Keseimbangan dan pertambahan bilangan penduduk di Malaysia berbanding peluang pekerjaan yang ada di pasaran kini menjadi satu masalah. Berbagai usaha telah dilakukan termasuklah meningkatkan kemahiran melalui latihan serta membuka peluang kerjaya baru di dalam sektor awam dan swasta. Rancangan gunatenaga negara telah mengambilkira semua sudut dalam perlaksanaan tetapi masalah pengangguran masih berlarutan. Semua perancangan bergantung kepada sejauh mana modal insan ini dapat membuka minda dan menerima sudut pandangan baru secara terbuka. Salah satu pendekatan yang menarik dibincangkan ialah bagaimana mengubah faham masyarakat supaya melihat bidang pertanian sebagai salah satu perniagaan atau mengubah pandangan bahawa pertanian juga merupakan satu bidang ekonomi kelas pertama serta berusaha melahirkan usahawan tani.
Sekiranya kita amati kekuatan keseluruhan Malaysia, kita akan menyedari tentang betapa bertuahnya kita berada di bumi subur Malaysia. Hasil bumi, bidang pertanian, penternakan dan perikanan sejak dahulu telah melonjak Malaysia di persada antarabangsa. Kebelakangan ini, akibat dari perubahan wadah antarabangsa kepada pembangunan sains dan teknologi serta ‘serangan’ globalisasi, kita seolah-olah akur dan berpuas hati menjadi pengikut dalam pasaran barangan pembuatan serta perkhidmatan. Kesudahannya kita menjadi pengimport barangan pertanian dan makanan kecuali dalam perkara ternakan khinzir, Malaysia “negara Islam” menjadi pengeluar terbesar di rantau ini.
Hasil pertanian dan makanan yang dikeluarkan dengan kemajuan dan pembangunan pertanian yang rendah boleh menyebabkan kemampuan pasaran menjadi lemah serta menggugat pengusaha. Akibat dari rangsangan pembangunan ekonomi bidangan tidak seimbang, corak pendidikan pertanian juga telah terjejas. Bidang pengurusan perniagaan lebih mendapat tempat berbanding pertanian sedangkan pada hakikatnya pertanian dan barangan makanan sepatutnya menjadi asas perniagaan.
Berdasarkan unjuran perkembangan sebanyak 3.5% dalam bidang pertanian pada tahun 2008, sumbangan dari hasil barangan “commodity” makanan merupakan salah satu peluang besar untuk dimurnikan di samping pertambahan pengeluaran kelapa sawit dan getah. Usaha ini selaras dengan RMK-9 yang memberi suntikan kepada bidang ini dengan peruntukan dan perancangan untuk meningkatkan nilai tambah pertanian melalui sains dan teknologi, pembangunan kemudahan, modal insan terutama usahawan tani dan pembangunan sektor makanan untuk mencapai imbangan perdagangan positif untuk hasil barangan ini. Aliran bioteknologi telah diperkenalkan untuk meningkatkan nilai tambah kepada sektor ini melalui penjanaan keluaran-bio untuk pelbagai tujuan seperti farmasi, perubatan, makanan, hiasan dan industri. Penubuhan Pusat Fidlot Kebangsaan, Taman Kekal Pengeluaran Pertanian dan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan menyokong lagi pertumbuhan bidang pertanian.
Namun masih ramai yang belum yakin dengan kemampuan pertanian sebagai satu sumber pendapatan yang berdaya maju. Sumber tenaga terutamanya siswazah lebih cenderung untuk makan gaji. Sesetengah berpandangan tempoh pulangan yang lambat dan pelaburan awalan yang agak tinggi membantutkan hasrat untuk berkecimpung di dalam pertanian. Tetapi alasan yang agak hampir ialah mereka tiada pengetahuan dan keyakinan untuk mengusahakan pertanian. Akibatnya, bidang pertanian telah dipinggirkan dan diletakkan sebagai kelas kedua dalam proses menjana ekonomi. Kesinambungan lampau perit jerih datuk-nenek kita telah terputus dan rangkaian pembekalan, penawaran dan pengeluaran barangan pengguna pertanian telah dikuasai oleh pihak lain. Dengan pengambilalihan ini, rantaian ekonomi telah dikuasai apatah lagi apabila ianya dikuasai oleh orang yang tidak bertanggungjawab serta tidak mementingkan nilai kemanusiaan. Hasil dari teknologi perusahaan makanan bermatlamatkan keuntungan mengabaikan kesan buruk ke atas pengguna samada melalui pembangunan bioteknologi atau kejuruteraan genetik.
