Pandangan Islam terhadap alam sekitar adalah berasaskan kepada wahyu al-Quran dan Sunnah Rasulullah (s.a.w.). Beberapa ayat al-Quran mengenengahkan perhubungan erat antara manusia dan alam ini, serta Penciptanya. Tiada pengasingan antara manusia, alam sekitar dan Allah s.w.t. Perkara in diterangkan dalam ayat 126 dari Surah An-Nisa’ yang bermaksud,
“Kepunyaan Allah jua apa-apa yang di langit dan di bumi, dan pengetahuan Allah maha meliputi segala sesuatu.”
Menerusi ayat 115 dari Surah al-Baqarah, Allah berfirman yang membawa maksud,
“Dan kepunyaan Allah jua timur dan barat, maka ke mana pun kamu mengadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya, Allah maha luas rahmatNya lagi maha mengetahui.”
Menurut Islam alam sekitar tidak statik dan kaku, malah ianya adalah sebuah entiti yang mempunyai unsur-unsur kerohanian. Sebarang bentuk campur tangan atau gangguan ke atas alam sekitar akan membawa kesan terhadap perhubungan kudus antara manusia dan Penciptanya. Konsep inilah yang dipegang oleh masyarakat Islam ketika zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, di mana mereka tidak pernah menjajah, menakluki atau menundukkan alam sekitar. Hak-hak yang telah ditetapkan bagi setiap komponen alam dihormati dan dijaga sepenuhnya.
Selain daripada itu, dari Imam Ahmad, Rasulullah dipetik sebagai bersabda, “Jika ada sesiapa yang menanam sebatang pokok dan bercucuk tanam, dan manusia serta haiwan atau burung-burung mendapat makanan darinya, ia hendaklah menganggapnya sebagai satu kebajikan.”
Rasululullah s.a.w. juga pernah bersabda yang maksudnya, “Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” Hadis riwayat Muslim.
Konsep manusia sebagai khalifah atau wakil Allah s.w.t. di muka bumi adalah salah satu prinsip asas ajaran Islam. Manusia bertindak sebagai hamba Allah s.w.t. dengan mematuhi segala undang-undang dan suruhan yang ditetapkanNya. Seluruh aktiviti manusia mestilah mematuhi kehendak Allah s.w.t. Dengan berbuat begitu manusia dijanjikan akan menerima ganjaran dalam bentuk keseronokan, kenikmatan dan keselamatan di dunia dan akhirat nanti.
Manusia tidak diberi kuasa mutlak. Setiap perbuatan mereka akan dinilai baik buruknya. Alam sekitar sekadar amanah Allah s.w.t. kepada manusia, yang mesti menguruskan serta melindungkannya dengan sebaik-baiknya.
Maka dengan itu, sebarang aktiviti manusia yang boleh mengancam kehidupan adalah dilarang sama sekali. Penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan ketenteraan, penyiraman racun makhluk perosak secara berlebihan, pemusnahan hutan yang tidak terkawal dan sikap suka membuang sampah sarap merata-rata, semuanya dianggap sebagai semata-mata memenuhi ketamakan di samping mengabaikan tanggungjawab menjaga alam sekitar. Jadi, aktiviti-aktiviti ini tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam.
Selain daripada itu, setiap kejadian di dalam alam sekitar dilihat oleh umat Islam sebagai tanda-tanda atau bukti-bukti keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Al-Quran juga mengajar umat Islam agar menyedari bahawa alam ini seimbang dan harmonis. Sebarang bentuk pencabulan atau kerosakan dikeji oleh Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam ayat 41 dari Surah Rum bermaksud,
“Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.”
Jika ditinjau tentang kerosakan alam yang dilakukan di zaman kita, maka sedikit sebanyak kita akan sedari bahawa perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Umpamanya, banyak kawasan tadahan air telah dimusnahkan akibat proses meratakan hutan. Sumber bekalan air tawar menjadi tidak menentu. Tanah dan selut yang tidak lagi diikat oleh akar-akar pokok hutan pula mudah terhakis dan dibawa oleh sungai ke muara. Perkara ini sering menyebabkan banjir kilat.
Banyak juga sungai yang dicemari dengan pelbagai sisa buangan dari sumber domestik dan juga industri. Kebanyakan sisa buangan ini toksik sehinggakan beberapa buah sungai di Malaysia pada hari ini dianggap sebagai sungai mati. Di sungai mati, tiada lagi sebarang bentuk kehidupan, sama ada yang besar, mahupun yang kecil, sama ada yang makroskopik ataupun yang mikroskopik. Ketiadaan bahan-bahan yang dianggap bahagian penting rantaian makanan (food chain) ini menyebabkan haiwan-haiwan sungai yang lain seperti ikan, kura-kura dan siput juga pupus terus.
