Baru-baru ini, ketika dipaparkan tentang masalah lif rosak di kalangan penghuni sebuah flat di Sentul, kita telah dapat melihat betapa sukarnya kehidupan sebahagian dari ahli masyarakat kita yang mendiami kediaman bertingkat tinggi bila lif yang merupakan kemudahan asas di kawasan itu tidak lagi ‘memudahkan’ kehidupan mereka.
Hakikatnya, penghuni flat Sentul itu bukanlah satu-satunya kelompok yang berhadapan dengan masalah ini. Ramai lagi penghuni kediaman bertingkat tinggi lain, yang turut mengalami nasib yang sama.
Dalam hal penyediaan dan penyelenggaraan lif di kediaman seperti ini, ia tertelak di tangan pemaju melalui pejabat penyelenggaraan yang mereka pilih. Namun, bila ditanya kepada pihak ini mengapa lif yang rosak itu tidak dibaiki, jawapannya ialah kerana penghuni tidak membayar wang selenggaraan. Akibatnya, pihak penyelenggara tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membaiki lif yang rosak, mahupun untuk membuat selenggaraan yang berjadual. Oleh kerana itulah, masalah lif rosak kerap berlaku di kediaman seperti ini.
Bila ditanya kepada penghuni mengapa mereka tidak membayar yuran selenggaraan, jawabannya ialah kerana tidak berpuas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan.
Begitulah keadaannya. Pemberi perkhidmatan menyalahkan penghuni, penghuni pula menyalahkan pemberi perkhidmatan. Sedangkan kedua-duanya bersalah dalam hal ini.
Memang ada sebahagian penghuni yang tidak membayar yuran selenggaraan ini. Agak sukar untuk memahami ketidakpatuhan mereka sedangkan perkara ini telah termaktub dalam dokumen perjanjian jualbeli. Namun, penulis percaya, masih ramai penghuni yang membayar yuran itu. Maka, adalah tidak adil apabila semua penghuni terhukum akibat ketidakpatuhan sebahagian penghuni yang lain.
Di masa yang sama, pihak pemberi perkhidmatan juga bersalah. Jika isunya ialah ketiadaan dana akibat penghuni tidak membayar yuran selenggaraan, ada tindakan yang boleh diambil. Pemberi perkhidmatan boleh memotong bekalan air ke rumah-rumah tersebut. Malangnya, tindakan ini amat jarang diambil. Jika ada sekalipun, ia hanya tinggal sebagai satu amaran yang tidak menakutkan sesiapa.
Kepada penghuni yang degil, pemotongan bekalan air bukanlah sesuatu yang menakutkan. Mereka boleh sahaja mengambil air dari jiran-jiran yang bersimpati. Malah, mereka boleh sahaja mandi di kolam mandi yang disediakan. Maka, tidakkah boleh difikirkan tindakan lain yang lebih menggerunkan? Menyita rumah, misalnya?
Namun, andai sahaja kedua belah pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing, kediaman bertingkat tinggi ini akan menjadi ‘syurga’ kepada para penghuninya.
Penulis juga merupakan penghuni kediaman bertingkat tinggi di Kuala Lumpur. Kediaman ini dipilih kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan pejabat. Jarak perjalanan penulis pergi dan balik dari kerja hanyalah 9 km sahaja. Masa perjalanan juga amat singkat – lima minit di masa-masa biasa, lebih kurang 15 minit, ketika waktu puncak. Di waktu harga minyak naik, penulis tidaklah begitu terkesan olehnya. Dari segi itu, pemilihan rumah ini adalah baik bagi penulis.
Namun, sejak dua bulan yang lalu, lif di blok yang dihuni penulis telah menimbulkan masalah kepada semua. Semakin hari, masa menunggu lif semakin meningkat. Terkini, masa untuk menunggu lif menjadi 20 minit, itupun bukan pada waktu puncak.
Pada pagi makalah ini ditulis, semua lif di blok yang penulis diami ini rosak. Penulis terpaksa turun tangga (24 tingkat) untuk ke pejabat. Anak penulis yang mudah diserang lelah telah penulis beri ‘cuti’ dari bersekolah. Nasib baik musim persekolahan sudah sampai ke penghujungnya. Penulis tidak dapat membayangkan perasaan mereka yang anaknya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dalam sehari dua ini.
Jika masalah lif di kediaman penulis ini berterusan, penulis boleh sahaja berpindah ke Rawang – ke rumah ‘bertanah’ yang telah dibeli beberapa tahun lalu. Ini bermaksud penulis perlu membuat peruntukan tambahan untuk duit minyak dan tol bagi perjalanan pergi dan balik ke pejabat. Ia juga bermakna penulis perlu keluar rumah satu jam lebih awal dari apa yang penulis biasa lakukan.
Sekalipun itu berlaku, penulis patut bersyukur kerana penulis ada pilihan. Bagaimana dengan ribuan keluarga lain yang tiada pilihan? Bermutukah kehidupan penghuni bandar jika begini keadaannya? Sebahagian dari mereka adalah bekas penghuni setinggan yang ditempatkan ke kediaman jenis ini. Inikah kehidupan bermutu yang dimaksudkan ketika pihak berwajib memutuskan untuk memindahkan mereka dari kawasan setinggan dahulu?
Kediaman bertingkat tinggi adalah satu ciri kekal dalam kehidupan masyarakat di bandar-bandar besar. Di masa-masa yang akan datang, lebih ramai orang yang akan menghuni kediaman jenis ini. Malah, ia mungkin menjadi satu-satunya pilihan kediaman yang ada. Maka, pihak pemerintah perlu memikirkan cara untuk menjadikan kehidupan di kediaman jenis ini satu pengalaman yang memberi keselesaan kepada para penghuninya. Sekiranya tiada peruntukan undang-undang mengenai hal ini, ianya hendaklah dibuat segera. Ini bukan hanya kerana ia melibatkan begitu ramai ahli masyarakat kita, tetapi juga kerana ia melibatkan tempat tinggal – satu keperluan asasi manusia.