Percayakah jika dikatakan bahawa satu negara yang kecil dari segi saiz dan bilangan penduduknya, mampu menakluk negara yang lebih besar (dari segi saiz dan bilangan penduduknya) atau menakluk dunia sekalipun?
Dalam situasi dunia kini, hal ini berkemungkinan kelihatan mustahil. Pertamanya, penjajahan bukanlah satu fenomena biasa kini dan keduanya, negara yang kecil dijangkakan tidak mempunyai cukup kekuatan untuk menakluk negara lain. Kekuatan di sini merujuk kepada kekuatan tentera, teknologi dan semangat perjuangan yang tinggi. Jika mempunyai semangat tetapi kalah dari segi teknologinya, negara tersebut masih belum cukup lengkap untuk digelar sebagai si penakluk.
Walau bagaimanapun, sebuah negara/bangsa tidak kira kecil atau besar sebenarnya boleh memberikan impak yang besar kepada dunia dengan syarat ia mempunyai satu budaya ilmu yang kuat. Ini telah dibuktikan oleh sejarah. Bangsa Moghul, dengan penuh keazaman dan keyakinan, berjaya menakluk negara China yang kuat dan luas empayarnya. Namun, bangsa Moghul ternyata ‘tewas’ kemudiannya apabila budaya bangsanya tidak dapat dikekalkan kerana bangsa Cina dengan budayanya yang kukuh meresapi dan mengubah kemurnian budaya bangsa Moghul itu sendiri.
Contoh itu merupakan satu antara beribu contoh. Ia membuktikan keyakinan bahawa “suatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kekayaan tidak boleh mempertahankan miliknya, apatah lagi mengembangkannya tanpa budaya ilmu yang baik. Malah dia akan bergantung kepada orang atau bangsa lain yang lebih berilmu” (Prod. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud)
Apa yang disebutkan di atas boleh digunakan untuk kita menilai keadaan negara kita pula. Apakah kebergantungan Malaysia kepada negara maju seperti Amerika Syarikat (dalam perdagangan utamanya) adalah satu bukti kelemahan budaya keilmuan di kalangan rakyatnya? Hal ini mungkin ada benarnya kerana budaya keilmuan masyarakat Malaysia sudah seringkali dikaji dan dinilai kelemahannya. Budaya keilmuan itu diwarnai dengan sikap malas membaca di kalangan rakyatnya, sifat penerokaan yang rendah, budaya suka mengikut, sukakan apa sahaja yang mudah dan mengagungkan keseronokan dan hiburan semata-mata.
Penyelesaian kepada permasalahan yang disebutkan di atas hendaklah kembali kepada pengukuhan budaya ilmu masyarakat kita. Umat Islam terutamanya, pernah memiliki sejarah keilmuan Islam yang hebat dan membanggakan. Bilakah ini akan diulang semula oleh umat Islam kini merupakan satu persoalan yang entah bila terjawab. Pengulangan sejarah itu kelihatan sukar, namun ini tidaklah mustahil. Apa yang sangat diperlukan kini adalah perubahan minda dengan segera dan secara besar-besarkan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berubah dan membentuk budaya ilmu yang kuat.
Perubahan yang hendak dilakukan memerlukan sokongan semua pihak, daripada pemimpin hinggalah kepada anak-anak kecil di rumah. Tidak ada seorangpun daripada ahli masyarakat yang terkecuali. Lebih-lebih lagi anak-anak kecil. Mereka lebih mudah dibentuk untuk mencari, mencintai dan mengembangkan ilmu. Pesan Saidina Hasan bin Ali bin Abi Thalib kepada anak-anak saudaranya: “Pelajarilah ilmu. Sebab kalau sekarang kalian adalah rakyat kecil, maka nanti kalian akan menjadi pemuka (pemimpin) suatu kaum. Barang siapa yang tidak dapat menghafal, hendaklah dia menulis/mencatat”.
Pesan Saidina Hasan kepada anak-anak saudaranya yang masih kecil menunjukkan bahawa pengajaran ilmu mesti diberikan kepada anak-anak seawal mungkin. Malah, sebenarnya si anak boleh dididik sejak dalam kandungan lagi. Pesan Saidina Hassan ini juga menunjukkan bahawa ilmu itu penting untuk mencapai kejayaan sama ada sebagai seorang pemimpin, pelajar, guru, ibu bapa dan sebagainya.
Walaupun ilmu mesti diperoleh seawal usia kanak-kanak, ini tidak bermaksud bahawa seorang bapa berusia 40 tahun atau seorang jurutera berusia 30 tahun, sudah terlambat untuk mencari ilmu. Tidak kira siapa orang itu, apa pangkatnya, berapa umurnya, dia masih perlu mencari ilmu. Ilmu yang ada itu pula mesti diamalkan dan dikongsi bersama dengan orang lain. Ilmu yang tidak dikongsi bersama orang lain dan tidak diamalkan, tidak membawa apa-apa makna. Malah berdosa bagi seorang Muslim menyorok dan mensia-siakan ilmu yang dimilikinya.
Sebenarnya, ilmu apakah yang perlu dicari oleh seseorang itu? Sebagai seorang Islam, ilmu yang penting baginya adalah ilmu fardhu ‘ain dan juga ilmu fardhu kifayah. Secara amnya, ilmu fardhu ‘ain merujuk kepada ilmu-ilmu yang berasaskan kepada tanggungjawab di peringkat individu kepada Allah SWT. Manakala ilmu fardhu kifayah menyentuh kehidupan manusia bermasyarakat seperti sains, bahasa, geografi, alam sekitar, bertukang, memasak dan sebagainya.
Bagi seorang individu Muslim, kedua-dua ilmu ini sama penting dan bergerak seiring. Ini bermakna seorang Muslim itu hendaklah membimbing kehidupan duniawi berasaskan agama. Ini sangat penting kerana pencarian ilmu dalam Islam tidak pernah memisahkan ilmu agama dan duniawi. Malah inilah satu ciri keistimewaan yang telah membawa umat Islam terdahulu ke puncak kegemilangan. Ia berbeza dengan konsep pemisahan ilmu dunia Barat yang akhirnya menimbulkan ketidakadilan kepada diri, umat manusia dan alam keseluruhannya.