Selain daripada pendidikan formal yang disampaikan oleh guru atau ustaz di sekolah atau madrasah terdapat forum lain bagi menyampaikan maklumat atau dakwah. Forum yang dimaksudkan iaitu khutbah di masjid dan tazkirah.
Ada dua sembahyang mempunyai khutbah. Pertama, sembahyang fardu Jumaat dan kedua-dua sembahyang sunat Hari Raya – Aidilfitri dan Aidiladha. Khutbah Jumaat dilakukan sebelum fardu Jumaat ditunaikan dan wajib hukumnya; khutbah dua Hari Raya dilakukan selepas melakukan sembahyang. Tidak semua jemaah yang mendengar sepenuh khutbah-khutbah tersebut. Ada yang tiba lewat atau terlena, dan ada pula yang pulang awal selepas menunaikan solat aid.
Menurut sebuah hadis ada menyatakan hendaklah dipanjangkan sembahyang dan ringkaskan khutbah. Menurut sebuah hadis lain diriwayatkan bahawa sembahyang dan khutbah nabi tidak lama – sederhana sahaja. Amalan yang biasa berlaku di masjid-masjid khutbah dipanjangkan dan adakalanya meleret-leret dan memakan masa setengah jam dan sembahyangnya sekejap sahaja dan diikuti selepasnya dengan doa.
Akan tetapi tidak semua jemaah menunggu sehingga doa dibaca. Sebahagiannya telah pun keluar meninggalkan masjid. Sememangnya sudah ada aliran di kalangan masyarakat Islam di negara ini, yang tidak lagi berwirid dan berdoa selepas sembahyang.
Apa cacatnya berwirid dan berdoa selepas sembahyang. Sedangkan Allah menyatakan, berdoalah kepada Aku nescaya akan dikabulkan.
Jumhur ulama berpendapat wajib diam dan diharamkan berkata-kata ketika imam membawa khutbah – sama ada didengar oleh imam atau tidak. Oleh demikian kedudukan imam sangat istimewa ketika menyampaikan khutbah. Mungkin tidak pernah terdengar ada jemaah yang mencabar khatib ketika menyampaikan khutbah, walaupun tidak setuju dengan khutbah yang dibaca.
Pernah kita mendengar rungutan menyatakan, kita orang yang baik dan taat menunaikan sembahyang itulah golongan yang menjadi sasaran khatib.
Agama terletak di bawah bidang kuasa negeri. Raja atau sultan adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri. Dalam menguruskan pentadbiran agama ditubuhkan secara sah beberapa institusi seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama dan Jabatan Mufti.
Majlis Agama Islam adalah badan tertinggi yang menjadi penasihat kepada raja atau sultan dalam perkara agama. Di Jabatan Agama ada pegawai yang bertanggungjawab tentang masjid termasuk imam.
Sebuah jawatankuasa bagi menyediakan khutbah dipengerusikan oleh mufti ditubuhkan. Khutbah-khutbah yang disediakan dihantar ke masjid-masjid seluruh negeri berkenaan. Ada negeri yang telah membukukan khutbah-khutbah.
Masalahnya adakah semua masjid menggunakan khutbah yang disediakan oleh pihak jabatan/majlis agama atau menyampaikan khutbah yang disediakan oleh pihak lain atau imam membaca khutbah yang dia sendiri sediakan.
Saya sendiri pernah menunaikan sembahyang Jumaat di sebuah masjid di daerah Kuantan. Khatib menyampaikan begitu bersemangat dan menyindir kerajaan. Apabila selesai sembahyang, saya bertanya sama ada khutbah itu disediakan oleh jabatan agama atau dari pihak lain. Jawabnya bukan khutbah yang disediakan oleh jabatan agama.
Dalam perjalanan ke utara, beberapa bulan yang lepas, saya singgah bersembahyang Jumaat di sebuah masjid. Kandungan khutbah telah memberikan gambaran yang tidak tepat tentang pembangunan Islam di Malaysia – dengan menyatakan bahawa kerajaan hanya membangunkan Islam dengan mendirikan masjid tetapi mengabaikan dalam menegakkan hukum Allah.
Khutbah seperti ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan jemaah dan mengelirukan. Kerana kerajaan telah melaksanakan hukum Islam dengan agak meluas meliputi undang-undang keluarga, pusaka, wakaf, jenayah takzir, takaful, saham, kewangan Islam dan lain-lain lagi.
Jabatan Agama Islam atau majlis tidak mempunyai kemampuan untuk memantau tiap-tiap masjid setiap Jumaat – tidak cukup pegawai untuk dihantar ke setiap masjid bahkan membebankan.
Yang penting adalah perlu bagi setiap khatib tidak menyalahgunakan forum khutbah sebagai tempat untuk melepas dan meluahkan perasaan amarah atau digunakan oleh pihak lain yang berkemungkinan boleh mengganggu fikiran jemaah yang hadir ke masjid.
Khatib perlu menyampaikan khutbah yang boleh meningkatkan ketakwaan. Atau sekurang-kurangnya jemaah masuk masjid dengan jiwa yang tenang untuk menunaikan solat Jumaat dan keluar dengan ilmu yang boleh memberikan manfaat.
Pada hari ini kedudukan imam-imam tidak sama. Ada negeri yang memberi elaun bulanan dan ada yang memberi elaun tahunan dan amaunnya yang tidak seberapa kerana peruntukan itu diagihkan pula dengan bilal. Memberi erti tidak ada sesuatu yang kuat untuk menjadi ikatan di antara imam-imam dengan kerajaan (kecuali negeri-negeri tertentu).
Tanpa ikatan ini sudah pasti sukar untuk memastikan imam-imam ini membaca teks khutbah yang disediakan oleh jabatan agama/Majlis. Bagi meningkatkan lagi profesion imam-imam, mereka patut diberikan kursus intensif dan elaun bulanan dengan tugas-tugas yang lebih menyeluruh.
Oleh demikian perlu ada satu mekanisme bagi memantau penyampai khutbah di negeri-negeri supaya tiada khutbah yang disampaikan menimbulkan kekeliruan di kalangan jemaah. Imam-imam besar masjid negeri perlu dijadikan ketua kepada imam-imam dan seterusnya membimbing mereka supaya melaksanakan tugas imam dengan berkesan dan sempurna.