Dalam tempoh beberapa bulan sahaja di tahun 2026, Malaysia dikejutkan oleh deretan kes jenayah yang menjadikan wanita mangsa kekejaman lelaki. Seorang lelaki kini menjalani hukuman penjara kerana memukul si isteri yang sedang mengandung hingga koma. Bayi yang lahir ketika si ibu koma terjejas akibat perbuatannya, dan kini berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) akibat pertumbuhan yang perlahan. Si pelalu dibebaskan dan berkahwin lagi. Isteri baharu menjadi mangsa seterusnya dan dia didakwa menyeksa isteri ini pula menggunakan kerusi plastik, getah paip, dan penyangkut besi sehingga mangsa mengalami keguguran. Seorang lagi lelaki menikam dan membakar kekasihnya yang hamil di ladang kelapa sawit. Ada yang merancang pembunuhan bekas kekasih dengan membeli senjata sehari lebih awal, lalu menikamnya berkali-kali di dalam pusat membeli-belah. Ada yang mencurahkan petrol ke tubuh bekas teman wanitanya. Ini semua bukan sekadar kompilasi berita jenayah. Ini adalah simptom kepada krisis sosial dan moral yang sedang membarah.
Krisis kelelakian di Malaysia adalah petanda kemerosotan moral yang serius dalam kalangan lelaki. Ia merentasi dimensi pendidikan, kesihatan mental dan fizikal, dan tanggungjawab sivil. Statistik jenayah 2024 mengesahkan bahawa 90.9 peratus daripada 128,916 banduan sabitan adalah lelaki. Kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki adalah empat kali lebih tinggi berbanding wanita. Penyertaan mereka di institusi pengajian tinggi juga jauh merosot. Hanya 39 peratus pelajar universiti awam adalah lelaki. Lebih dari itu, lebih 60 peratus kes perceraian difailkan oleh wanita, dengan sebab utamanya adalah pengabaian tanggungjawab suami dan keganasan rumah tangga. Rentetan dari itu, kita tidak lagi melihat anak-anak gadis kita mengimpikan perkahwinan mahupun membina rumahtangga. Bagi wanita, perkahwinan kini bermakna beban, dan satu perjudian yang jarang menguntungkan. Justeru, adalah lebih baik mereka membina kerjaya dan mempersiapkan kewangan untuk menikmati hujung usia di pusat jagaan orang tua yang selesa.
Apakah punca dan akar kepada kemerosotan nilai dan etika maskuliniti ini? James Dobson dalam Bringing Up Boys menulis bahawa apabila masyarakat mengamalkan nilai maskuliniti yang tidak sihat, anak-anak lelaki kehilangan contoh teladan. Ini diburukkan lagi oleh budaya sekular dan feminisme yang memperjuangkan kehebatan wanita sehingga lelaki dianggap sebagai ancaman. Kejayaan sesebuah negara diukur dengan pemberdayaan wanita tetapi malangnya mencicirkan lelaki. Walhal, lelaki dan wanita saling memerlukan dan melengkapi. Michael Reichert pula dalam How to Raise a Boy menulis bahawa maskuliniti yang memendam emosi hanya akan melahirkan lelaki yang gagal menguruskan perasaan, dan akhirnya mencetuskan gejala tidak sihat seperti budaya samseng dan ketegasan yang tidak mengenal tolak ansur.
Budaya timur banyak mengajar kita untuk menahan rasa sehingga kita gagal mengenal pasti, apatah lagi memproses emosi kita sendiri. Meluahkan perasaan dianggap lemah, dan menzahirkan pendapat dianggap mencabar dan biadap. Sudahnya, amarah tidak hilang dan sebaliknya dilampiaskan kepada orang terdekat. Kes-kes kekejaman yang berlaku adalah bukti bahawa kita gagal dalam banyak perkara. Kita perlu menilai semula cara kita mendidik dan membesarkan anak-anak, baik lelaki mahupun perempuan. Lebih dari itu, kita perlu menyemak sistem pengadilan dan hukuman ke atas jenayah seperti ini. Ada pelaku yang disabitkan, dihukum, dan dibebaskan, hanya untuk melakukan kesalahan yang sama terhadap wanita lain. Di mana program pemulihan yang bermakna di dalam penjara? Di mana mekanisme perlindungan yang memastikan penjenayah berulang tidak mendapat akses kepada mangsa baharu? Kita gagal membentuk mereka di rumah, gagal membimbing mereka di sekolah, dan gagal pula memulihkan mereka di penjara.
Krisis ini bukan sekadar fenomena sosial. Ia adalah krisis tamadun. Apabila lelaki gagal menunaikan amanah qawwamah, iaitu kepimpinan yang bertanggungjawab, berempati, dan penuh rahmah sebagaimana dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW, institusi keluarga bukan sahaja menjadi lumpuh, malah ia mengancam masa depan masyarakat dan negara.
Malaysia memerlukan dua pelan tindakan: pelaburan yang serius dalam pendidikan yang bersesuaian dengan fitrah kelelakian, dan hukuman yang tegas serta setimpal bagi mereka yang memilih jalan yang salah. Pendidikan emosi di sekolah, program pemulihan yang bermakna di dalam penjara, kempen maskuliniti berasaskan nilai Islam, dan undang-undang perlindungan yang lebih kukuh bagi mangsa keganasan rumah tangga, semua ini adalah kemestian, dan kita tidak boleh bertangguh lagi.
Wanita-wanita yang menjadi mangsa dalam kes-kes ini bukanlah sekadar rekod dalam fail laporan polis. Mereka adalah cerminan kegagalan kolektif kita. Selagi kita tidak mendidik lelaki untuk menguruskan emosi dan menggalas amanah dengan jiwa yang matang, selagi itulah wanita akan terus berhadapan dengan bahaya, dan pemberdayaan wanita yang kita laung-laungkan akan kekal sebagai retorik semata-mata.

