Sekiranya adil dari aspek bahasanya diberi maksud sebagai “meletakkan sesuatu di tempatnya�, tentulah zalim sebagai antonim kepada istilah adil boleh diberi maksud sebagai ‘tidak meletakkan sesuatu di tempatnya’ atau “meletakkan sesuatu di tempat yang tidak wajar”. Umpamanya, meletakkan sepasang kasut. Lazimnya, orang akan meletakkan kasutnya di rak kasut atau di tempatnya yang khusus. Kasut adalah sebahagian yang menjadi barang keperluan tetapi ia mempunyai tempat yang tertentu untuk diletak atau disimpan kerana kedudukannya yang berada di kaki (di bawah). Sekiranya kita meletakkannya secara sewenang-wenangnya di tempat sembarangan seperti di atas sofa atau di atas katil, maka ia akan menimbulkan kejanggalan orang lain untuk menerima keadaan tersebut. Malah, kadang kala ia bukan sekadar menimbulkan rasa janggal tetapi menyebabkan kemarahan pada orang lain. Maka, dari aspek bahasanya perbuatan tersebut adalah perbuatan yang zalim kerana meletakkan kasut di tempat yang kurang wajar.
Dari segi praktikalnya, kriteria utama sifat atau perbuatan zalim ia akan memberikan kesusahan atau kemudaratan kepada orang lain. Perbuatan zalim yang dilakukan mungkin dalam bentuk mengambil manfaat dari orang lain dengan cara yang salah ataupun melakukan sesuatu terhadap orang lain yang menimbulkan rasa sakit kerana perlakuan tersebut memberi keseronokan atau kepuasan kepada yang melakukannya. Pemerasan, pemaksaan dan penipuan demi keuntungan peribadi juga termasuk dalam perbuatan yang zalim.
Perbuatan zalim lazimnya dilakukan oleh orang yang mempunyai kelebihan dan kekuatan berbanding dengan orang yang dizalimi. Ini kerana, fenomena kezaliman tidak akan berlaku sekiranya orang yang hendak dizalimi mempunyai kelebihan atau kekuatan yang sama. Kelebihan atau kekuatan ini boleh diukur dari pelbagai aspek, seperti kekuatan fizikal, kekayaan, kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh. Manakala orang-orang yang dizalimi adalah dari kalangan mereka yang jahil, lemah, miskin, lurus dan tidak berdaya. Itulah sebabnya orang yang zalim sukar untuk ditewaskan kerana mereka mempunyai berbagai-bagai kemampuan.
Orang yang mempunyai niat jahat, tidak mempunyai timbang rasa dan tidak mempunyai pengetahuan dalam ilmu agama, amat mudah terjerumus dalam perbuatan-perbuatan yang zalim. Mereka tidak akan mengambil endah bahawa perbuatan yang mereka lakukan itu akan menyebabkan kemudaratan terhadap orang lain asal sahaja mereka dapat memastikan kepentingan diri mereka terpelihara, ataupun mendapat keuntungan dengan melakukan perbuatan tersebut. Pengedar dadah adalah contoh yang sangat releven dalam perkara ini. Sekiranya pengedar dadah ini memikirkan bahawa perbuatan mereka akan menyebabkan kebinasaan kepada penggunanya yang akhirnya akan merantaikan kerosakan kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara, pasti mereka akan menarik diri dari melakukan kegiatan ini. Mereka hanya memikirkan berapa banyak keuntungan yang akan diperolehi dengan pengedaran dadah tersebut.
Selain pengedar dadah, contoh yang boleh diketengahkan di sini ialah pengusaha-pengusaha yang menjalankan aktiviti perusahaan tanpa mendapat kelulusan dari pihak-pihak berkuasa atau berwajib. Kita sering kali dapat melihat rungutan-rungutan penduduk setempat tentang pencemaran alam sekitar disebabkan aktiviti-aktiviti yang tidak mendapat kelulusan. Akibatnya, penduduk yang berada di kawasan tersebut tidak dapat duduk dengan selesa, saliran air menjadi tercemar dan berbahaya, bahan buangan yang tidak diurus menjejaskan kesihatan dan sebagainya.
