Sudah tiba masanya kaum Muslimin di Malaysia dan dunia memberikan perhatian dalam merangka suatu agenda dalam melahirkan barisan pemimpin peneraju terpuji untuk masa depan negara. Di samping turut mengemudi negara ke arah yang bermakna serta memainkan peranan yang lebih penting di persada antarabangsa.
Dilihat dari sudut sejarah dunia dan tamadun-tamadun besar, seorang pemimpin seharusnya terdiri dalam kalangan individu yang terulung dari segi mutu pemikiran dan budi pekertinya—berbeza dengan kecenderungan semasa yang menonjolkan pemimpin berdasarkan populariti atau pengaruh kewangannya.
Selain itu, seseorang pemimpin juga perlu memahami tanggungjawab moral dari sudut ketamadunan dan bukan semata-mata dari sudut faham pembangunan ekonomi yang sempit.
Oleh yang demikian, untuk menjadi seorang pemimpin dari perspektif sedemikian adalah suatu amanah suci yakni perlu memikul tanggungjawab untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh manusia, dan perlu membela keadilan serta menentang kezaliman dengan mencontohi para Nabi (al-‘anbiyā’), yang merupakan model pemimpin terbaik dalam sejarah umat manusia.
Sehubungan dengan itu, seseorang pemimpin mesti layak menerima amanah suci itu. Untuk layak menerima amanah tersebut menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya, On Justice and the Nature of Man (2015) menyatakan bahawa seseorang itu mesti mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan betul tentang Islam sebagai agama dan tamadun, mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang hakikat fitrah manusia dan tentang kualiti positif dan negatif yang wujud dalam dirinya melalui amalan muhasabah yang berterusan untuk mengelakkan kezaliman terhadap dirinya dan orang lain.
Justeru, prinsip hikmah yang paling penting untuk membolehkan kemunculan pemimpin yang hebat dalam masyarakat kita adalah dengan mengembalikan amanah kepada yang berhak dalam membimbing dan mendidik pemimpin masa depan kepada mereka yang paling layak menerima amanah tersebut.
Bagi kaum Muslimin, ini merupakan perintah Allah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran: “Allah menitahkan kamu memulangkan amanah kepada yang berhak menerimanya…” (Surah al-Nisa, 4:58).
Selaras dengan Perintah Ilahi ini, sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa pemimpin-pemimpin Muslim silam yang bertanggungjawab telah berusaha untuk memberikan peranan istimewa kepada guru dan ulama terbaik dalam masyarakat untuk memupuk dan melahirkan generasi pemimpin seterusnya, atau sekurang-kurangnya untuk meluaskan kumpulan bakat (talent pool) yang cenderung kepada sifat-sifat yang terpuji, iaitu bertimbang rasa, berani, bijaksana, dan adil.
Salah satu contoh unggul usaha sedemikian dalam sejarah tamadun Islam ialah Maktab Enderun Empayar Uthmaniyyah di Istanbul yang beroperasi selama 500 tahun di Istana Topkapi di Istanbul. Apabila maktab ini beroperasi, dilaporkan Sultan Empayar Uthmaniyyah sendiri meninjau kemajuan pendidikan sekumpulan individu terpilih yang bakal menerajui pemimpin dalam bidang ilmiah, pentadbiran, dan ketenteraan.
Menurut seorang saksi, iaitu Ogier Ghiselin de Busbecq, duta Austria di Empayar Uthmaniah pada abad ke-16: “Dalam membuat sebarang pelantikan, Sultan tidak menghiraukan kekayaan atau status keluarga seseorang, dan juga tidak mengambil kira cadangan atau populariti; dia melihat setiap individu mengikut meritnya sendiri, dan meneliti setiap watak, keupayaan, dan peribadi individu. Ia adalah dengan merit atau sifat-sifat terpuji seseorang individu dilantik atau dinaikkan pangkat. Ia adalah suatu sistem yang memastikan bahawa jawatan harus diberikan hanya kepada yang layak.”
Antara guru hebat di Maktab Enderun ini ialah lulusan maktab itu sendiri, iaitu Matrakçı Nasuh (m. 1564). Ketokohan Matrakci Nasuh menarik perhatian Sultan Suleyman Kanuni (m. 1566) sendiri yang memuji beliau sebagai kesatria unggul, seorang “raʾīs” (pemimpin) zamannya.
Pendekatan yang berpandukan penerapan adab (ta’dib) di Maktab Enderun ini membolehkan Matrakci Nasuh sendiri menjadi seorang yang mahir dalam beberapa bidang—beliau diiktiraf sebagai seorang guru, seniman, ahli sejarah, ahli matematik, ahli geografi, pelayar, pencipta, askar dan ahli pedang yang mahir.
Walaupun Maktab Enderun termasuk pengajaran dalam ilmu-ilmu agama, kemanusiaan, seni, matematik, dan aktiviti fizikal, namun tumpuan utamanya adalah pada penerapan adab yang menjadi tunjang kepada segala ajaran, sikap dan amalan yang membimbing semua aspek kehidupan para pendidik dan pelajar.
Lazimnya, pada akhir pendidikan Enderun, para graduan akan dapat berbicara, membaca, dan menulis sekurang-kurangnya tiga bahasa, iaitu Turki, Arab, dan Parsi. Mereka juga berupaya untuk memahami perkara-perkara ilmiah, mempunyai kemahiran seni, dan cemerlang dalam seni ketenteraan serta mempunyai kemahiran pertempuran jarak dekat.
Yang terbaik antara mereka ialah pejuang-negarawan dan orang Islam yang setia, orang yang beradab dengan tutur kata dan fasih serta berakhlak tinggi.
Malaysia adalah antara tempat yang terbaik untuk mewujudkan usaha seperti Maktab Enderun ini dengan adanya Majlis Raja-Raja Melayu, para pendidik dan pemikir yang bijaksana, serta golongan profesional pelbagai bidang yang berupaya untuk membina dan mengurus Maktab yang agung ini.
Matlamat utama bagi inisiatif sedemikian jika dapat ditubuhkan di Malaysia atau di mana-mana negara Muslim adalah untuk menundukkan golongan pelampau dan zalim dalam pelbagai bidang secara bijaksana, dan mengembalikan keadilan dalam masyarakat.
Bagi masyarakat berbilang budaya seperti Malaysia, penanaman adab yang betul seperti yang ditunjukkan oleh pengalaman Maktab Enderun dan contoh-contoh lain dalam sejarah Islam semestinya akan membawa kepada individu yang mempunyai pandangan yang lebih kosmopolitan, iaitu seseorang itu sensitif terhadap kepelbagaian budaya, terbuka untuk mempelajari tentang pelbagai tamadun, dan berusaha untuk berlaku adil terhadap semua orang tanpa mengira budaya dan kepercayaan.
Dalam semangat ini, sekumpulan ahli akademik dan penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah mengambil langkah untuk menjalankan kajian tentang aspek-aspek kepimpinan terpuji dalam Islam, dengan penekanan terhadap pandangan hidup yang perlu difahami, unsur-unsur penting dalam kepimpinan, hakikat integriti dan pertimbangan strategik yang diperlukan untuk melahirkan pemimpin Muslim terpuji.
Projek penyelidikan sebegini yang menjurus kepada sesuatu kursus, atau beberapa siri kursus diharap menjadi pemangkin kepada program kepimpinan yang lebih menyeluruh seperti yang digambarkan oleh para bijaksana terdahulu dalam Tamadun Islam.