Ketika kejadian kemalangan jiwa yang meragut ribuan nyawa di Iran akibat bencana alam dan pengeboman saban hari di Iraq, Palestin dan yang terbaharu di Thailand akibat permasalahan politik setempat, tetapi bencana yang menimpa kita di Malaysia nampaknya banyak disebabkan kemalangan jalan raya.
Pada umumnya akibat sikap negatif pengguna jalan raya sendiri kini ia ibarat medan maut yang amat berbahaya dan sering mengancam nyawa.
Pandangan Islam terhadap disiplin dalam apa jua perkara yang dilakukan oleh seseorang amat dititikberatkan.
Penghayatan sebenar terhadap ajaran Islam akan membolehkan seseorang itu menggunakan jalan raya dengan berhati-hati, berhemah, sabar dan bertanggungjawab. Jika kita mengaku beriman dan mampu menghayati Islam sebenar-benarnya sudah tentu kita mampu mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya.
Oleh yang demikian kita dituntut supaya sentiasa bertimbang rasa, sabar, tertib, berdisiplin, menghormati orang lain dan akur kepada peraturan. Islam menganjurkan umatnya menghargai nyawa sendiri dan orang lain serta memeliharanya daripada sesuatu yang boleh merosakkan diri sendiri dan pihak lain.
Namun masih terdapat di kalangan umat Islam yang seolah-olah tidak mengambil peduli dan tidak menghiraukan ajaran dan kehendak agama. Seolah-olah mereka mengetepikan perintah Allah dan Rasul-Nya dengan melakukan pelbagai perkara yang bertentangan dengannya.
Antara pelanggaran yang nyata terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya itu ialah sikap buruk sesetengah umat Islam apabila berada di jalan raya yang akibatnya ialah kematian, kesengsaraan dan kemusnahan harta benda.
Kemalangan jalan raya, sama ada yang mengakibatkan kematian atau cedera parah sebenarnya menambahkan penderitaan kepada keluarga terutama kepada anak-anak yang masih kecil.
Kesan sampingan daripada berlakunya sesuatu kemalangan itu juga terpaksa ditanggung oleh kita semua sebagai pembayar cukai.
Sumber kekayaan negara yang sepatutnya boleh disalurkan kepada perkara yang lebih penting bagi kemajuan ummah terpaksa digunakan untuk tujuan penguatkuasaan dan penganjuran kempen serta program kesedaran keselamatan jalan raya.
Kita jangan lupa bahawa ramai juga orang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya mendapat cedera parah, ada yang cacat dan lumpuh, sepanjang hidupnya terpaksa bergantung kepada bantuan dan pertolongan pihak lain, baik masyarakat umum mahupun institusi kerajaan seperti hospital dan pusat-pusat pemulihan.
Jelaslah bahawa kesengsaraan dan kesusahan akibat kecelakaan di jalan raya mendatangkan kesan kepada negara, keluarga mahupun kepada diri sendiri.
Bagi mengelakkan diri daripada kebinasaan akibat kecuaian sendiri, kita wajib mengubah sikap, mengubah tabiat dan memperlengkapkan diri dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji sepertimana yang dianjurkan oleh Islam di samping meningkatkan keimanan diri.
Kita hendaklah sentiasa merasai dan sedar bahawa memandu itu sebahagian daripada ibadah dan dinilai oleh Allah s.w.t. Apabila memandu kita seharusnya mengikut peraturan dan undang-undang semoga mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Kita wajib mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berwajib untuk tujuan menjaga keselamatan dan kepentingan umum atau kemaslahatan ummah.
Menurut Islam undang-undang seumpama ini wajib kita taat dan kita patuhi seperti juga perintah-perintah agama Islam dalam bidang-bidang yang lain. Allah berfirman dalam Surah An-Nisaa Ayat 59 yang bermaksud: Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul-Nya serta pemimpin dari kalangan kamu.
Umat Islam seharusnya memandang perintah-perintah dan undang-undang seperti ini penting dan perlu dipatuhi. Ramai di kalangan kita sanggup melanggar undang-undang apabila merasakan tidak ada pihak penguat kuasa di sesuatu tempat itu.
Ada juga golongan muda yang tipis imannya menjadikan jalan raya medan pertarungan kehebatan dan keberanian sedangkan kesemua ini amat bertentangan dengan ajaran Islam.
Umat Islam mesti sedar bahawa mereka dituntut supaya kasih mengasihi sesama manusia, serta saling hormat menghormati dan bertolak ansur dalam kehidupan seharian. Janganlah membiarkan diri kita menjadi punca kepada penderitaan orang lain, lebih-lebih lagi jangan sekali-kali menjadi sebab kemusnahan dan kesengsaraan diri sendiri, keluarga dan harta benda.