Sejak dari dulu lagi sehinggalah ke hari ini kita telah banyak membicarakan tentang cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju dengan acuan kita sendiri. Semua orang bercakap tentang hal ini bermula dari Perdana Menteri hinggalah kepada kaki-kaki lepak di kedai-kedai kopi. Selain dari mendapat galakkan dan garis panduan daripada mereka yang memimpin negara ini, kita juga dirangsang oleh ramalan-ramalan ‘optimistik” tentang rantau Asia Tenggara yang akan menjadi pusat perkembangan ekonomi dunia. Seperti yang pernah ditulis oleh Steven Schlosstein dalam bukunya Asia’s New Little Dragon : The Dynamic Emergence of Indonesia, Thailand and Malaysia, beliau mengandaikan beberapa buah negara di Asia ini termasuk Malaysia akan muncul sebagai gergasi-gergasi ekonomi yang hebat..
Namun apabila berbicara tentang kemajuan dan kemakmuran masa depan itu, sebenarnya kita berbicara tentang siapa? Tentang nasib dan masa depan siapa? Maka pastinya yang dibincangkan itu ialah umat Melayu di negara ini. Memang kita tidak dapat menyembunyikan rasa cemas terhadap kemampuan umat Melayu di negara ini untuk menghadapi persaingan masyarakat dunia yang begitu tinggi persaingannya masa kini. Mungkin dari rasa cemas itulah juga suatu ketika dahulu muncul pandangan bagaimana untuk membina apa yang dinamakan sebagai ‘Melayu Baru’, iaitu satu warisan Melayu yang memiliki segala intipati yang diperlukan untuk tampil ke hadapan sebagai umat yang maju.
Soalnya sekarang ialah apa yang harus ada pada Melayu Baru itu? Apakah ini juga bererti akan berulang lagi zaman ‘Polemik Kebudayaan,’ iaitu satu zaman di mana kita masih mencari-cari asas pembinaan tamaddun kita sendiri. Sehinggakan generasi awal abad ini terpaksa membuat pilihan sama ada untuk kembali kepada asal budaya sendiri, iaitu tamaddun Islam yang ketika itu kelihatan agak suram kerana kejahilan dan ditindas dari setiap sudut, ataupun mengambil bulat-bulat tamadun Barat yang tampak gah dan sedang berada di puncak kehebatannya ketika itu.
Tetapi bagi generasi Melayu baru ini, masih banyak perkara baru yang perlu dipelajari, terutamanya sejarah. Kerana sejarah telah mengajar kita bahawa memutuskan diri dari akar budaya sendiri dan menerima budaya asing secara mutlak tidak dapat menjadikan sesuatu bangsa itu maju atau kuat. Lihat saja kepada ‘Turki Moden’ sebagai satu contoh kegagalan suatu bangsa untuk maju, kuat dan makmur dengan memutuskan dirinya dari agama dan akar budaya tradisinya lalu memilih jalan sekularisasi dan pembaratan. Hasilnya tidak mendatangkan apa-apa melainkan Turki itu sendiri sukar untuk diterima oleh kalangan negara-negara Islam yang lain dan malah ia juga tersisih dari negara-negara Barat. Berbeza pula dengan Jepun yang telah berjaya muncul sebagai raksasa industri tanpa mencabut dirinya dari akar budaya tradisi sendiri. Memang dalam hal-hal tertentu Jepun menerima pengaruh Barat tetapi ia memperoleh kekuatan asasnya dari warisan budaya tradisinya sendiri. Begitu jugalah halnya dengan Taiwan.
Maka dengan itu Melayu Baru yang dimaksudkan itu seharusnya difahami sebagai Melayu yang dikembalikan kepada akar budaya tradisinya. Dengan kata lain Melayu Baru ialah Melayu yang diperbaharui faham agamanya. Sejarah juga telah mengajar kita bahawa Melayu Baru pernah muncul buat kali pertama dalam sejarah setelah umat ini menjalani arus pengIslaman abad-abad terdahulu. Bermula dari saat itu Melayu Baru ini telah melalui suatu arus perubahan manusiawi yang memberikan jiwa dan citarasa baru kepada umat Melayu. Iaitu suatu perubahan budaya yang memberikan mereka nilai-nilai segar dan cemerlang yang terpancar dari ajaran agama Islam, dan juga satu perubahan pemikiran yang mengakhiri zaman budaya tahayul dan kurafat ketika itu. Malah Melayu Baru ini juga berupaya untuk memulakan tamadun ilmu dan membawa satu perubahan di rantau ini.
