Dalam satu syair Arab disebut bahawa, “Ibu itu laksana sekolah. Jika anda menyediakannya, samalah seperti anda menyediakan suatu umat yang baik keturunannya.” Ini bererti, jika bijaksana individu yang bergelar ibu, maka akan baiklah anak-anak yang dididiknya dan seterusnya akan baiklah masyarakat yang terhasil kelak.
Pakar pendidikan awal kanak-kanak pula menyebut bahawa enam tahun pertama adalah masa yang amat penting untuk kita mendidik anak-anak. Oleh itu, keputusan tentang siapa yang menjaga dan mengasuh mereka pada usia ini perlu ditetapkan dengan penuh tanggungjawab dan bukan sekadar tangkap muat semata-mata.
Pada hari ini, ramai ibu yang keluar bekerja sebaik-baik sahaja habis cuti bersalin. Ibu-ibu berkenaan ada sebab-sebab tersendiri untuk keluar bekerja. Walau apa pun sebabnya, penglibatan mereka di luar rumah adalah membantu ekonomi keluarga dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Penjagaan anak-anak adalah satu isu penting bagi ibu yang bekerja. Pelbagai persiapan dibuat untuk memastikan anak-anak mendapat jagaan yang baik semasa mereka keluar bekerja. Ada yang menggajikan pembantu rumah, menghantar ke pusat asuhan mahupun kepada pengasuh. Apa pun persiapannya, ia memerlukan peruntukan wang yang bukan sedikit.
Jika seorang anak yang dihantar ke pusat asuhan memerlukan kos RM200 sebulan, tiga orang anak memerlukan keluarga itu membayar sebanyak RM600 sebulan bagi tujuan penjagaan ini sahaja. Peruntukan ini sebenarnya lebih mahal daripada kos membayar seorang pembantu rumah warga asing yang biasanya dibayar antara RM350 – RM450 sebulan bergantung kepada berapa lama mereka telah bekerja dengan kita. Selain menjaga anak, pembantu rumah ini juga mengemas rumah dan memasak untuk majikannya.
Oleh itu, bila kerajaan mengumumkan akan memberi subsidi taman asuhan kanak-kanak (taska) sebanyak RM180 pada tahun hadapan, ia adalah satu pengumuman yang amat dialu-alukan. Menurut pengumuman tersebut, kerajaan akan memberi subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan bagi keluarga yang kurang mampu tetapi terpaksa menghantar anak-anak mereka ke Taska Komuniti yang akan dibuka tahun hadapan. Dengan subsidi ini, setiap keluarga hanya perlu membayar yuran sebanyak RM100 sebulan berbanding RM280 yang dikenakan.
Hakikat bahawa pengumuman ini dibuat sempena Hari Wanita 2005 menunjukkan bahawa kerajaan menghargai sumbangan wanita di luar rumah. Bagi wanita dan keluarga pula, ia adalah satu hadiah yang amat dinanti-nantikan. Setelah bertahun-tahun menunggu majikan menyediakan taska umpama menunggu buah yang tidak gugur, subsidi ini adalah hadiah yang amat berharga.
Bagaimanapun, subsidi ini terhad kepada keluarga yang kurang mampu sahaja. Keluarga yang kurang mampu bermaksud mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan di bandar dan RM1,200 sebulan di luar bandar. Ini bermakna, banyak keluarga yang tidak layak untuk mendapat subsidi ini sedangkan pada hakikatnya mereka amat memerlukannya.
Sebagai contoh, sebuah keluarga yang berpendapatan RM2,500 sebulan, tinggal di bandar dan memiliki lima orang anak. Katakan dua anaknya sudah bersekolah di tahun 1 dan 3. Manakala tiga orang anaknya yang berusia setahun, tiga tahun dan lima tahun, dihantar ke pusat asuhan. Walaupun dari segi pendapatan mereka terkeluar daripada golongan yang layak menerima subsidi tersebut, tetapi dari segi realitinya, mereka amat memerlukan subsidi itu.
Oleh yang demikian, adalah diharapkan ketika pelaksanaan subsidi ini kelak, budi bicara juga digunakan untuk mempertimbangkan keluarga yang layak atau sebaliknya. Ini untuk memastikan subsidi itu sampai kepada golongan sasarannya yang sebenar.
Keperluan
Pemberian subsidi ini adalah satu langkah ke hadapan kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat. Tiga dekad dahulu, rakyat – khususnya ibu-ibu bekerja – memerlukan pusat asuhan kanak-kanak. Maka, kerajaan menubuhkan dan menggalakkan penubuhan pusat-pusat ini. Kini, kerajaan maju setapak lagi dengan memberi subsidi untuk perkhidmatan tersebut bila mendapati kos untuk menghantar anak ke pusat asuhan adalah tinggi.
Melihat kepada keperluan masyarakat terhadap pusat-pusat seumpama ini, pasti permintaan untuknya adalah tinggi. Bilangan wanita yang bekerja tidak pernah menurun. Maka, begitu juga permintaan untuk perkhidmatan ini. Dalam keadaan ini, pusat asuhan kanak-kanak perlu dilihat sebagai satu ruang dan peluang perniagaan yang amat baik untuk diterokai dan diceburi, khususnya oleh wanita lain.
Jika benar di luar sana ramai graduan wanita yang menganggur, bidang ini perlu dilihat sebagai satu peluang untuk menjana pekerjaan dan pendapatan. Pasarannya memang besar. Setiap taman perumahan memerlukan perkhidmatan ini. Malah, setiap taman perumahan memerlukan dua atau tiga atau lebih pusat asuhan kanak-kanak bagi memenuhi keperluan penduduknya. Demikianlah besarnya pasaran perkhidmatan ini.
Oleh yang demikian, beberapa orang graduan wanita boleh berpakat untuk membuka perniagaan ini. Jangan ada yang beranggapan bahawa membuka pusat asuhan kanak-kanak adalah untuk mereka yang tiada ijazah sahaja. Jika para graduan dapat memberikan perkhidmatan ini, ia menjadi satu faktor pelaris yang kuat kerana pastinya para ibu mahu anak-anaknya dididik oleh graduan berbanding yang bukan graduan.
Cuma, mereka yang berminat mungkin perlu mengambil kelulusan tambahan seperti sijil atau diploma pendidikan awal kanak-kanak. Tetapi, mengapa tidak? Ini juga satu cabang latihan yang boleh diteliti oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Jika beberapa tahun kebelakangan ini KPWKM banyak menekankan kepada latihan teknologi maklumat (IT) kepada kaum wanita untuk memperkasakan mereka, mengapa tidak memberi latihan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini? Jika ini dibuat dengan baik, bukan sahaja sekumpulan wanita mendapat kemahiran yang boleh menjana pendapatan tetapi mereka juga dapat memenuhi keperluan sekumpulan wanita lain yang amat memerlukan tempat jagaan kanak-kanak yang bermutu tinggi.
Bila ini berlaku maka wujudlah `perkhidmatan daripada wanita untuk wanita’ yang bakal menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan masyarakat.