Pembangunan tanpa menjejaskan alam sekitar merupakan satu bentuk pembangunan yang ingin dicapai mana-mana negara di dunia ini. Namun, bercakap lebih mudah daripada melakukannya. Hingga kini pembangunan sering mendapat keutamaan dan alam sekitar terus-terusan menjadi mangsa pembangunan.
Begitu ramai pengkaji yang menyetujui bahawa pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar sukar bergerak seiringan. Jika begitu, pembangunan tanpa menjejaskan alam sekitar tentu amat sukar dicapai. Pembangunan tanpa menjejaskan alam sekitar atau lebih dikenali dengan pembangunan mapan adalah pembangunan yang memenuhi keperluan penduduk dunia kini tanpa menjejaskan kemampuan penduduk dunia akan datang untuk memenuhi keperluan mereka pula. Dengan kata lain, pembangunan kini hendaklah tidak menjejaskan alam sekitar agar kita dan keturunan kita nanti akan dapat terus menikmati alam ini.
Usaha mencapai pembangunan mapan disambut baik pelbagai negara. Negara maju mendahului usaha tersebut. Ini kerana keadaan di negara maju seperti ketersediaadaan undang-undang, teknologi, kepakaran dan penerimaan masyarakat sudah sedia menyokong pembangunan mapan itu. Negara-negara membangun dan mundur agak lewat dalam hal ini. Namun ini tidak bermakna usaha mencapai pembangunan mapan diabaikan.
Malaysia sendiri merupakan antara negara membangun yang terkehadapan dalam hal ini. Malah sebelum pengenalan konsep pembangunan mapan, Malaysia telah mempunyai usaha-usaha untuk memelihara alam sekitarnya sendiri misalnya melalui undang-undang, kempen, pengurusan hutan dan sebagainya.
Mungkin kerana usaha berterusan itu, Malaysia mencapai kedudukan kemapanan alam sekitar yang agak baik. Jika dikaitkan dilihat Indeks Kemapanan Alam Sekitar (Environmental Sustainability Index) pada tahun 2002, dari 142 buah negara yang dikaji, Malaysia berjaya menduduki tangga ke-68. Kedudukan ini jauh meninggalkan negara Jepun dan United Kingdom yang masing-masing diletakkan pada tangga ke-78 dan 91. Manakala, pada tahun 2005 pula, Malaysia memperbaiki kedudukannya pada tangga ke-38 daripada 146 negara. Sekali lagi Malaysia meninggalkan jauh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (45) dan United Kingdom (65).
Untuk pengetahuan semua, indeks ini dikeluarkan hasil dari kerjasama World Economic Forum’s Global Leaders for Tomorrow Environment Task Force, The Yale Center for Environmental Law and Policy dan Columbia University Center for International Earth Science Information Network (CIESIN). Indeks ini mengukur pencapaian keseluruhan kemapanan alam sekitar sesebuah negara. Di bawah indeks ini, 20 petunjuk utama telah dikaji. Antara petunjuk-petunjuk tersebut adalah kualiti air, pencemaran udara, keselamatan reaktor nuklear dan pengeluaran gas rumah hijau.
Kedudukan Malaysia dalam indeks yang ditunjukkan tadi agak mengejutkan. Siapa sangka negara sekecil Malaysia boleh mengatasi negara-negara maju yang lain. Malah, di antara negara-negara dalam ASEAN, Malaysia menduduki tempat teratas dalam indeks tersebut.
Kedudukan Malaysia yang begitu baik ini agak bertentangan dengan keadaan alam sekitar negara yang kita fahami. Pembongkaran pelbagai masalah alam sekitar yang seperti pencemaran sungai, penebangan hutan secara haram, masalah pembuangan sisa, pencemaran udara dan pelbagai lagi sejak akhir-akhir ini menimbulkan pandangan bahawa keadaan alam sekitar negara begitu teruk sekali.
Jadi, mana satukah yang harus kita terima? Pada pandangan penulis, masalah alam sekitar memang berlaku di Malaysia. Ini adalah hasil daripada pembangunan yang hendak kita capai. Namun, nasalah itu mungkin masih boleh dikawal. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia sebenarnya amat bertuah kerana dapat mempelajari daripada apa yang telah berlaku di negara maju. Misalnya, kita boleh membangun sebagaimana negara maju dan dalam masa yang sama mengelak daripada mengalami masalah alam sekitar yang telah berlaku di negara itu. Dalam masa yang sama, pelbagai teknologi pengurusan alam sekitar yang telah dibangunkan di negara-negara maju itu boleh juga digunakan untuk mengatasi masalah alam sekitar negara. Bagaimanapun, perlulah diingat bahawa jalan penyelesaian dan teknologi yang digunakan itu tidak semestinya sesuai untuk Malaysia. Ini kerana adanya perbezaan sumber dan budaya antara pelbagai negara.
Oleh itu, perlu ada pengubahsuaian jika jalan penyelesaian dan teknologi itu hendak digunakan di negara ini. Bukan itu sahaja, kita tidak boleh bergantung kepada satu bentuk jalan penyelesaian sahaja tetapi kita juga memerlukan beberapa rancangan lain bagi menyokong pembangunan yang sedang dijalankan. Dalam pada itu, pembangunan yang dijalankan akan menjejaskan persekitaran hidup orang awam. Oleh itu, penyertaan mereka, dalam bentuk memberi pandangan, aduan, cadangan dan sebagainya, tidak boleh dinafikan jika kita benar-benar ingin mencapai pembangunan dengan persekitaran yang baik.
Pada pandangan hidup Islam, pembangunan tanpa menjejaskan alam sekitar sebenarnya bukan sesuatu yang asing. Konsep ummah dalam Islam secara tidak langsung menunjukkan kepada kita bahawa penggunaan satu-satu sumber itu hendaklah mengambilkira keperluan kita dan keperluan umat Islam yang lain. Malahan, dalam banyak keadaan keperluan ummah adalah lebih diutamakan berbanding keperluan seorang Muslim itu. Manakala, seorang Muslim yang hanya mementingkan diri sendiri adalah terkeluar dalam lingkungan ummah Islam. Tidakkah penjelasan ini mempunyai persamaan dengan konsep pembangunan mapan yang dijelaskan di atas?
Dengan itu amatlah penting kita memahami isu-isu pembangunan negara dan alam sekitar terutamannya dari sudut pandangan hidup Islam. Untuk meningkatkan kefahaman tentang perkara ini, IKIM akan menganjurkan Seminar “Pembangunan Tanpa Menjejaskan Alam Sekitar: Satu Pandangan Islam” pada 19-20 September ini. Seminar ini akan melihat bentuk pembangunan negara dan bagaimana ini memberi kesan kepada alam sekitar di samping menggariskan kaedah pemuliharaan alam sekitar yang terbaik. Dalam masa yang sama seminar ini juga akan menjelaskan pandangan hidup Islam berkaitan pembangunan dan pemeliharaan sumber alam negara. Semoga penganjuran seminar ini dapat membantu memberi kefahaman berkait pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar di Malaysia.