Falsafah kepenggunaan yang menekankan ‘halalan tayyiban’ perlu dijadikan asas bagi mengukuhkan ekonomi ummah. Melalui pendekatan ini, kaedah pengeluaran perlulah mengikuti lunas-lunas tertentu seperti kebersihan, kesucian dan mutu barangan. Akibat dari berbagai kaedah pengeluaran dibangunkan dan diperkenalkan oleh pelbagai pihak, usaha dalam mengawal dan memantau kaedah pengeluaran barangan terutamanya barangan makanan perlu ditetapkan. Sekiranya pengeluar Muslim mengabaikan perusahaan barangan pertanian dan makanan, pengguna terpaksa menerima apa saja yang dihidangkan oleh pasaran tanpa banyak pilihan.
Halal semata-mata tidak memadai kerana kemungkinan besar makanan yang disediakan halal tetapi tidak baik kepada kesihatan kerana mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kesan buruk. Faham halalan taiyyiban bukan sahaja untuk umat masyarakat Islam tetapi amat baik kepada semua manusia kerana barangan yang tercemar akan memberi kesan buruk kepada siapa saja. Kecenderungan buruk terkini dalam industri pemakanan sedang melanda negara ialah mempergunakan faham ini untuk meraih pasaran. Kaedah pembungkusan dipaparkan dengan logo halal manakala tatacara pengeluaran sebenar tidak diikuti. Apabila kerajaan menyokong dan memperuntukan pembangunan perusahaan halal melalui pelantar halal (halal-hub), ramai yang tidak faham atau pura-pura tidak faham kerana ghairah dengan peluang pasaran yang luas dan besar. Sekiranya ummah menguasai bidang pengeluaran ini, aturan piawaian amalan pengilangan Islam sebenar dapat dibetulkan dan diketatkan dalam usaha merebut pasaran yang memberangsangkan dan menjaga kesucian maksud kepenggunaan berlandaskan faham pandangan dalam Islam.
Kekuatan pengeluaran barangan pertanian dan makanan mentah boleh memberi kesan langsung kepada barangan akhir apabila penawaran dan harga barangan ini dinaikkan. Alasan kenaikan kos terutamanya harga makanan ternakan, pengangkutan dan tenaga kerja yang diberikan bukanlah perkara asing dalam usaha untuk menaikkan harga contohnya dalam kes penetapan kawalan harga ke atas ayam. Akhirnya, barangan berasaskan ayam juga akan meningkat. Kerajaan mempunyai pendekatan tertentu dalam mengawalnya tetapi bentuk pasaran terbuka yang dikawal oleh permintaan dan penawaran di Malaysia akhirnya akan mencorakkan keseimbangan pasaran baru dengan tahap harga diluar kawalan. Secara ringkas, kemampuan bidang ini bergantung kepada sejauh mana kawalan, perluasan dan keseimbangan pasaran dibuat.
Jika ditinjau dari sudut sumber yang tinggi rangkaian putaran kepenggunaannya, kita akan dapati bahawa pertanian dan hasil barangan makanan menjadi titik mula dalam pengembangan barangan pengguna. Dengan menguasai bidang ini bermakna, seorang usahawan telah menguasai satu bidang yang anjal dan berdaya maju. Barangan akhir pertanian dan hasil barangan makanan masih boleh dipelbagaikan dengan syarat adanya sokongan teknologi pembuatan.