Berdasarkan kepada dua contoh yang dikemukakan ini, kezaliman sebenarnya boleh berlaku di mana-mana. Ia tidak hanya berlaku di antara pemerintah dengan rakyat yang lazimnya menjadi fokus perbincangan seperti kezaliman Firaun terhadap rakyatnya. Ia juga boleh berlaku dalam hubungan kejiranan, persahabatan, di tempat kerja atau di dalam sesebuah keluarga.
Kezaliman memang lazimnya akan terus berlaku selama mana mereka yang berniat jahat mempunyai kelebihan atau kekuatan yang dinyatakan sebelum ini. Walau bagaimanapun, Islam adalah penawar paling mujarab bagi fenomena ini, bagi mereka yang ingin mengetahui dan beriman.
Apabila kita membincangkan perkara ini menurut perspektif Islam, setiap manusia harus menyedari bahawa sekalipun kezaliman itu menyirat maksud kekuatan atau kehebatan berbanding manusia yang lain, tetapi selagi manusia itu memberi maksud sebagai hamba kepada Allah s.w.t., maka Allah itu jauh lebih Perkasa dan Hebat dari segala makhluk yang ada di muka bumi ini. Atas kehebatan dan keperkasaan inilah, Allah s.w.t. memberi amaran kepada mereka yang suka melakukan kezaliman dengan maksud firman-Nya;
“nanti akan tahu orang-orang yang aniaya, ke tempat mana mereka akan kembali.”
Dan amaran dari Allah s.w.t. ini diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Barang siapa menganiaya sejengkal sahaja dari tanah, Allah akan mengalungkannya tujuh bumi kepadanya pada hari Kiamat.”
Allah s.w.t. sebenarnya sangat mengambil perhatian terhadap perbuatan zalim. Ini kerana, sekiranya perbuatan zalim atau penganiayaan tidak dibendung ia akan menyebabkan kerosakan kepada muka bumi ini. Negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang zalim (diktator) tidak akan menjadi makmur dan benar-benar bertamadun manakala pentadbiran akan dipenuhi amalan rasuah dan ramailah rakyat yang akan menderita. Sekiranya kezaliman berlaku di dalam sesebuah rumah tangga maka akan semakin besarlah bilangan isteri-isteri yang teraniaya dan anak-anak yang membesar tanpa perhatian yang akhirnya akan menyebabkan kerugian kepada semua pihak termasuk diri sendiri.
Sehubungan dengan hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang antara lain bermaksud;
“Lima orang yang mendapat murka Allah s.w.t. jika mahu, Dia akan berikan kepada mereka di dunia, atau dia tempatkan mereka di Akhirat dalam Neraka, yakni pertama: Pemimpin yang merampas hak rakyatnya, yang tidak pernah insaf terhadap perbuatannya dan melakukan kezaliman terhadap rakyatnya. Pemimpin yang ditaati kaumnya, namun dia tidak membezakan mana yang kuat dan yang lemah tetapi dizalimi serta berkata dengan dengan hawa nafsunya. Lelaki yang tidak pernah mengambil perhatian terhadap isteri dan keluarganya untuk taat kepada Allah dan tidak memberi tunjuk ajar kepada mereka mengenai agama. Lelaki yang tidak memberi upah dengan cukup pada pekerjanya. Dan lelaki yang menganiaya dalam maharnya.”
Perbincangan mengenai kezaliman pemerintah terhadap rakyatnya amat sinonim dengan kisah Firaun. Kisah-kisah mengenai Firaun dan Nabi Musa a.s. adalah kisah yang sangat masyhur dan kisah ini boleh ditemui di dalam al-Qur’an. Antaranya ia mengisahkan tentang Nabi Musa bersama umat Bani Israel merentasi Laut Merah dengan kemukjizatan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. untuk melepasi kekuasaan Firaun yang sangat zalim.
