka, malah ia turut bermatlamat menggalakkan produktiviti pengeluaran padi dan membantu menangani masalah sekuriti makanan yang dihadapi negara.
Bagaimanapun tidak semua subsidi yang diberikan pihak kerajaan mencapai matlamat sebenar seperti yang digariskan. Ada kala ia meningkatkan kos dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung pihak kerajaan. Ini berlaku terutamanya apabila subsidi tadi turut dinikmati oleh golongan yang tidak sepatut menerimanya. Subsidi minyak di Malaysia sebagai contoh turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi dan juga warga asing. Hanya 24 peratus subsidi minyak dinikmati kumpulan B40. Sebaliknya golongan T20 menikmati 35 peratus daripada subsidi tersebut dan selebihnya oleh kumpulan M40.
Angka ini mungkin tidak begitu tepat kerana selain daripada warga negara, minyak bersubsidi ini juga turut dibeli oleh pendatang asing yang tinggal di Malaysia dan juga warga negara asing yang masuk ke negara ini dengan menggunakan kenderaan persendirian.
Kita mungkin tidak terlalu ralat jika subsidi-subsidi yang disediakan oleh pihak kerajaan ini turut dimanfaatkan oleh golongan berpendapatan tinggi kerana mereka ini juga merupakan pembayar cukai. Namun apabila subsidi ini turut diambil oleh warga negara asing, sudah tentu hal ini amat mendukacitakan kita. Secara keseluruhan dianggarkan sebanyak RM10 billion daripada keseluruhan perbelanjaan subsidi oleh pihak kerajaan yang berjumlah RM81 billion tersebut turut dinikmati oleh 3.5 juta bukan warganegara.
Ini belum lagi dikira kos-kos lain yang melibatkan warga asing di negara ini. Dalam satu jawapan bertulis di Parlimen, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu bahawa untuk tempoh 2015-2019, kerajaan membelanjakan RM7.8 billion bagi menyelenggara seramai 428,466 banduan warga asing yang ditahan di seluruh institusi penjara Malaysia. Ini bermakna secara purata setiap tahun hampir RM1.6 billion dibelanjakan oleh kerajaan bagi tujuan tersebut yang merangkumi aspek penyediaan perubatan, makan, minum dan kemudahan serta keperluan yang berkaitan.
Selain daripada subsidi, warga asing ini juga turut mengguna kemudahan-kemudahan lain yang disediakan kerajaan untuk warganegara. Dalam kes pengunaan kemudahan kesihatan, pihak hospital biasanya tidak akan menolak mana-mana pesakit lebih-lebih lagi jika melibatkan kes-kes kecemasan. Di Malaysia, pihak kerajaan telah menetapkan warga asing perlu membayar penuh caj rawatan yang diterima di hospital dan klinik awam. Namun di sebalik kebaikan yang diberikan oleh pihak hospital, terdapat ramai warga asing yang lari selepas mendapat rawatan. Jika proses menuntut bayaran daripada pesakit tempatan boleh dibuat sehingga ke depan rumah mereka, namun usaha menjejak pesakit warga asing ini lebih sukar. Hal ini disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri semasa mendapat rawatan kecemasan ataupun disebabkan penggunaan dokumen pengenalan diri yang palsu.
Sebenarnya ketirisan subsidi kepada warga asing dan beban-beban kewangan serta sosial yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi menanggung mereka semasa berada di negara ini adalah satu kerugian yang besar kepada kita semua. Jika subsidi yang dinikmati warganegara asing ini dapat dijimatkan, kerajaan boleh menggunakan wang tadi bagi tujuan-tujuan produktif lain bagi manfaat warga tempatan. Sebagai contoh, dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 billion bagi pembinaan sebanyak 26 buah sekolah baharu di seluruh negara. Jadi jika RM10 billion subsidi pada 2023 yang turut dinikmati warga asing ini dapat halang ketirisannya, kita boleh menggunakan wang tersebut bagi membina 104 buah sekolah baharu untuk murid-murid Malaysia. Mungkin dengan penjimatan RM10 billion ini juga lebih ramai para pelajar tempatan daripada pelbagai golongan sasar dapat diberi penajaan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melanjut pelajaran dalam pelbagai peringkat pengajian. Mungkin juga penjimatan subsidi ini dapat digunakan untuk membina beberapa hospital baharu atau menaik taraf kemudahan ada di hospital-hospital yang sedia ada.
Jadi apabila kerajaan melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) pada 2 Januari lepas ia sebenar satu langkah bijak yang sepatutnya disambut baik oleh setiap warga negara. Menerusi maklumat yang didaftar dalam sistem PADU, kerajaan dapat mengenalpasti hanya mereka yang layak sahaja yang berhak mendapat manfaat dan bantuan kerajaan. Justeru isu ketirisan terutama yang mengalir kepada warga asing (selain warga negara yang berpendapatan tinggi) dapat di atasi. Menerusi pengurangan subsidi yang terhasil, isu fiskal dapat ditangani. Pada masa yang sama juga, sumber-sumber yang terhasil menerusi penjimatan tadi dapat dialih untuk meningkatkan peruntukan bagi sektor-sektor penting negara seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan sebagainya.