Kita semua adalah pengguna. Jadi wajarlah setiap orang di Malaysia memperlengkapkan diri mereka dengan asas-asas kepenggunaan. Kemajuan� dan kepesatan ekonomi negara sekarang menyebabkan banyak aktiviti ekonomi dan perniagaan dijalankan. Akibatnya, masyarakat Malaysia menjadi suka berbelanja namun kesedaran kepenggunaan masih kurang.
Pendidikan kepenggunaan dianggap penting dan mesti ditanamkan seawal yang mungkin.Ianya elok dimulakan seawal sekolah rendah lagi sehinggalah ke institusi pengajian tinggi, agar rakyat negara ini sudah diterap dengan isu-isu kepenggunaan dari awal lagi. Inilah juga yang disarankan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bila merasmikan Hari Pengguna pada 26 Julai tahun ini. Pengetahuan kepenggunaan seharusnya disasarkan kepada golongan muda agar generasi akan datang lebih prihatin akan hak-hak mereka sebagai pengguna.
Apakah sebenarnya maksud dan tujuan meningkatkan kesedaran kepenggunaan di kalangan rakyat Malaysia? Rakyat Malaysia khasnya generasi muda perlu disedarkan bahawa hak dan kuasa sebenarnya terletak di tangan mereka sendiri.Pengguna sekarang perlu proaktif dan bijak agar tidak menjadi mangsa peniaga yang mengambil kesempatan. Cara pemikiran yang lama yang berminat kepada tindakan kerajaan jika menghadapi masalah perlu diubah. Amalan kepenggunaan yang positif perlu ada agar pengguna kritikal dan boleh memilih sendiri perkhidmatan atau barangan yang dimahukan. Pengguna mesti mengamalkan kepenggunaan lestari agar tidak ditindas peniaga. Oleh yang demikian sikap pengguna itu sendiri amat penting, mereka perlu sedar pilihan di tangan mereka dan harus menggunakan hak itu sepenuhnya. Kuasa adalah di tangan pengguna, namun masih terdapat undang-undang untuk memantau peniaga.
Timbul persoalan di sini samada terdapat pertentangan antara kepentingan melindungi pengguna dan peranan peniaga untuk menyumbang kepada ekonomi negara. Kedua-dua pihak ini sebenarnya saling melengkapi di antara satu sama lain. Amalan perdagangan yang beretika akan mendapat kepercayaan dari pengguna dan menambahkan keuntungan. Dengan meningkatnya kesedaran kepenggunaan di kalangan rakyat Malaysia, hanya peniaga yang mengamalkan etika perniagaan yang jujur saja menjadi pilihan pengguna. Oleh itu, kerjasama di antara peniaga dan pengguna ini penting dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Bagi peniaga atau usahawan yang beragama Islam, asas-asas perniagaan yang penting telah pun ada dalam sistem ekonomi Islam. Seperti undang-undang kontrak moden yang mengiktiraf kebebasan berkontrak, undang-undang kontrak Islam juga demikian. Namun kebebasan ini bukanlah mutlak. Dalam Surah al-Baqarah: 275 Allah berfirman maksudnya “Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”.Dan dalam Surah al-Nisa ayat 29, Allah berfirman maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu memakan harta sesama kamu secara batil, melainkan melalui jalan perniagaan yang wujudnya saling meredai antara kamu”. Ertinya perlu keredaan bersama antara pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu kontrak, namun persetujuan ini tidaklah boleh melibatkan perkara-perkara batil(yakni riba, gharar dan sebagainya).Jadi walaupun terdapat persamaan di antara undang-undang kontrak Islam dan undang-undang kontrak moden yang memerlukan kerelaan(consent) antara kedua-dua pihak, perbezaannya adalah pengharaman riba dan gharar dalam undang-undang kontrak Islam. Kontrak yang melibatkan riba dan gharar tetap tidak sah walaupun dibuat dengan kerelaan pihak-pihak yang berkenaan. Riba selalunya terdapat dalam kontrak pinjaman kewangan manakala gharar merujuk kepada elemen ketidakpastian di dalam sesuatu kontrak yang menyebabkan ianya kabur dan tidak pasti.
Ini berbeza dengan undang-undang kontrak konvensional yang berasaskan falsafah laisse faire, di mana setiap individu itu adalah bebas untuk membuat sebarang kontrak atas apa saja yang dipersetujui. Perjanjian ini haruslah dipatuhi walau macamana tidak adil sekalipun. Ini adalah kerana perjanjian berkenaan dibuat atas kerelaan masing-masing. Sebarang perlanggaran terhadap kontrak akan memberi kuasa pihak yang menderita menuntut pampasan samada gantirugi atau lain-lain peruntukan di bawah undang-undang. Mahkamah pula seboleh-bolehnya akan cuba mengelak dari campurtangan terhadap kontrak yang telah dibuat. Namun, oleh kerana kebebasan berkontrak ini tidak mengamalkan kuasa tawar menawar yang seimbang dan mengakibatkan pihak yang lemah menjadi mangsa pihak yang kuat, kebebasan ini telah sedikit sebanyak terhakis untuk mencapai keadilan berkontrak.
Islam juga melarang ihtikar, iaitu menyorok barang keperluan asas supaya harganya naik dengan tujuan mengaut keuntungan yang banyak sedangkan ia mempunyai kuasa monopoli. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Hanya orang-orang yang berdosa dan bersalah sahaja yang melakukan penimbunan atau monopoli harta” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud). Kebiasaannya barang yang disorok adalah barang keperluan dalam kehidupan seperti beras, tepung, gula, minyak masak.
Penipuan dalam apa bentuk sekalipun adalah haram. Penipuan termasuk memungkir janji, berbohong dan sebagainya. Ini termasuklah memastikan peniaga bersifat jujur dalam sukatan dan timbangan kerana perbuatan yang suka mengurangkan timbangan amat dilarang dalam ajaran Islam. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Celakalah bagi orang-orang yang suka mengurangi sukatan. Iaitu orang-orang yang kalau menerima sukatan dari orang lain selalu meminta yang penuh (cukup dan tidak kurang sedikitpun), tetapi kalau menyukat untuk orang lain, pasti dikurangi. Apakah orang-orang itu tidak mengira(meyakini) bahawa mereka pasti akan dibangkitkan dari kuburnya?”(Surah Al-Muthaffifin:1-5).
Undang-undang kontrak Islam juga sentiasa melindungi pihak-pihak berkontrak daripada sebarang kerugian dengan adanya prosedur khiyar(pilihan). Ini bermakna pihak-pihak yang terlibat mempunyai pilihan samada hendak meneruskan sesuatu kontrak yang telah dibuat atau tidak. Oleh itu doktrin caveat emptor dalam undang-undang konvensional, di mana pihak-pihak berkenaan dikehendaki berwaspada apabila memasuki kontrak, sebenarnya tidak wujud dalam sistem ekonomi Islam.