Gesaan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid supaya umat Islam menguasai bidang sains dan teknologi terkini wajar diberi perhatian khusus.
Beliau menggariskan empat bidang baru iaitu genomik, robotik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan nanoteknologi.
Atas kesedaran ini juga IKIM menganjurkan Seminar Islam Hadhari atas tajuk Bioinformatik Sebagai Alat Dakwah. Bioinformatik merujuk kepada bidang yang menggabungkan bioteknologi dan ICT.
Perbincangan mengenai perkara ini adalah selaras dengan salah satu daripada 10 prinsip Islam Hadhari iaitu penguasaan ilmu pengetahuan.
Kita percaya tidak ada sesiapa akan mempertikaikan kepentingan penguasaan ilmu khususnya lima bidang baru itu.
Tetapi apa yang menjadi kemusykilannya adalah cara mana umat Islam dapat mencapai aspirasi ini.
Hakikatnya umat Islam secara keseluruhan sudah jauh ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi. Sementara bidang-bidang terkini itu pula dipelopori dan dikuasai oleh kuasa terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS).
Kedudukan umat Islam pula berada pada tahap rendah dalam pendidikan.
Justeru, tidak ada jalan lain bagi umat Islam di seluruh dunia untuk maju selain daripada melalui pendidikan. Inilah mesej yang sering dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengunjungi negara-negara Islam lain semasa menjelaskan mengenai Islam Hadhari.
Pun begitu, kita tidaklah naif dengan menyangka bahawa kecemerlangan dalam pendidikan akan secara automatik melahirkan ahli-ahli sains. Ini kerana setiap negara memerlukan pelbagai infrastruktur untuk memberikan warganegara mereka peluang memanfaatkan pengetahuan yang mereka ada.
Dalam pada itu, Malaysia sebagai sebuah negara kecil hanya berupaya memberi sumbangan tertentu tetapi gerakan menyeluruh masih memerlukan kerjasama erat daripada semua kalangan umat Islam, baik di peringkat kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
Suasana sebegini memerlukan satu rancangan strategik yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh supaya kecemerlangan sains dan teknologi dapat dicapai secara nyata.
Malaysia yang mungkin lebih mampu daripada negara-negara Islam lainnya dalam menghasilkan ahli-ahli sains melalui komitmen kerajaan tidak akan sampai ke mana-mana jika tidak wujud peluang bagi memanfaatkan ilmu itu.
Pastinya untuk mendapatkan ilmu terkini, seseorang terpaksa memperoleh melalui pengajiannya di luar negara. Tetapi bagaimana ilmu itu dapat dikembangkan di negara ini menjadi persoalan lain yang perlu ditangani.
Justeru, satu perancangan strategi perlu dibentuk bagi mengelakkan ahli sains Islam terpaksa berhijrah untuk memanfaatkan ilmu yang diperolehnya.
Sumber : Utusan Malaysia