Kelangsungan ekonomi bergantung penuh kepada pengetahuan. Sekiranya seorang usahawan ingin menjalankan perniagaan, beliau perlulah mahir dalam bidang yang diceburi. Begitu juga dengan sejarah kematangan rakyat secara khusus kaum bumiputera berkenaan pengetahuan dalam pertanian. Namun apa yang menyedihkan, akibat dari asakan pengaruh dan sikap sambil lewa, ramai yang meninggalkan pertanian seterusnya kemahiran dalam pertanian telah diabaikan. Pembangunan teknologi dilihat dalam sudut yang tiada berkepentingan kepada pertanian dan hasil barangan makanan.
Perusahaan dalam pertanian perlu dibuat dalam skala yang besar. Berniaga kecil-kecilan akan lebih banyak merugikan berbanding memberi keuntungan kerana kaedah pelaburan yang melibatkan masa banyak bergantung kepada kemampuan jumlah. Berdasarkan kepada RMK 9, kerajaan telah memberi tumpuan dan peruntukan yang tinggi dalam usaha memartabatkan pertanian. Beberapa agensi bermula dari penyediaan modal awal seperti Bank Pertanian, sehinggalah kepada penyusunan semula Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memberi nafas baru kepada pasaran sedia ada dan merangsang pertumbuhan kepelbagaian pasaran. Peranan pasaran dan keteguhan permintaan amat penting dalam menjamin usahawan pertanian terus bertahan dan berjuang. Penguasaan FAMA perlu ditingkatkan dari mengawal kira-kira 50 juta pasaran setahun kepada pemusatan keseluruhan pasaran. Langkah kerjasama perancangan dan pengagihan barangan segar dengan pasar-pasar besar sedia, membuat kajian dan pembangunan pembuatan kepelbagaian barangan pengguna perlu direncanakan.
Kalau masyarakat ingin memulihkan keseimbangan ekonomi dan masyarakat, bidang pertanian adalah pelantar terbaik. Dengan penguasaan pertanian dan barangan makanan, mereka mampu merencana perusahaan, pembuatan dan kepelbagaian barangan dan perkhidmatan pengguna. Pemilikan pegangan (equity) bumiputera dalam bidang turun temurun lebih mudah ditingkatkan berbanding usaha meningkatkan pegangan dalam bidang asing atau baru. Sesebuah negara yang cemerlang dalam pembuatan tetapi menggunakan sumber asas import akan menyebabkan kos pengeluaran akan meningkat. Apatah lagi sekiranya apa saja yang diusahakan semuanya diimport bermula dari teknologi, tenaga kerja, bahan pengeluaran, peruntukan dan sebagainya. Akhirnya negara akan hanya menjadi pelantar untuk orang asing datang ke Malaysia dengan membayar kadar cukai tertentu kepada kerajaan. Usaha menarik pelabur hanyalah seperti kita menjemput penyewa dengan pembayaran rendah tetapi memberi kesan buruk kepada negara sendiri apabila pulang ke negara mereka. Dasar pelaburan asing perlu dipulihkan bukan sekadar mensyaratkan pemilikan tempatan tetapi juga penggunaan sumber bahan tempatan. Di samping mengukuhkan rantaian ekonomi negara dan taburan pendapatan, usaha ini juga mampu menyokong kekuatan dalam negeri dan taraf hidup masyarakat.
Pemupukan minat jentera tenaga kerja baru dalam bidang pertanian, hasil barangan makanan dan ternakan perlu dilakukan secara berterusan. Perkara pertama yang perlu diberi penekanan ialah dengan mengubah sudut pandangan masyarakat bahawa pertanian juga adalah satu perniagaan. Sebenarnya bidang pertanian amat dekat dan sudah biasa dengan kita, tinggal cuma bagaimana kita hendak memurnikan lagi ke arah menjadi seorang usahawan. Salah faham tentang takrifan perniagaan telah menyebabkan ramai memandang dingin bidang pertanian. Tidak ada gunanya pembangunan dilakukan dengan mengimport tenaga luar dalam masa yang sama kadar pengangguran terus tidak berganjak.