Pada petang hari Selasa baru-baru ini, saya pergi ke Kota Kuala Muda, Kedah. Ini adalah kali kedua. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kuala Muda memakan masa lebih kurang lima jam. Kali yang pertama saya pergi pada waktu siang, melihat keadaan kawasan kampung di tepi pantai yang dilanda ombak tsunami.
Masih terdapat kesan bencana, rumah-rumah yang retak, becak dan musnah. Suasana kelihatan sugul dan muram. Tiada aktiviti sosial dan ekonomi. Tiada kelihatan perahu nelayan di tepi pantai. Bagaimanapun, kedai runcit di sekitar, ada beroperasi dan masjid nampaknya tetap unggul. Setiap orang yang berkunjung akan dapat merasai bersama betapa sedih dan pilu yang dirasai oleh mangsa tsunami.
Bak kata pepatah “berat mana mata memandang berat lagi bahu memikul”. Mereka sebenarnya memerlukan perhatian dan bantuan dalam banyak aspek. Atas rasa simpati dan kesedaran yang ada, saya berkunjung kali kedua dan kali ini sampai pada waktu Isyak di kawasan penempatan mangsa tsunami yang disediakan oleh kerajaan – rumah teres putih satu tingkat.
Terdapat 113 pintu yang menempatkan seramai 112 keluarga yang mempunyai penduduknya lebih enam ratus orang (dalam senarai 599 orang), terdiri dari anak-anak kecil yang menyusu, kanak-kanak yang baru belajar mengaji, begitu juga wanita, pemuda dan warga emas yang berumur lebih enam puluh tahun.
Saya membawa bersama telekung dan kain sarung untuk disedekahkan. Saya serahkan kepada seorang lelaki dikenali sebagai Yusof, yang dikatakan ketua di kawasan itu. Menurut beliau, hendak disampaikan kepada warga emas, kerana jumlahnya tidak seberapa jika hendak diagihkan kepada semua penduduk tentu tidak mencukupi.
Apabila sampai di kawasan penempatan mangsa tsunami, saya menemui orang di situ dan bertanya siapakah yang menjadi pengurus. Saya dibawa ke blok No. 1 dan disambut dengan penuh mesra. Yusof dengan rendah diri memperkenalkan dirinya dan menyatakan inilah tempat tinggal kami untuk tempoh antara setahun setengah hingga dua tahun. Kerajaan merancang untuk membangunkan kawasan tersebut dan mereka semuanya akan dipindahkan ke kawasan perumahan yang masih dalam rancangan.
Pada umumnya rumah teres itu berlantaikan papan dan tiada perabot dibekalkan – duduk di atas lantai tetapi ada tikar. Ada dua bilik dan dapur. Mereka dibekalkan dengan keperluan asas seperti beras.
Air dan elektrik juga dibekalkan. Satu unit dijadikan surau dan tempat kanak-kanak mengaji. Kelas agama sememangnya disediakan. Sepatutnya perlu ada empat orang guru, tetapi hanya ada dua orang sahaja.
Penduduk di sini, memang mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Masalahnya mereka tidak mempunyai dana untuk membayar guru tuisyen. Kalau ada dana, tiada masalah untuk mendapatkan guru.
Mengikut Yusof lagi, beliau ada memohon untuk mendapatkan satu unit komputer dan sudah diajukan kepada beberapa pihak, bagaimanapun sehingga sekarang tidak berhasil.
Saya beritahu beliau, apabila pulang ke Kuala Lumpur nanti saya akan cuba ikhtiarkan, mudah-mudahan ada pihak yang bersedia memberi sumbangan.
Dari segi tempat berteduh masalah mereka telah diatasi. Pada peringkat permulaan sememangnya ramai pihak yang datang menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan nasihat, termasuk pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi. Mereka gembira dengan suasana tersebut kerana mendapat perhatian dan simpati masyarakat. Pada akhir-akhir ini semakin jarang, bagaimanapun dari semasa ke semasa program diadakan di kawasan penempatan ini.
Semasa saya berkunjung ke sini pada waktu malam – suasana agak sepi, tidak ada apa-apa aktiviti, kawasan terang dengan lampu. Mengikut Yusof, waktu siang sebahagian kaum lelaki melepak sahaja, tiada pekerjaan.
Mereka tidak dapat ke laut kerana bot-bot mereka masih belum boleh diguna. Jadi masalah besar bagi mereka adalah untuk meneruskan usaha dan pekerjaan yang selama ini dilakukan, masih belum tercapai.
Kedua, dalam keadaan tiada pekerjaan bagaimana untuk mendapatkan wang saku bagi perbelanjaan dapur dan keperluan anak-anak terutama pendidikan mereka. Pada satu ketika dahulu mereka diberikan wang RM500 oleh kerajaan dan kemudian datang satu pertubuhan bukan Islam menderma RM200 seorang.
Lepas itu oleh Tabung Haji RM50 seorang dan di akhir-akhir ini tiada lagi. Bagi sesiapa sahaja yang menjadi ketua keluarga, dapat merasakan betapa wang itu penting dalam kehidupan sesebuah keluarga.
Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, susu tin yang khas perlu dibeli dan bagi kanak-kanak apabila lalu penjual ais krim, mereka hendak juga merasanya. Di sini mereka merasa amat sedih dan pilu mengenang nasib anak-anak yang tidak mengerti erti bencana tsunami.
Kemudahan dan keselesaan yang mereka rasai selama ini sudah tiada lagi. Mereka sentiasa menunggu belas ihsan daripada saudara seagama dan sebangsa. Mereka memandang masa depan dengan kepedihan bercampur harapan.
Saya kemukakan cadangan untuk mengadakan “Forum Bicara Ad-Deen” yang biasa diadakan oleh IKIM dan satu majlis makan malam yang sederhana dan beliau amat bersetuju, bahkan mereka bercadang untuk menubuhkan jawatankuasa agama.
Semasa saya ke Alor Star sebelum itu, saya pergi ke Pejabat Agama Islam Negeri Kedah, bertanya tentang program agama di kawasan penempatan ini. Nampaknya pada ketika itu baru peringkat perancangan – untuk kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Saya bertanya kepada Datuk Syeikh Hasbullah, Mufti Kerajaan Negeri Kedah, bagaimana dengan program agama. Jawabnya memang perlu diadakan dan jabatan agama perlu melaksanakannya.
Di tempat penempatan ini ada kawasan lapang tetapi tiada kemudahan seperti dewan atau khemah untuk mengadakan sesuatu majlis. Cuma apabila ada sesuatu acara, pihak Pejabat Daerah akan membantu bagi mendapatkan kemudahan tersebut.
Saya pergi ke Pejabat Daerah Kuala Muda dan pada hari itu – hari Selasa, Pegawai Daerah mula bertugas, jadi saya pergi menemui Iqbal Ahmad, Penolong Pegawai Daerah.
Setelah menjelaskan kepadanya yang IKIM merancang untuk mengadakan satu program, beliau menjawab dengan bersemangat dan mencadangkan supaya satu jawatankuasa dibentuk. Saya amat gembira dengan sikapnya yang positif itu.
Pada hemat saya di kawasan penempatan ini perlu ada kemudahan seperti khemah supaya ada kemudahan apabila hendak mengadakan sesuatu majlis atau upacara yang melibatkan bilangan yang ramai.
Semoga ada pihak yang bersedia untuk menyumbang dalam perkara ini.
Saya yakin Yayasan Al-Bukhary dapat memberi sumbangan mendirikan khemah tersebut dan kepada pihak lain supaya terus memberi perhatian kepada mangsa tsunami di Kota Kuala Muda, Kedah.