Dengan azam dan nafas baru ini, Melayu Baru ini pandai membawa diri dan tahu arah tuju yang perlu dibawa dalam kehidupan ini. Ini adalah kerana mereka diasuh dengan jiwa tawhid yang dengannya mereka menjadi umat Islam yang sujud, ruku’ dan taat setia mutlaknya hanya kepada Allah. Dan Melayu inilah juga yang telah mendapatkan semula kemuliaan darjat dan martabat keinsanannya, sehingga Melayu itu sendiri berasa bangga menjadi umat terbaik (khayra ummah) kerana kekentalan imannya.
Inilah golongan Melayu yang tahu erti hidup dan mati sebagai persaingan terhadap kecemerlangan amal (ayyukum ahsanu amala). Iaitu golongan Melayu pejuang yang dengan semangat jihadnya sanggup menghadapi segala cabaran, dan dengan semangat mujahadahnya pula ia memperolehi kekuatan rohaniah untuk menghidupkan yang makruf dan memerangi kemungkaran.
Begitulah antara ciri-ciri dan watak yang dibawa oleh Melayu Baru yang telah melalui arus perubahan Islamisasi itu. Namun begitu, keunggulan watak Melayu ini turut terhakis setelah masa berlalu kerana selalu terdedah kepada pelbagai hakisan pengaruh budaya. Hinggalah ke saat ini arus penghakisan Islam dari jiwa dan cara hidup Melayu ini terus berlaku sehingga kadang-kala berasa hairan dan tercabar apabila terlihat Melayu yang sudah sangat terhakis keIslamannya.
Proses penghakisan ini semakin lama semakin membarah sehingga tidak ada lagi dari kalanggan Melayu ini yang terselamat melainkan yang benar-benar kukuh genggaman KeIslamannya. Kini hampir semua peringkat masyarakat Melayu sudah hampir terhakis keIslamannya. Namakan saja apa maksiat, jenayah dan salah laku yang tidak dibuat oleh masyarakat Melayu, malah merekalah yang berada pada senarai paling atas dalam setiap catatan keburukan ini.
Maka dengan itu dari waktu ke waktu harus ada usaha menggilap semula ciri-ciri keperibadian dan jatidiri Muslim yang sudah mulai luntur dari bangsa Melayu ini. Selagi umat Melayu masih menjadi sebahagian dari umat Islam sejagat, mereka pasti ikut terlibat dalam arus menemukan semula jatidiri sebenar keIslaman mereka. Usaha membina semula umat Melayu Baru seharusnya diasaskan kepada nilai-nilai at-tajdid al-Islami; dan sehubungan dengan itu gerakan-gerakan Islami tanahair yang rata-rata mendakwa bercirikan tajdid itu seharusnya dapat menyumbang ke arah pembaharuan umat dan budaya Melayu dalam erti mengembalikannya kepada kesegaran nilai-nilai Islam yang murni dan faham-faham yang benar.
Jika diteliti secara halus memang hubungan bangsa Melayu dengan agama Islam telah begitu sebati. Oleh itu seharusnyalah ajaran agama Islam yang menjadi teras keperibadian Melayu, menjadi dasar ru’yat Melayu dan seterusnya membentuk perilaku dan citarasa Melayu. Dengan menyedari hakikat ini juga maka usaha untuk membina generasi Melayu Baru tidak mungkin dapat dilakukan dengan berpandukan acuan Barat maupun Timur. Kita tidak mahu kemusnahan kemanusiaan yang telah berlaku pada kedua-dua acuan ini berulang di tanahair kita. Cukuplah apa yang telah berlaku di sana sebagai renungan dan peringatan untuk kita semua.
Tetapi pada masa yang sama bukan bererti kita menolak langsung pembangunan yang baik yang boleh dipelajari dari mereka. Ini adalah kerana agenda pembangunan Melayu Baru sekiranya mengikut panduan dan faham yang benar, adalah agenda yang sangat berakhlak dan tinggi tata susilanya kerana ianya terbentuk dalam acuan dan kerangka pandangan hidup beragama. Malah watak dan ciri Melayu Baru itu sendiri dibentuk daripada keluhuran akhlak Islami dan sikap baik terhadap kehidupan duniawi.
Apabila usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dapat dijayakan dengan penyertaan umat Melayu Baru yang memahami dan mengamal fahaman agama yang secukupnya ini bererti lahirnya suatu yang baru, iaitu terbentuknya sebuah masyarakat Muslim yang moden dan maju dalam sejarah tanahair. Walaupun begitu, ini masih lagi suatu cabaran yang cukup besar dan sekaligus usaha ke arah itu juga satu yang sangat mencabar. Namun berbekalkan semangat dan dorongan dari agama itu sendiri yang menjanjikan baldatun tayyibbah wa rabun ghafur (negara berkebajikan dalam limpah pengampunan Tuhan), maka ianya bukanlah suatu angan-angan kosong.