Mengenai hal ini, dalam al-Qur’an, Allah berfirman yang bermaksud;
“Dan ingatlah, ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan.”
Kisah ini menyokong apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa Allah s.w.t. boleh membalas kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja menurut iradah-Nya. Apa yang dinyatakan ini tidak sahaja boleh ditemui melalui al-Qur’an malahan juga dengan melihat sendiri terhadap bukti yang masih kekal pada hari ini.
Di dalam sebuah program di bawah penajaan National Geography, para saintis yang terlibat di dalam program ini telah menemui sebab kematian salah satu mumia Firaun yang tersimpan adalah disebabkan mati lemas. Hasil post-mortem yang dijalankan apabila dihubungkan dengan firman Allah di dalam al-Qur’an kelihatan sangat seiring dan ini menyimpulkan bahawa kata-kata atau janji Allah itu tidak dusta. Janji Allah kepada mereka yang sangat suka melakukan kezaliman adalah pembalasan yang sangat pedih sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih.”
Seperkara yang perlu diketahui ialah, orang yang dizalimi meskipun lazimnya di kalangan mereka yang lemah dan tidak berdaya, tetapi penzaliman yang diterima mereka akan menyebabkan Allah s.w.t. membuka hijab di antara-Nya dengan hamba tersebut. Apabila hijab telah terbuka, maka ia merupakan senjata yang sangat berkesan untuk memulangkan semula kezaliman tersebut kepada pelakunya. Doa orang yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya sangat mudah dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Sekiranya dia mendoakan keinsafan dan hasrat untuk bertaubat kepada orang yang melakukan kezaliman, tentulah ia merupakan rahmat kepada kedua-dua belah pihak. Akan tetapi, sekiranya dia mendoakan kebinasaan terhadap orang yang telah menzaliminya, tentulah ia sesuatu yang sangat merugikan terutama kepada orang yang telah berlaku zalim itu.
Selain itu juga, orang yang telah melakukan kezaliman terhadap orang lain akan membayar harga kezaliman tersebut dengan memberi kebaikan yang telah dilakukannya kepada orang yang menerima kezaliman tersebut. Sebagaimana yang pernah diriwayatkan oleh Abi Umamah ra. Beliau berkata;
“Orang yang zalim ketika dia melalui titian, di atas neraka Jahannam pada hari Kiamat, pada ketika itu dia bertemu dengan orang yang pernah dianiayanya, maka orang teraniaya itu akan menagih kebaikannya sebagai hutang yang perlu dilangsaikan. Sekiranya orang yang berlaku zalim itu tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang yang teraniaya itu akan dilemparkan kepada orang yang menzaliminya sebanding dengan kezaliman yang dilakukan sehingga mereka dilemparkan ke dasar neraka yang paling dalam.”
Allah juga turut memberi kenyataan bahawa orang-orang yang berlaku zalim ketika hidupnya tidak akan mempunyai sesiapa untuk membantu atau melindunginya ketika berada di akhirat kelak, sebagaimana maksud firman-Nya;
“Janganlah kamu sekalian cenderung kepada orang-orang yang menganiaya, maka kamu akan ditimpa oleh api neraka, dan tidak ada bagimu wali atau pemimpin selain Allah, kemudian, kamu tidak akan dibantu.”
Sebaliknya, seiring dengan konsep ‘amal ma’rif nahi munkar’ kezaliman wajar diganti dengan keadilan yang lebih membawa kemakmuran kepada umat manusia. Sebagai hamba Allah yang berperanan sebagai khalifah di atas muka bumi ini, setiap manusia sewajarnya memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh jujur dan adil. Sebagaimana perintah Allah s.w.t. ke atas Nabi Daud di dalam surah al-Sadd, ayat 26 yang bermaksud;
“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.”
