Amat mendalam maksudnya ungkapan al-Biruni, (m.d. 440H./1048M.) “Sesungguhnya yang kulakukan ini ialah apa yang wajib bagi setiap insan untuk dilaksanakan dalam kerjayanya, iaitu menerima pencapaian masyarakat terdahulu dengan penuh kesyukuran dan memperbaiki kesilapan yang ditemui tanpa rasa silu serta mengabadikan apa yang kelihatan berharga sebagai kenang-kenangan bagi orang yang datang selepasnya dan mereka yang terkemudian.” Kata-kata yang dilafazkan oleh tokoh kelahiran Birun, ibu negeri Khawarizm (Turkestan) ini jelas dibuktikannya melalui usaha bagi meneladan jejak orang yang terdahulu, bukan sahaja dengan menguasai ilmu-ilmu dari Eropah bahkan juga dari Timur, terutamanya dari India. Itulah tanda kesyukuran dan penghargaan yang diberikannya terhadap kegigihan masyarakat sebelumnya. Malah, selain usahanya yang hebat itu, al-Biruni juga membuktikan kata-katanya melalui sumbangan besarnya yang dikagumi hingga hari ini dalam pelbagai bidang seperti falsafah, matematik, falak dan geometri.
Pencapaian besar al-Biruni termasuklah penciptaan kaedah penggunaan angka-angka India dengan menggunakan angka sifar, penentuan garis bujur serta garis lintang bumi dan penjelasan tentang hakikat kelajuan perjalanan cahaya mengatasi perjalanan bumi. Malah al-Biruni juga mewariskan banyak hasil penulisan yang sangat berharga termasuklah “Al-Saidalah fi al-Tibb” (ubat-ubatan) dan “Al-Qanun” (falak). Selain membuktikan kecintaan yang mendalam terhadap ilmu, al-Biruni dan juga sarjana-sarjana agung Islam zaman silam ternyata menunjukkan banyak teladan yang selayaknya dicontohi oleh umat Islam kini. Antaranya termasuklah usaha yang dilakukan dengan membuka pintu pengajian di seluruh dunia; timur serta barat dan bagi kemasukan segala bentuk warisan tamadun manusia sejagat. Proses penerimaan, penyerapan, penterjemahan, pengembangan semula dan pengubahsuaian ilmu asing menurut asas yang ditentukan Islam demi kepentingan masyarakat Islam, tidak terhenti di situ sahaja, malah ditingkatkan sehingga mereka berjaya mencapai tahap kreativiti dan inovasi yang sebenar, iaitu pada kurun ke-3H./9M.
Di samping itu, hubungan yang dijalin dengan bangsa-bangsa maju di dunia ketika itu dijadikan penggerak usaha untuk memanfaatkan kemajuan dan pengetahuan yang dimiliki oleh bangsa-bangsa tersebut. Lebih utama daripada itu, tokoh-tokoh agung kebanggaan Islam ini membuktikan bahawa pencapaian hebat dan sumbangan besar lagi terbilang mereka itu hanyalah dengan satu tujuan yang suci, iaitu demi membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada kehidupan manusia sejagat, bukan sahaja yang sezaman dengan mereka tetapi juga selepas mereka. Ini terbukti dengan penghasilan karya-karya agung yang dapat dimanfaatkan hingga pada zaman kini. Amat menarik juga jika diteliti bahawa kegigihan tokoh-tokoh agung Islam dalam pelbagai bidang itu sebenarnya turut didorong oleh pemerintah yang berilmu dan juga memiliki kecintaan yang mendalam terhadap ilmu seperti Khalifah al-Ma’mun (yang memerintah dari tahun 198-218H./813-833M.). Antara usaha penting khalifah `Abbasiyyah ini termasuklah titah baginda kepada sekumpulan besar ahli geografi dan ahli astronomi untuk menghasilkan sebuah buku geografi yang lengkap dan peta dunia yang baharu. Demikianlah pula dengan usaha untuk menentukan ukur lilit bumi di khatulistiwa. Pada awal kurun ke-3H./9M., Khalifah al-Ma’mun menitahkan supaya sekumpulan besar ahli astronomi menajdikan ukuran darjah longitud sebagai asas bagi penghasilan peta dunia. Kumpulan ahli astronomi ini melaksanakan titah baginda di Padang Pasir Sinjar, di utara Iraq dan juga di Tadmur dengan menggunakan pelbagai alat pengukuran, iaitu astrolab, rod serta tali pintal untuk menentukan permulaan dan penghujung darjah latitud serta jarak di antara kedua-duanya. Kesimpulan yang dicapai oleh mereka ialah darjah longitud mencapai 56 2/3 batu Arab dan dengan demikian, longitud khatulistiwa adalah hampir 40,000 km. Pada hakikatnya, longitud khatulistiwa yang diiktiraf oleh ahli geografi moden berpandukan hasil ilmiah yang cemerlang dan terperinci ini.
Sesungguhnya usaha menghayati serta menyuburkan semula ingatan terhadap sumbangan besar cendekiawan Islam yang terbilang itu di samping menjadikannya sebagai pencetus semangat dan inspirasi merupakan sesuatu yang harus dipuji. Ia diharapkan dapat menimbulkan kesedaran yang tinggi tentang kepentingan penguasaan ilmu sains dan teknologi yang dapat membantu usaha membentuk sejumlah besar cendekiawan dan pakar bagi memacu kecemerlangan negara. Sehubungan itu juga, penglibatan aktif cendekiawan serta pakar ini dalam kegiatan penyelidikan dan pembangunan, membolehkan negara mencipta teknologi sendiri yang bukan sahaja dapat mengelakkan pergantungan pada teknologi asing. Bahkan sebaliknya dapat merancakkan perkembangan iktisad ummah seluruhnya. Inilah yang kelihatan dijadikan sebahagian matlamat “Pameran Kegemilangan Sains dalam Tamadun Islam” yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Januari yang lalu.
