Dunia hari ini sedang mengalami peralihan besar. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebangkitan dunia pelbagai kutub (“multipolar world”) semakin ketara, khususnya melalui kemunculan BRICS+ dan perubahan besar dalam percaturan geopolitik antarabangsa.
Namun perubahan ini bukan semata-mata bersifat geopolitik. Ia turut memperlihatkan kebangkitan kesedaran ketamadunan (“civilizational turn”) apabila negara-negara besar mula mentakrifkan diri mereka sebagai negara-tamadun (“civilization-states”) dan pewaris tradisi ketamadunan tersendiri.
China dan Rusia misalnya semakin menampilkan identiti sebagai negara-tamadun secara terbuka. Ini dizahirkan melalui dasar-dasar pentadbiran yang menekankan falsafah dan nilai-nilai tradisional tempatan, yang diterapkan dalam amalan pendidikan, ekonomi, dan pentadbiran negara.
Dalam konteks yang berbeza tetapi saling berkait, Turkiye dan Malaysia pula berkongsi akar Tamadun Islam yang telah bertapak ratusan tahun di kedua-dua wilayah. Ini dapat dilihat melalui warisan Bahasa Islami kedua-dua bangsa yakni Turki-Uthmaniah dan Jawi yang menggunakan skrip Arab dan memancarkan peristilahan dasar Arab-Islami yang memastikan kesatuan Pandangan Alam Islam.
Perkembangan keilmuan-politik hari ini membuka ruang baharu untuk kedua-dua negara membina hubungan yang lebih mendalam berasaskan pandangan alam, warisan, dan aspirasi masa hadapan yang dikongsi bersama.
Beberapa perkembangan mutakhir memberikan petanda jelas tentang potensi besar kerjasama tersebut. Antaranya ialah ucaptama Necmettin Bilal Erdogan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 29 April 2026 yang menekankan kepentingan pembentukan insan yang adil dan beradab melalui konsep ta’dib dan adab yang digagaskan oleh Almarhum Profesor Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Kenyataan tersebut memperlihatkan betapa pentingnya gagasan Almarhum Prof. al-Attas berkenaan adab dalam pengertian yang lebih menyeluruh dan mendalam sebagai “meletakkan sesuatu pada tempatnya”, “disiplin akal, badan, dan ruh”, “pemerolehan sifat-sifat terpuji akal dan diri” dan melibatkan “pengenalan akan tempat yang wajar bagi tiap sesuatu dalam rencana tertib ciptaan raya, dengan sedemikian cara sehingga ia membawa kepada pengenalan akan hadirat Tuhan Semesta Alam dalam rencana tertib kewujudan”, dimanfaatkan secara lebih tersusun dalam dasar pendidikan negara, dasar pembangunan negara, dan pembentukan kepimpinan kedua-dua negara.
Malaysia dan Turkiye perlu melihat legasi Almarhum Prof. Al-Attas bukan sekadar sebagai khazanah pendidikan atau akademik semata-mata, tetapi sebagai khazanah yang memastikan kedua-dua negara terus mengakar kepada ketamadunan Islam, dan pada masa sama meraikan kepelbagaian hikmah dan ketamadunan lain secara bijak dan adil.
Perkembangan kedua yang amat signifikan ialah penganjuran World Decolonization Forum pada 11-12 Mei 2026 di bawah naungan Dr. Esra Albayrak Erdoğan.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr Esra Albayrak menegaskan bahawa setiap masyarakat atau ketamadunan mempunyai faham kewujudan masing-masing yang tersendiri, dan faham ilmu Barat yang mendominasi universiti-universiti hari ini sering dipersembahkan sebagai bersifat sejagat sedangkan ia menyingkirkan perspektif ketamadunan lain.
Sebagai contoh, menurut Dr Esra, seorang pelajar universiti jurusan falsafah boleh menghabiskan masa selama empat tahun tanpa diperkenalkan kepada seorang pun pemikir Muslim, Afrika, Amerika Latin, atau Asia.
World Decolonization Forum yang dianjurkan oleh Social Institute Turkiye ini menghimpunkan wakil institusi pelbagai benua, tokoh pemikir, ikon kebudayaan dan pelbagai pemimpin masyarakat antarabangsa untuk membahaskan isu-isu besar global berdasarkan pandangan alam dan perspektif ketamadunan masing-masing.
Dengan memperkukuh dialog rentas tamadun dan mengurangkan kebergantungan terhadap kerangka liberal Barat yang semakin dipersoalkan, kedua-dua negara boleh muncul sebagai peneraju penting dalam membentuk tadbir urus global yang lebih adil, seimbang dan secocok dengan fitrah insan.
Untuk menjadi peneraju penting pada peringkat global, fokus utama perlu diberikan kepada proses saling belajar antara kelompok intelektual pelbagai umur dan bakal pemimpin kedua-dua negara.
Kelompok intelektual Malaysia perlu mendalami pengalaman lebih 600 tahun empayar Uthmaniyyah-Turki dalam memajukan keadilan, penyempurnaan budaya dan tadbir urus yang berwibawa, termasuk visi kepimpinan tokoh seperti Sultan Abdulhamid II dimana kesan kepimpinannya masih dapat dilihat melalui Istana Yıldız di Istanbul.
Malaysia wajar menghantar delegasi lawatan sambil belajar atau melalui program pertukaran bakat—dikalangan intelektual muda di badan pemikir dan universiti, pemimpin muda dikalangan Pegawai Tadbir Diplomatik, dan pemimpin muda dalam syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC)—ke Turkiye untuk mempelajari secara teliti wawasan Empayar Uthmaniah melalui pemikir atau pakar terulung di Turkiye, ke TRT World yang membina naratif media antarabangsa alternatif dan mengetengahkan kandungan budaya bermutu, serta Presidency for Turks Abroad and Related Communities yang aktif dalam pelbagai usaha kemanusiaan antarabangsa.
Pada masa yang sama, delegasi Turkiye boleh berkunjung ke Malaysia untuk lebih memahami kepimpinan pemikiran Almarhum Prof. Al-Attas melalui anak-murid langsung Almarhum –karya beliau seperti Islam and Secularism telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Turki.
Antara aspek kepimpinan pemikiran Almarhum Prof. Al-Attas yang boleh dimanfaatkan oleh delegasi Turkiye termasuklah berkenaan hakikat Bahasa-Bahasa Islami dan kaitannya dengan Pandangan Alam Islam; perbezaan dan persamaan Pandangan Alam Islam dan Pandangan Alam ketamadunan-ketamadunan lain di dunia; serta cara yang terbaik untuk mencermati pertempuran halus melibatkan kuasa-kuasa sekularisasi.
Pengalaman Malaysia dalam membina institusi pemikiran yang berdaya-mampan (seperti IKIM), serta institusi ekonomi nasional yang bertaraf antarabangsa seperti Petronas, Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji boleh menjadi sumber rujukan penting bagi memperkukuh autonomi intelektual dan ekonomi Turkiye.
Dalam detik perubahan global yang penting ini, para pemimpin politik, pembuat dasar dan kelompok intelektual Malaysia dan Turkiye mesti melangkaui hubungan yang bersifat urus niaga (transactional) semata-mata, tetapi dirangka sebagai agenda memperkukuh autonomi intelektual, ekonomi, kebudayaan dan ketamadunan kedua-dua negara. Jika sinergi ini berjaya digembleng secara bersungguh-sungguh dan berterusan, Malaysia dan Turkiye akan berupaya menjelmakan penyelesaian yang unik kepada pelbagai cabaran ketamadunan abad ke-21 berakarkan segala hikmat Peradaban Islam.