Tanggungjawab kepimpinan yang telah diamanahkan, sekiranya seseorang itu dilantik menjadi pemimpin, mesti dilaksanakan dengan penuh rasa takwa, sebagaimana yang difirmankan di dalam al-Quran dalam surah al-Sad, ayat 22 berkaitan dengan kisah Nabi Daud a.s. yang bermaksud;
“Ketika mereka masuk menemui Daud lalu dia terkejut kerana kedatangan mereka. Mereka berkata, Janganlah kamu merasa takut; kami adalah dua orang yang mempunyai perkara, yang salah seorang dari kami berbuat zalim kepada yang lain; maka berilah keputusan antara kami dengan adil dan janganlah kamu menyimpang dari kebenaran dan tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus.”
Sikap yang adil dan telus ini juga turut diperintahkan ke atas golongan suami yang berperanan sebagai pemimpin di dalam sesebuah keluarga sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
“Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang wajar. Kemudian, bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak..”
Kepimpinan Melalui Teladan juga sebenarnya mempunyai konsep yang menolak kezaliman dalam sesebuah organisasi. Apabila seseorang individu itu diberi mandat oleh pihak atasan untuk menyelia kakitangan di bawahnya, maka mandat itu perlulah dilaksanakan dengan rasa amanah. Bukannya mengambil kesempatan di atas kelebihan yang telah diberi. Mengamalkan sikap pilih kasih, tidak mengagihkan kerja secara saksama atau membebankan anak buah dengan kerja yang bukan sepatutnya adalah sebahagian daripada bentuk kezaliman. Golongan ini sebenarnya adalah golongan manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah, dan sangat bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-A�raf, 181 yang bermaksud;
“Dan dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah.”
Sebaliknya Allah amat mengasihi orang-orang yang memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana sebuah hadis yang bermaksud;
“Nabi Muhammad ‘alahi salatu wassalamu ditanya, siapakah manusia yang paling dicintai oleh Allah swt? Baginda menjawab, orang yang memberi manfaat kepada manusia lainnya. Baginda kemudiannya ditanya lagi, “Amal apakah yang paling utama?” Baginda menjawab, “Iaitu yang menggembirakan hati orang mukmin, menghilangkan rasa laparnya atau menghapuskan beberapa kesusahannya atau membayar hutangnya. Barang siapa berjalan bersama dengan seorang muslim yang sedang mempunyai keperluan, maka keadaan itu seumpama berpuasa sebulan dan beriktikaf sebulan di bulan puasa itu. Barang siapa berjalan bersama dengan orang yang dianiaya yang dia mahu menolongnya, maka Allah ta’ala akan mengukuhkan kakinya di atas sirat al-mustaqim dan barang siapa menahan rasa marahnya, maka Allah akan menutup auratnya, dan sesungguhnya akhlak yang busuk itu akan merosak iman, sebagaimana cokak merosak madu.”
Selanjutnya dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, Nabi bersabda yang bermaksud;
“Barang siapa menolong orang yang dianiaya dalam keadaan kesedihan dan terpinggir, maka Allah ta’ala menetapkan baginya tujuh puluh tiga keampunan, salah satu dari antaranya ialah memperbaiki urusannya di dunia dan tujuh puluh dua darjat di akhirat.”
Kesimpulannya, perbuatan zalim sebenarnya merupakan perbuatan yang sangat merugikan kepada si pelakunya. Allah s.w.t. boleh memberi hukuman ke atas si pelaku tersebut meskipun masih berada di dunia seperti nasib yang menimpa Firaun. Sekalipun dia terlepas semasa berada di dunia, tetapi pembalasan yang sebenar tetap menantinya ketika dia berada di akhirat kelak. Orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Bahkan, sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.
Sebaliknya, orang-orang yang suka membantu orang lain termasuklah membantu orang yang dianiaya, bukan sahaja akan dimuliakan oleh manusia dan beroleh pahala, malah akan diangkat darjatnya di akhirat kelak.