Namun demikian, seharusnya pula kesedaran, minat, semangat serta inspirasi yang berhasil dipupuk sepanjang pameran yang dijadualkan berlangsung lebih dua bulan ini tidak terhenti di situ sahaja. Lebih banyak langkah susulan yang perlu dirancang dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan. Ini misalnya dengan memperkenalkan tokoh ilmuwan Islam silam ini secara berterusan dan melalui pendekatan yang berkesan. Salah satunya ialah melalui kurikulum atau sukatan pelajaran dan pengajaran di sekolah, khususnya di peringkat rendah. Misalnya melalui mata pelajaran matematik, pelajar-pelajar diberikan maklumat tentang peribadi dan sumbangan al-Khawarizmi, antaranya bagaimana beliau menggunakan angka sifar sebagai gandaan puluh, ratus dan juta selain mengasaskan algebra (al-jabr) dan menjadikannya sebagai cabang ilmu yang terpisah daripada ilmu hisab dan geometri. Demikian juga melalui mata pelajaran sains, kegigihan dan sumbangan Ibn al-Haitham dalam bidang ini wajar didedahkan kepada pelajar-pelajar, apatah lagi kejayaan beliau untuk menguasai bidang sains, falsafah dan geometri bermula sejak usia remaja lagi.
Bagi penuntut-penuntut di institusi pengajian tinggi pula, keagungan tamadun Islam dan sumbangan ilmuwannya seharusnya tidak dibataskan hanya melalui pembelajaran subjek tamadun Islam semata-mata. Sebagai contoh, pensyarah boleh memainkan peranan dalam memberikan pendedahan dan pengetahuan yang mendalam tentang sumbangan tidak terhingga nilainya oleh ilmuwan agung Islam terhadap bidang atau kursus yang diikuti oleh pelajar-pelajar. Kehebatan dan pencapaian mengagumkan ilmuwan Islam dalam seni bina (seperti Istana al-Hamra’/al-Hambra serta Taj Mahal), astronomi, geografi, pengembaraan dan pelayaran (misalnya jam matahari, astrolab dan kompas), teknologi dan penciptaan dalam bidang pertanian, pembinaan serta kejuruteraan (sebagai contoh, pam air automatik), penciptaan dan penemuan dalam bidang perubatan (misalnya kelalang tanah liat yang digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan), pasti dapat menyuntik semangat yang luar biasa sifatnya di kalangan penuntut, sekurang-kurangnya untuk mencipta kejayaan tersendiri.
Selain kurikulum dan kegiatan pembelajaran, peranan media elektronik juga dilihat sangat berkesan dalam menjayakan hasrat besar ini. Usaha yang dirintis oleh TV3 dalam menerbitkan rancangan berkualiti seperti “Ilmuwan Islam” seharusnya diteladani dan diberikan sokongan yang tiada taranya. Ternyata melalui rancangan tersebut, masyarakat negara ini memperoleh maklumat sebenar tentang sumbangan dan usaha yang dirintis oleh ilmuwan atau sarjana agung Islam. Sekadar menyebut contoh, pendedahan “Ilmuwan Islam” tentang sumbangan Ibn Firnas dalam kejuruteraan penerbangan dan merupakan orang pertama yang membuat percubaan
untuk terbang pada tahun 875 (sebagaimana yang juga disebut oleh Philip Hitti, History of Arabs) membetulkan tanggapan orang ramai yang sebelumnya hanya mengetahui pencapaian Wilbur dan Orville Wright dalam bidang yang sama sekitar tahun 1900. Rancangan bermutu seumpama ini seharusnya mendapat sokongan dalam pelbagai bentuk, khususnya tajaan dan pengiklanan yang memungkinkan ia terus berperanan memberikan manfaat yang tidak terbanding nilainya kepada segenap lapisan masyarakat negara ini. Dalam hubungan ini, pihak pengiklan seharusnya menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha kerajaan menyemarakkan budaya keilmuan dan tradisi menyelidik serta menghasilkan teknologi di kalangan rakyat. Bahkan inilah juga sebahagian daripada tanggungjawab kemasyarakatan yang perlu dilaksanakan oleh mereka. Telah tiba masanya juga untuk pengiklan-pengiklan mengutamakan rancangan keilmuan berbanding dengan minat, tumpuan serta sasaran mendapatkan keuntungan melalui rancangan berbentuk hiburan semata-mata.
Secara peribadi, setiap kita perlu memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan usaha menimbulkan minat mengikuti jejak dan pencapaian ilmuwan Islam silam. Sekurang-kurangnya inilah tandanya kita menyokong penuh dan menghargai kegigihan Prof Dr Fuat Sezgin, pemilik 148 replika pameran anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Institute for the History of Arabic-Islamic Science, Johanne Wolfgang Goethe University, Frankfurt, Germany yang bertemakan “Sains Islam Mendahului Zaman” itu. Memetik inti pati ucapan beliau pada hari pelancaran pameran, “Sains moden yang bermula di Eropah beberapa kurun silam sebenarnya begitu biasa dan dekat dengan kita. Justeru itu, umat Islam tidak harus sama sekali berasa terasing daripadanya kerana sebahagian besarnya merupakan cabang bagi tahap awal perkembangan dalam dunia Islam. Sebaliknya kini telah tiba masanya bagi kita mempelajari dan menyerap pencapaian dalam tamadun barat sehingga kita berkeupayaan menyumbang pencapaian kita sendiri.”