Drama ditafsirkan sebagai satu bentuk karya seni yang bersifat dramatik, iaitu seni yang menjadikan emosi sebagai penambat hati penonton. Hubungan drama atau karya seni yang disiarkan di skrin televisyen tentu sahaja amat akrab dengan masyarakat kerana sifatnya yang percuma dan mudah ditonton. Sehubungan itu, kecanggihan teknologi hari ini menjadikan karya-karya seni lebih mudah dapat dicapai dan tidak semata-mata boleh ditonton di skrin televisyen tetapi juga boleh ditonton melalui telefon bimbit, tablet atau gajet-gajet lain yang sesuai.
Selain karya seni mempunyai nilai komersial, karakter utamanya adalah untuk menghiburkan. Semakin ia berjaya meninggalkan bekas di hati penonton, bermakna semakin tinggi kejayaannya dalam memberi hiburan kepada masyarakat. Lantas, perbincangan tentang drama sebagai karya yang ditonton oleh masyarakat tidak pernah surut sama ada dibincangkan secara ilmiah ataupun secara santai iaitu dengan menggunakan forum-forum di media sosial. Ulasan penonton atau masyarakat tentu sahaja merujuk kepada kandungan atau watak yang dipersembahkan dalam karya kreatif tersebut. Ketika artikel ini ditulis, warga maya masih hangat memperkatakan tentang cerita dan juga watak-watak yang terdapat dalam drama bersiri bertajuk “7 Hari Mencintaiku 3 (7HM3).”
Menariknya, bukan hanya watak Dr. Khuzairi, Mia Adriana dan Nurul menjadi perhatian dan bahan perbahasan, bahkan bahagian tertentu cerita dan adegan-adegan yang melibatkan hukum-hakam juga turut dibangkitkan dan dibincangkan. Daripada 7HM3, terdapat ulasan dari perspektif syariah di media sosial tentang pernikahan antara seorang lelaki dengan wanita yang telah hamil tetapi bukan daripada benih lelaki yang akan menikahinya.
Turut dibincangkan juga tentang hukum-hakam terhadap Mak Leha yang memegang watak sebagai isteri Pak Samad dan ahli keluarga kalangan perempuan yang mengiringi jenazah Pak Samad ketika “arwah” hendak dikebumikan. Walaupun tidak dinafikan babak sedih itu kelihatan begitu signifikan bagi drama berkenaan dan ia amat menambat emosi penonton dalam menamatkan drama bersiri tersebut, tetapi ulasan yang mengetengahkan hukum-hakam menunjukkan masyarakat lebih mahukan pengisian yang lebih selari dengan aturan dan prinsip syariat. Hal ini menunjukkan dalam kedudukan drama mempunyai pengaruh yang kuat kepada golongan penonton, masyarakat juga meletakkan harapan agar drama-drama yang dipersembahkan kepada masyarakat turut memberi pengetahuan yang benar. Sehubungan dengan perkara ini, sekiranya terdapat kandungan karya yang menyentuh aspek agama, seharusnya ia sesuai dengan amalan serta pegangan masyarakat Islam negara ini yang rata-ratanya bermazhab Shafi’i.
Hal yang demikian adalah kerana karya-karya yang dihasilkan di negara kita bukan sahaja akan mendidik masyarakat tempatan tetapi tentunya ia juga berpotensi untuk dikongsi dengan masyarakat luar dan di peringkat antarabangsa. Penulis membawakan contoh drama bersiri dari Filipina bertajuk “Legal Wives”. Drama bersiri yang mengandungi 80 episod ini berkonsepkan keagamaan dengan latar belakang masyarakat Islam Meranau Filipina (Kathleen Llemit, 2021). Berkisar tentang kisah kekeluargaan tetapi yang uniknya ia melibatkan perkahwinan poligami dengan salah seorang isteri watak utama (Ismael) merupakan wanita beragama Kristian.
Barangkali masyarakat Islam di Filipina mentafsirkan orang Kristian sebagai ahli Kitab, itulah sebabnya kisah sebegitu boleh dihasilkan di Filipina. Sebaliknya, masyarakat Islam bahkan perundangan Islam di negara kita mempunyai pendirian yang tersendiri dalam merujuk perkahwinan seumpama ini. Maksud penulis ialah, setiap karya yang kita hasilkan seharusnya diterbitkan secara teliti agar ia benar-benar mampu mewakili budaya masyarakat kita apatah lagi jika ia melibatkan hukum-hakam, ibadat dan juga syariat.
Oleh sebab drama atau karya kreatif mampu mempengaruhi masyarakat tanpa mengira apa pun temanya, golongan karyawan tentunya mempunyai tanggungjawab dengan memastikan hasil karya yang dipersembahkan merupakan produksi yang menyampaikan kebenaran kepada masyarakat, dan disampaikan secara jujur serta bersungguh-sungguh. Tanggungjawab tersebut tidak hanya tergalas oleh karya-karya yang bertemakan keagamaan ataupun dakwah kerana apa sahaja yang menjadi bahan tontonan, maka bahan itulah yang akan menjadi santapan pemikiran penonton.
Sebagaimana yang penulis nyatakan pada awal-awal penulisan bahawa perbincangan terhadap drama tidak pernah surut, maka ada ketikanya drama-drama tertentu mendapat ulasan oleh mereka yang mempunyai kepakaran atau pengkhususan dalam bidang tertentu. Di sini dapat dilihat bahawa karya seni ada ketikanya dijadikan sebagai bahan pengajaran kepada masyarakat.
Penulis pernah terbaca ulasan secara umum tentang kewujudan permasalahan mental yang terdapat dalam drama-drama Melayu. Masyarakat menonton drama-drama yang mempersembahkan dengan jelas tentang tingkah laku yang bermasalah seperti sangat taasub kepada watak utama yang menjadi hero atau heroin, paranoid, narsis, masalah panas baran dan sebagainya. Tingkah laku sebegini lazimnya diletakkan secara mudah dalam kategori watak antagonis dan pada penghujung cerita watak-watak ini biasanya akan ditewaskan oleh watak protagonis (watak utama) yang biasanya dibantu oleh watak-watak tritagonis. Maksudnya cerita diselesaikan dengan cara menang-kalah, dan bukannya membongkar permasalahan dan diselesaikan menurut perspektif psikologi.
Walaupun demikian, penulis tidak menafikan tentang wujudnya karya-karya yang benar-benar bermutu untuk dipersembahkan kepada khalayak. Cerekarama bertajuk “Baran” (2013), dan drama bersiri bertajuk “Misteri Mona” adalah antara karya yang penulis lihat lebih berjaya dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang isu kesihatan mental dan membangkitkan kesedaran masyarakat mengenainya.
Rumusannya, karya seni tempatan ternyata sentiasa mendapat tempat di hati peminat-peminat drama Melayu. Oleh yang demikian para karyawan harus menghargainya dengan menghasilkan karya-karya seni yang bukan sahaja memiliki cerita dan jalan cerita yang menarik tetapi juga memelihara nilai-nilai ilmu, budaya dan syariat yang dijunjung bersama.