Telah hampir dua minggu berlalunya seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar ahli-ahli parti itu membantu dan membentuk masyarakat Melayu supaya memiliki personaliti unggul. Personaliti unggul ini merujuk kepada personaliti yang berjaya dalam bidang yang diceburi, pada masa yang sama mempunyai akhlak yang baik dan berhemah tinggi.
Sejak itu, ramai yang memberi pandangan, baik secara lisan, mahupun bertulis, terhadap peribadi unggul ini. Ada yang menyentuh tentang keperluan ahli UMNO sendiri untuk terlebih dahulu memiliki peribadi unggul ini yang memang tidak boleh dinafikan. Begitu juga, ada yang memberi pandangan tentang resipi bagi memastikan lahirnya masyarakat Melayu yang berperibadi unggul.
Namun, apa yang lebih penting kini ialah perubahan ke arah memiliki peribadi yang disebutkan itu. Komitmen untuk berubah daripada peribadi yang buruk kepada peribadi unggul adalah diperlukan daripada semua pihak. Pastinya, Maal Hijrah baru-baru ini menjadi pendorong umat Islam untuk berubah ke arah itu.
Perubahan positif sesungguhnya dituntut oleh Islam. Ini jelas dalam firman Allah dalam ayat ke-11, Surah Ar-Rad, yang bermaksud, Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Tidak cukupkah ini sebagai pendorong kepada semua orang Melayu yang juga beragama Islam untuk berubah?
Menyentuh tentang perubahan, dalam ucapan beliau setelah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah baru-baru ini, Ustaz Uthman El-Muhammady mengajak umat Islam di negara ini untuk mengusahakan perubahan yang berkesan. Perubahan yang berkesan menurut beliau adalah perubahan yang berpaksikan kepada diri kita sendiri. Bila setiap individu berubah kepada sesuatu yang lebih baik, maka berlakulah perubahan secara massa demi kebaikan diri, agama, bangsa dan negara.
Sebagai orang Islam, sebenarnya tidak sukar untuk kita memahami apa yang dimaksudkan dengan budaya unggul ini. Segala ciri-ciri unggul telah disebutkan di dalam al-Quran dan hadis yang merupakan piawaian tentang nilai, sikap dan budaya umat Islam.
Tidak cukup dengan itu, umat Islam dibekalkan dengan begitu ramai individu unggul yang boleh dijadikan ikutan. Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik yang wajib kita ikuti. Kita juga boleh meneladani para Khalifah ar-Rasyidin dan ramai tokoh Islam lain yang banyak menyumbang kepada cabang-cabang ilmu, baik ilmu agama, mahupun ilmu dunia. Dalam masyarakat kita sendiri, ada tradisi penganugerahan tokoh yang bukan dianjurkan hanya untuk suka-suka.
Tujuan utamanya adalah untuk mengiktiraf sumbangan individu tersebut dan pada masa yang sama mengajak masyarakat untuk belajar dan meneladani segala nilai serta sikap terpuji yang dimiliki oleh tokoh-tokoh tersebut. Kita ada tokoh Maal Hijrah, Ibu Misali dan sebagainya. Malangnya, kita jarang melihat penganugerahan ini lebih jauh daripada penganugerahan itu semata-mata.
Untuk menjayakan kelahiran peribadi unggul ini, kita juga boleh sahaja melihat kepada bangsa lain. Bangsa Jepun misalnya yang bangun semula setelah menerima kekalahan teruk dalam Perang Dunia Kedua. Namun, sebelum kita pergi jauh, ada eloknya, seperti yang disarankan agar kita menilai budaya serta nilai-nilai masyarakat Melayu sendiri kerana ia juga tidak kurang hebatnya.
Pemerhatian Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang terhadap masyarakat Melayu melahirkan sebuah puisi yang begitu indah yang antara lain menyebut, “Watak Melayu menolak permusuhan, jiwa Melayu mengangkat persahabatan, kasih sayang kekeluargaan, ringan tulang saling bertolongan, jujur memaafkan, ikhlas memberikan. Berdamailah cara Melayu, silaturahim yang murni, di mulut sama di hati, maaf sentiasa bersahut, tangan dihulur bersambut, luka pun tidak lagi berparut. Tidakkah indah peribadi masyarakat Melayu?”
Begitu juga dengan masyarakat Islam. Nilai-nilai seperti jujur, benar, adil dan amanah tertanam dalam diri umat Islam yang awal. Nilai tolong-menolong dan persaudaraan terpancar indah ketika peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w.
Kesungguhan menuntut, mencipta dan menyebar ilmu serta kemajuan ketamadunan, begitu segar di zaman kegemilangan Islam di Andalusia. Apakah kini kurang unggul budaya Islam?
Sesungguhnya nilai serta budaya bangsa Melayu dan umat Islam begitu unggul sehingga mencipta sejarahnya sendiri. Malangnya, bila orang Melayu tidak lagi memegang nilai dan budaya Melayu, bila orang Islam tidak lagi menjunjung tinggi nilai serta budaya Islam yang sebenar, maka berlakulah apa yang terjadi pada hari ini.
Orang Melayu dan umat Islam dianggap lemah dan mundur. Bukan sahaja orang luar yang mempunyai persepsi ini, tetapi ada orang Melayu dan orang Islam sendiri yang hilang percaya kepada nilai dan budaya mereka sendiri. Bukan kerana nilai dan budaya Melayu dan Islam itu tidak menawarkan apa-apa yang baik. Tetapi kerana kita kurang mengenali nilai dan budaya kita sendiri.
Seruan untuk berubah kepada yang lebih baik, kerap kita dengar. Berbanding dua atau tiga dekad yang lalu, dekad ini menyaksikan begitu banyak seminar dan kursus yang dianjurkan untuk membuka minda dan mengubah sikap masyarakat dalam setiap aspek kehidupan.
Namun, dalam ratusan atau ribuan seminar dan kursus yang dianjurkan itu, kita masih mendengar seruan demi seruan untuk berubah. Apakah ini bermakna semua seminar dan kursus itu gagal?
Seminar dan kursus hanya boleh memberi ilmu dan maklumat kepada para peserta. Tetapi sama ada peserta itu berubah atau tidak adalah di luar bidang kuasa penganjur.
Daripada perspektif penganjur, mereka boleh membawa kuda itu mendekati air, namun mereka tidak boleh memaksa kuda itu untuk minum.
Seperti yang disebutkan oleh Ustaz Uthman, perubahan berkesan bermula dari dalam diri. Soalnya, bagaimana mendorong diri untuk berubah? Jawapan kepada soalan ini mungkin ada pada para ahli psikologi.