RUANG lingkup ibadah dalam Islam amat luas dan merangkumi setiap kegiatan kehidupan manusia. Setiap aktiviti yang dilakukan baik berkaitan dengan individu mahupun masyarakat ialah ibadat menurut Islam, selagi ia memenuhi syarat tertentu.
Syarat itu adalah:
* Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam, bersesuaian dan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Amalan yang diingkari oleh Islam dan ada hubungan dengan yang haram dan maksiat, tidak sesekali dianggap sebagai ibadat.
* Amalan itu dilakukan dengan niat baik bagi memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarganya, memberi manfaat kepada umat seluruhnya dan memakmurkan bumi seperti yang dianjurkan Allah.
* Amalan itu mestilah dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati apa yang ditetapkan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan al- Baihaqi, bermaksud: “Bahawa Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.”
* Ketika membuat amalan itu hendaklah sentiasa menurut hukum syarak dan ketentuan batasnya, seperti tidak menzalimi orang lain, khianat, menipu dan menindas atau merampas hak orang.
* Tidak mencuaikan ibadat khusus seperti solat, zakat dan puasa dalam melaksanakan ibadah umum lain. Ini seperti yang diperingatkan Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah, barang siapa berbuat demikian, maka mereka sebenarnya orang yang rugi.” (Surah al- Munafiqun, ayat 9)
Oleh itu, apabila seorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat itu dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan kehidupannya, maka dia akan dikira sentiasa beribadat kepada Allah meskipun tidak duduk dalam masjid ketika melakukan kerja itu.
Secara umum, budaya kerja membicarakan aliran pemikiran, perasaan dan cara sesebuah masyarakat menjalankan kerja.
Budaya kerja yang menepati falsafah dan nilai etika Islam akan melahirkan ciri berikut dalam susunan dan pelaksanaan tugas sesebuah masyarakat.
Pertama, oleh sebab pekerjaan dianggap sebagai satu tuntutan keagamaan dan ibadat, maka organisasi dan pekerja Muslim sewajarnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti prestasi pekerjaannya.
Kualiti prestasi pekerjaan adalah nilai positif yang sentiasa boleh dimajukan. Ia adalah usaha berterusan untuk semua lapisan masyarakat Islam.
Budaya kerja Islam membina kekuatan melalui mekanisme dalaman (built-in- mechanism) iaitu menjadikan usaha dan menjalankan pekerjaan sebagai satu tuntutan keagamaan. Dengan ini jelaslah bahawa keimanan dan prestasi pekerjaan mempunyai hubungan rapat.
Bagi seseorang pekerja Muslim yang ingin menghayati Islam, dia seharusnya turut berusaha meningkatkan prestasi kerjaya dari semasa ke semasa. Mekanisme dalaman ini sepatutnya menjadi dorongan dan motivasi bagi setiap pekerja Muslim.
Bagaimanapun, menurut realiti semasa, pekerja Muslim tidak memahami Islam secara menyeluruh dan melihat amalan bekerja sebagai sesuatu yang terpisah daripada agama.
Kedua, menepati semangat tauhid yang menganjurkan supaya faktor dalam diri manusia disatukan. Ini bererti, setiap pekerja Muslim perlu menjaga dan mempertingkatkan akhlak dirinya dalam menjalankan amanah pekerjaannya.
Peningkatan prestasi kerja seharusnya disusuli oleh peningkatan akhlak pekerja. Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang bersifat positif dan dinamik.
Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak yang positif kepada kemajuan pekerjaan daripada semua dimensi. Oleh itu, Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersifat kreatif dan proaktif. Tanpa akhlak yang mulia dan budi pekerti tinggi, prestasi kerja akan menurun.
� Ketiga, budaya kerja Islam memberikan penekanan yang tinggi terhadap disiplin. Melalui penghayatan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji, umat Islam sepatutnya memiliki disiplin tinggi.
Masyarakat tanpa amalan disiplin yang tinggi pasti akan menghadapi krisis kemanusiaan. Sebagai contoh, Islam memberikan perhatian khusus terhadap pengurusan kuasa, masa dan sumber.
Islam mengutuk dengan sekeras-kerasnya golongan yang tidak menggunakan kuasa (authority) dengan efektif dan tidak menghormati masa (seperti yang disebut dalam surah al-‘Asr). Begitu juga dengan penggunaan sumber alam lain. Allah menyamakan amalan mereka yang membazir dengan amalan syaitan.
Keempat, budaya kerja Islam menepati semangat tauhid yang menganjurkan kesatuan dalam matlamat dan penghayatan syura dalam masyarakat.
Sehubungan itu, Islam menganjurkan budaya kerja secara bermuafakat dan berpasukan. Hakikatnya, keberkesanan dalam menjalani pekerjaan akan tercapai melalui semangat bekerja secara bermuafakat dan berpasukan.
Kesimpulannya, boleh katakan budaya kerja dalam Islam mempunyai kaitan yang rapat dengan semangat pengabdian manusia yang sepenuhnya kepada Pencipta iaitu Allah.
Asasnya ialah tauhid dan pendekatan ini sesuai dengan nilai kemanusiaan. Islam berkeyakinan bahawa semua urusan manusia, termasuk menjalankan tugas atau pekerjaan akan membawa hasil cemerlang dan berkekalan jika menepati nilai kemanusiaan.
Justeru, penghayatan nilai tauhid menepati nilai kemanusiaan.
Fitrah kemanusiaan ialah nilai yang berkekalan, selagi manusia tetap manusia. Jika perlu, penyusunan dan teknik menjalankan sesuatu pekerjaan yang dinamik dan bersesuaian dengan perubahan masa serta tempat perlu dipelajari daripada bangsa yang maju dan diubah suai menurut kaedah tempatan.
Penghayatan nilai murni dan etika kerja dalam perkhidmatan atau pekerjaan adalah pendekatan dinamik dan akan terus relevan dengan usaha manusia.