Bahan cemar dari sungai sering dibawa hingga ke laut. Selain daripada itu, tanah dan selut yang dibawa arus sungai akan mendak di kawasan batu-batu karang di tepi laut. Banyak benda hidup yang bergantung harap kepada batu karang juga akan musnah. Pencemaran laut dan mendakan selut boleh mengganggu ekosistem marin yang sebenarnya penting untuk kehidupan manusia. Di dalam ekosistem marin inilah berlaku fotosintesis, di mana gas karbon dioksid diserap oleh tumbuh-tumbuhan dan bakteria laut, manakala oksigen dibebaskan. Proses ini adalah salah satu mekanisme penting yang mengimbangkan kandungan gas dalam udara.
Pencemaran udara juga semakin menjadi-jadi. Penggunaan kenderaan yang berleluasa dan pembuangan gas-gas sisa dari serombong sebahagian daripada kilang-kilang tempatan menjadikan ruang udara kita agak menyesakkan. Pembakaran hutan secara besar-besaran dan tidak terkawal juga menyumbang kepada kualiti udara yang tidak memuaskan.
Alhamdulillah, sekarang ini kita dapati ada banyak pihak yang telah dan sedang menjalankan pelbagai usaha untuk memperbaiki keadaan ini. Kewujudan Jabatan Alam Sekitar sendiri mencerminkan kegigihan kerajaan di dalam mengawal keadaan alam sekitar di Malaysia. Undang-undang telah diperkenalkan untuk memantapkan aspek pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar. Bagi projek-projek yang dijangka menggugat alam sekitar, analisis impak terhadap alam sekitar (EIA) wajib dijalankan terlebih dahulu. Beberapa buah hutan simpan, dan taman marin terlindungkan telah diwartakan. Kerajaan juga telah membenarkan pelbagai badan bukan kerajaan yang berminat dalam alam sekitar bergerak dengan aktif dan secara bebas. Badan-badan ini ada yang dibantu oleh badan-badan induk yang bertaraf antarabangsa.
Salah satu daripada strategi penting bagi mempastikan alam sekitar dijaga oleh semua pihak ialah dengan meningkatkan kesedaran dan kecintaan penduduk negara ini terhadap alam sekitar. Pelbagai kempen dijalankan, menerusi media cetak dan elektronik. Golongan sasaran yang penting ialah kanak-kanak sekolah. Mereka perlu disedarkan sejak awal lagi tentang hubungan akrab dan kudus antara manusia, alam sekitar dan Maha Pencipta.
Buku Alam Sekitar Anugerah Tuhan adalah buku yang diterbitkan hasil usahasam murni Jabatan Alam Sekitar dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke 7 (RM 7). Buku ini merupakan sebuah buku bacaan dan rujukan yang berusaha menerapkan nilai-nilai murni alam sekitar dari perspektif Islam kepada para pelajar, khususnya pelajar menengah rendah.
Komponen-komponen utama buku `Alam Sekitar Anugerah Tuhan’ menumpukan kepada alam sekitar, iaitu planet bumi, air, udara, tanah, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia. Di antara manusia dengan Tuhan berserta kejadiannya serta tanggungjawab sesama manusia untuk memelihara persekitarannya.
Alam Sekitar adalah amanah dan anugerah Tuhan kepada manusia yang harus dipelihara sebagai warisan generasi yang berpanjangan. Penerbitan buku bacaan dari segi penerapan nilai-nilai murni alam sekitar dari perspektif agama diharapkan dapat memberi kefahaman yang lebih jelas dari sudut yang berbeza mengenai isu-isu alam sekitar.
Pelbagai organisasi lain juga mengajurkan aktiviti secara “experiential”, dimana pelajar dan belia dibawa ke tempat khusus untuk menghayati sikap cintakan alam semula jadi. Tempat-tempat ini termasuklah hutan simpanan, taman marin dan rimba rekreasi. Pengalaman yang diperoleh peserta mampu meninggalkan kesan yang lebih mendalam tentang pentingnya kita menjaga kesejahteraan alam sekitar.
Walaupun keadaan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar yang ideal belum tercapai, namun kita tidak boleh berputus asa. Nasib generasi akan datang terletak di tangan kita. Mereka perlu dididik dan dimaklumi tentang kejayaan dan kegagalan kita dalam menangani isu-isu berkaitan alam sekitar setakat ini.