Masalah kenaikan harga barang begitu sinonim di bulan Ramadhan mahupun musim perayaan. Seperti lazimnya, masalah kenaikan harga barangan keperluan utama kembali dibualkan. Kali ini masalah harga ayam menjadi ‘juara’ bagi segala masalah berkaitan kenaikan harga barangan. Pun begitu, tidaklah boleh diabaikan masalah kenaikan harga tepung, gula dan ‘perang’ jualan murah yang begitu hebat melanda sempena bulan Ramadhan dan musim perayaan.
Berbalik kepada masalah kenaikan harga ayam. Sebenarnya, jika difikir dan dikaji dengan akal yang waras, tidaklah dapat kita pastikan kenapa masalah ini seringkali berbangkit di musim perayaan. Jika dikatakan bahawa permintaan pengguna terhadap ayam meningkat pada musim ini, maka di luar musim perayaan pun, lauk ayam tetap menjadi hidangan utama di kedai-kedai makan di negara ini. Oleh itu, permintaan yang meningkat itu tidaklah memberikan perbezaan yang begitu besar sehingga memungkinkan harga naik melambung.
Alasan pembekal yang menaikkan harga ayam kerana harga makanan ayam meningkat juga menimbulkan kekeliruan. Apakah harga makanan ayam hanya naik pada musim perayaan? Bila harga ini naik maka harga jualan ayam juga perlu naik. Adakah juga kemungkinan pada musim perayaanlah ayam-ayam di Malaysia disajikan dengan makanan yang istimewa dan makanan itu pula tinggi harganya? Oleh itu harga jualan ayam juga perlu dinaikkan.
Apabila pengguna berfikir dan banyak menyoal maka dapatlah kita lihat bahawa banyak alasan dan kekeliruan sengaja ditimbulkan bagi menutup kebenaran. Amalan berfikir dan banyak menyoal hanya mampu dilakukan oleh pengguna bijak. Ketika ini, pengguna yang bijak semakin hari semakin banyak jumlahnya. Kalau dibandingkan dengan dahulu, kesedaran kepenggunaan di negara ini sudah jauh berbeza. Pengguna kini semakin tahu haknya dan juga lebih mudah mendapat banyak maklumat berkaitan kepenggunaan. Namun sayangnya, kebangkitan dalam memperjuangkan hak pengguna di negara ini bermusim sifatnya dan bulan Ramadhan adalah salah satu musim di mana masalah kepenggunaan begitu hebat diperkatakan.
Di dalam bulan Ramadhan ini, selain perbincangan perkara ketidakadilan terhadap pengguna dari sudut kenaikan harga dan penipuan harga barangan, turut dibincangkan juga adalah sikap pengguna itu sendiri. Cuba perhatikan di sekeliling kita, dalam bulan Ramadhan ini terdapat pelbagai peluang untuk membeli belah sama ada dalam bentuk makanan di pasar Ramadhan, pakaian dan perhiasan diri, peralatan rumah dan sebagainya. Telitikan sikap pengguna semasa membeli-belah itu. Adakah mereka berfikir dan banyak menyoal semasa menjalankan kegiatan membeli belah itu, atau adakah mereka membeli sekadar untuk memuaskan nafsu?
Kadangkala kita berasa kasihan melihat seorang ibu tidak menang tangan melayan kehendak ahli keluarga semasa membeli belah. Ketika yang lain pula, kita letih melihat anak-anak berkejaran di pusat membeli belah. Mungkin mereka seronok atau mungkin mereka telah menjadi terlalu bosan. Ada masanya pula kita berasa lucu bila melihat seseorang tidak cukup tangan membawa beg hasil pembeliannya. Tidak kurang simpatinya juga wajah mencuka si ayah, yang mungkin kepenatan menemani ahli keluarga membeli belah.
Kepelbagaian wajah pengguna ini adalah satu rahmat kepada peniaga. Atas nama jualan murah, peniaga berjaya memperdaya pengguna yang cetek kesedarannya untuk membeli dan terus membeli. Sayangnya, kita sebagai pengguna jarang berfikir dan banyak menyoal tentang keadaan ini? Walaupun kesedaran kepenggunaan semakin meningkat di kalangan pengguna Malaysia, namun janganlah hairan jika masih ramai yang mudah diperdaya atas nama jualan murah. Ini berlaku akibat sikap sambil lewa pengguna. Walau sudah tahu hak dan mendapat banyak maklumat kepenggunaan, namun masih ramai pengguna yang merelakan diri diperdaya.
Oleh itu, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini marilah kita sama-sama berazam untuk berubah. Sudah tiba masanya kita sebagai pengguna berhenti mengikut rentak peniaga dalam melariskan barangannya. Kini adalah saat dan ketikanya sang peniaga pula menari mengikut rentak kita sebagai pengguna yang bijak.
Sering orang berkata bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Kelebihan bulan Ramadhan ini terletak kepada tuntutan untuk berpuasa di kalangan umat Islam seluruh dunia. Amalan berpuasa ini pula mengajar kita banyak perkara. Apa yang pasti, kita belajar bertafakur, melawan nafsu, mengerti erti kelaparan, dahaga, kesusahan dan juga bersederhana dalam apa jua yang dilakukan. Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang mendidik kita untuk banyak ‘memberi’. Sebagai pengguna, membeli belah tanpa kawalan hingga hilang haluan adalah satu tindakan yang berlawanan dengan nilai yang harus dilaksanakan dalam bulan Ramadhan ini.
Agama Islam adalah satu agama yang menolak sikap berlebih-lebihan. Apatah lagi dalam berbelanja mewah yang akhirnya boleh menjerat diri sendiri. Jerat ini bukan sahaja memakan diri sendiri tetapi bahananya akan dirasai seluruh ahli keluarga terutama apabila kita terjerat dalam beban hutang yang menyeksakan. Oleh itu, wahai pengguna yang bijak, fikirkanlah. Adakah beban sebegini yang hendak kita wariskan kepada anak-anak kecil kita?
Sememangnya bulan Ramadhan sesuai dijadikan asas untuk setiap umat Islam mengubah diri menjadi lebih baik atau lebih soleh. Mengubah diri menjadi lebih baik atau soleh ini termasuklah sekali mengubah diri menjadi penggunayang dapat mengawal nafsunya, bijak berfikir serta banyak menyoal. Moga-moga tindakan ini akan dapat mendidik kita menjadi pengguna yang bijak berbelanja dan bersederhana hingga akhirnya boleh mencapai matlamat mengubah gaya hidup.
Mengubah gaya hidup kepada yang sederhana sebenarnya mempunyai banyak faedah. Di sini, faedah-faedah itu tidak akan dibincangkan satu persatu. Namun asasnya, dengan hidup bersederhana, kita akan lebih tenang kerana tidak perlu berlumba-lumba menjadi seperti orang lain, tidak mudah terpedaya dengan pelbagai iklan atau tawaran jualan murah dan tidak perlu menanggung hutang serta hidup dalam kepura-puraan. Malah, wang yang ada bolehlah digunakan bagi tujuan pembangunan diri dan keluarga terutamanya untuk pendidikan anak-anak.