Profesor Undang-undang Perlembagaan, UIAM, Dr. Abdul Azizi Bari, dalam wawancaranya bersama-sama wartawan Berita Minggu (9 April 2006) menyatakan bahawa…kebanyakan peruntukan dalam Kanun Keseksaan ialah nilai moral yang dibentuk, dimasukkan atau membentuk peruntukan undang-undang. Undang-undang Jenayah sebenarnya adalah undang-undang moral.
Saya merujuk pendapat beliau ini kerana beliau adalah seorang pakar Undang-undang Sivil. Kenyataan beliau tentunya sebagai suatu pernyataan tentang arah tuju Undang-undang Sivil itu dibentuk yang beliau ungkapkan sebagai undang-undang moral.
Dalam Undang-undang Jenayah Islam, faktor moral amat dititik beratkan selain ianya sebagai salah satu strategi asas dalam falsafah perundangan itu sendiri. Justeru, kita dapati para ulama’ ketika mengulas psikologi penjenayah, mereka membahagikan manusia secara umumnya kepada tiga kelompok; kelompok yang mudah menerima apa-apa sahaja suruhan dan tegahan, kelompok yang hanya akan menerima apa-apa suruhan atau tegahan jika mereka berpuas hati dengan hujah-hujah yang diberikan dan kelompok ketiga ialah mereka yang enggan menerima sebarang suruhan dan juga tegahan atas apa jua bentuk alasan atau hujah yang dikemukakan. Mereka ini merupakan kumpulan yang inginkan kebebasan daripada segala bentuk ikatan sama ada agama, akhlak atau adat masyarakatnya sendiri. Dengan itu jelas, masalah perundangan dan perlaksanaannya tidak akan berbangkit sama sekali dengan kelompok pertama, tetapi masalah ini akan berbangkit dengan kelompok kedua dan ketiga.
Dalam pengajaran Islam, manusia itu diasuh dan dibentuk menerusi pendidikan. Buruk baiknya seseorang amat bergantung rapat dengan sejauhmana kesan pendidikan yang diterimanya sama ada daripada ibubapa atau persekitarannya, pendidikan forman dan tidak formal. Perjuangan baginda Rasulullah s.a.w. ketika di Makkah adalah sesi pendidikan terpenting bagi membentuk manusia yang beriman dan bertaqwa. Justeru ayat-ayat Makki tidak menyentuh hal-hal perundangan kecuali perkara berkaitan dengan solat sahaja. Penumpuannya hanya kepada persoalan akidah dan akhlak kerana apabila manusia menghiasi hidupnya dengan akidah yang benar dan akhlak yang tinggi, mereka sudah bertukar menjadi insan-insan yang cintakan kebaikan dan bencikan keburukan dan kejahatan. Mereka mempunyai semangat integriti yang tinggi. Inilah yang diinginkan negara dalam membina tamadun baru berlandaskan gagasan Islam Hadari.
Kegagalan proses pendidikan dalam membentuk sikap manusia menyebabkan mereka memerlukan peruntukan undang-undang dan perlaksanaannya secara berkesan dalam membaikpulih (islah dan tahdhib) mereka sesudah itu. Tanpa undang-undang masyarakat tidak akan aman dari cerobohan mereka-mereka yang enggan patuh kepada ikatan peraturan.
Jika dilihat kepada matlamat perlaksanaan Undang-undang Jenayah Islam, ada empat perkara utama yang disasarkan:
- Pertama: mengawal matlamat syariat yang lima, iaitu agama, nyawa, akal, hartabenda dan maruah diri.
- Kedua: melakukan pembaikan (islah) dan pemulihan (tahdhib) pada diri pesalah itu sendiri, dalam erti mendidik pesalah secara umumnya agar menjadi insan yang soleh.
- Ketiga: menegakkan keadilan dengan mengenakan pembalasan ke atas pesalah sesuai dengan kesalahan yang dilakukannya.
- Keempat: memberi peluang kepada mangsa atau ahli warisnya mendapatkan hak masing-masing dalam pampasan bagi kes-kes pembunuhan dan kecederaan diri.
Justeru, masalah moral adalah di antara perkara utama dalam perlaksanaan Undang-undang Jenayah Islam selain daripada pampasan dan lain-lainnya.
Perang psikologi dapat dilihat apabila perlaksaannya di syaratkan dalam bentuk terbuka, sama ada dalam kesalahan membunuh, mencuri, merompak, melakukan zina, murtad, minum arak atau murtad. Sekalipun perlaksanaan sebegini dianggap oleh sebahagian orang sebagai tindakan diluar peri kemanusiaan, tetapi mereka lupa bahawa manusia itu tidak akan gentar terhadap apa sahaja hukuman atau pembalasan apabila ia dilaksanakan di dalam sebuah bilik yang hanya disaksikan oleh empat dinding sahaja. Lihat sahaja keselamatan toko-toko penggurup wang di kota-kota Makkah dan Madinah yang membiarkan wang ringgit bergantungan semasa mereka menunaikan solat sama ada di Masjid al-Haram atau di Masjid al-Nabawi. Lihat sahaja jumlah kesalahan berat yang berlaku di negara berkenaan jika dibandingkan dengan negara-negara lain? Tidakkah ini tanda-tanda kejayaan kepada perang sarap yang dilancarkan menerusi perlaksanaan secara terbuka Undang-undang Jenayah Islam ?
Renungilah maksud ayat, surah al-Ma’idah (5:50) yang menyebut bahawa tidak ada siapapun yang lebih baik daripada Allah dalam menjatuhkan hukuman bagi mereka berkeyakinan kepadaNya.