Hari ini 31 Ogos 2015. Hari Kemerdekaan Negara. Dengan izin-Nya, pada tarikh ini, 58 tahun yang lalu, kita telah bebas daripada belenggu penjajahan. Ini nikmat yang harus kita syukuri.
Tidak terkecuali usaha serta perjuangan yang telah ditunjukkan oleh datuk-nenek kita dahulu. Segala kepayahan, kesakitan serta penderitaan yang terpaksa mereka lalui telah memungkinkan kemerdekaan ini kita rasai. Kepada generasi pejuang itu, terima kasih tidak terhingga.
Kemerdekaan dan perjuangan mempunyai kaitan yang akrab. Bagi mencapai sebuah kemerdekaan, perjuangan tidak dapat dielakkan. Dalam konteks negara ini, barisan pemimpin pelbagai kaum yang diketuai oleh YTM Tuanku Abdul Rahman telah bekerja keras memperjuangkan kemerdekaan negara. Selain pemimpin, pelbagai lapisan masyarakat turut sama memperjuangkan aspirasi pembebasan “tanah tumpah darah” kita ini daripada genggaman penjajah.
Sesetengah negara, seperti Malaysia, amat bertuah kerana perjuangan kemerdekaan itu dapat dicapai melalui rundingan tanpa perlu melibatkan peperangan. Namun, banyak pula negara-negara lain yang terpaksa melalui episod “mengangkat senjata” bagi memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing.
Tidak kira melalui perundingan atau peperangan, kepayahan mencapai sebuah kemerdekaan bukanlah sesuatu yang main-main. Bayangkan penderitaan, kesengsaraan serta jerih lelah yang terpaksa dihadapi oleh generasi terdahulu dalam merealisasikan perjuangan itu. Kekuatan jiwa, semangat serta pengorbanan yang mereka tunjukkan seharusnya memberikan keinsafan kepada kita betapa kebebasan yang dinikmati kini terhasil daripada penderitaan yang telah dilalui generasi tersebut.
Kini, kita hidup dalam kemerdekaan. Bebas menentukan hala tuju diri mahupun negara ini. Kita bebas menikmati serta memiliki apa sahaja yang dimahukan. Ada sesetengah daripada kita yang bertuah, dapat memiliki pekerjaan, harta benda, pendidikan serta keluarga yang bahagia dan sihat. Bagi yang kurang bernasib baik pula, jika rajin berusaha dan bijak merebut peluang, kesenangan dan kemudahan pasti akan diperoleh. Pendek kata, semuanya terbentang di hadapan mata, maka kitalah yang menentukan untuk mendapatkannya atau tidak.
Oleh itu, dengan segala kemudahan serta kebebasan yang kita miliki masa kini, adakah kita masih perlu berjuang mempertahankan negara ini? Jika ya, apakah pula bentuk perjuangannya dan untuk siapakah pula perjuangan tersebut?
Jawapan kepada persoalan ini boleh ditemui apabila kita melihat secebis kisah hidup Nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Seperti mana yang kita ketahui, perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan agama Islam bukanlah satu perjuangan yang mudah. Pelbagai dugaan ditempuhi Baginda SAW dalam usaha membawa “cahaya” kepada umat manusia. Sampai ke satu tahap, Baginda SAW berhadapan dengan peperangan demi mempertahankan Islam, menghapuskan kezaliman dan membebaskan manusia daripada kejahilan. Ketika tamatnya satu peperangan melawan kaum musyrikin, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, ‘Peperangan apakah itu wahai Rasulullah?’ Baginda berkata, ‘Peperangan melawan hawa nafsu.'”(Imam Abu Hafs Umar bin Ja’afar al-Basri)
Ini bermakna, perjuangan di medan perang, dengan segala pahit getirnya itu, tidaklah dianggap lebih besar berbanding melawan nafsu sendiri. Oleh itu, melawan hawa nafsu merupakan perjuangan sebenar bagi generasi masa kini kerana “…sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan…” (Surah Yusuf, 12:53)
Perjuangan menundukkan hawa nafsu ini melibatkan pembersihan dan penyucian hati dan jiwa daripada sifat-sifatnya yang rendah dan keji seperti riyak, ujub, cinta dunia, gila pangkat, gila harta, bicara kosong dan sia-sia, dengki, dendam, buruk sangka, tamak, sombong dan lain-lain, kepada sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Selain itu, perjuangan ini juga melibatkan pembebasan diri daripada kegelapan dan kekotoran syirik untuk diisi dengan kejernihan dan sinar cahaya Tauhid.
Perjuangan melawan hawa nafsu merupakan satu ujian besar dan mungkin lebih sukar kerana musuh utama perjuangan ini adalah diri manusia sendiri yang kadang kala gagal disedari jika melihat dengan kacamata biasa. Medan perjuangan ini juga tidak terhad kepada satu-satu tempat atau satu-satu masa tetapi mencakupi seluruh kehidupan manusia daripada kecil hingga dewasa. Kerana inilah, perjuangan melawan hawa nafsu lebih sukar untuk ditangani.
Dalam konteks perjuangan hawa nafsu seperti ini, penggunaan senjata tidak akan mampu untuk menundukkannya. Perjuangan melawan hawa nafsu harus ditangani dengan cara yang berbeza iaitu dengan mempelajari, memahami dan mengamalkan ilmu yang benar dan bertakwa kepada Allah SWT agar menjadi hamba-Nya yang terbaik.
Sebenarnya, perjuangan menundukkan nafsu bukan sahaja memberikan manfaat kepada diri sendiri tetapi juga kepada keseluruhan masyarakat, bangsa dan negara. Oleh itu, generasi kini perlu berusaha untuk melawan nafsunya serta memperbaiki diri kerana pada akhirnya usaha itu akan membantu memperbaiki bangsa dan negara secara keseluruhannya.
Menurut Za’aba di dalam buku Perangai Bergantung pada Diri Sendiri, “Tiap-tiap seorang daripada orang-orang sesuatu bangsa dan tiap-tiap satu kumpulan daripada mereka, yang bekerja masing-masingnya atau bersama-sama oleh sebab kuat bergantung kepada diri sendiri dan percaya akan kebolehan sendiri, adalah bekerja bagi kejayaan bangsa itu dan kemajuannya, bagi kenaikannya dan kemakmurannya.” Oleh itu, apa sahaja kebaikan mahupun keburukan yang kita lakukan kepada diri sendiri, sebenarnya juga akan memberi kesan kepada masyarakat dan negara.
Jelaslah kini bahawa perjuangan masih diperlukan walaupun negara sudah lama bebas merdeka. Cumanya, perjuangan kini berbeza kerana apa yang diperjuangkan kini adalah untuk menjinakkan nafsu dan seterusnya memperbaiki serta memperbetulkan diri. Perjuangan itu nyata sukar. Ini kerana, dunia masa kini memperlihatkan masyarakat sering tunduk kepada nafsu sendiri mahupun ditundukkan oleh nafsu orang lain. Perkara ini haruslah disedari, diakui dan langkah-langkah mengatasi serta memperbaikinya mesti diusahakan walaupun sukar.