Ditulis oleh : En. Khairul Azhar Bin Idris Diterbitkan :
Satu perkara yang amat penting dan perlu diberikan perhatian serius pada masa sekarang ini ialah berkaitan kewujudan serta peningkatan jumlah kanak-kanak yang telah didiagnos serta individu dewasa yang baru didiagnos dengan mempunyai pelbagai jenis masalah berkaitan pembelajaran. Pada tahun 2002 sahaja, adalah dianggarkan terdapat seramai 14, 535 kanak-kanak yang menghadapi masalah atau kesukaran pembelajaran dari pelbagai kategori, dan ia meningkat kepada 90, 000 pada tahun 2012. Ini merupakan satu jumlah yang amat tinggi. Dan biasanya, trend berkaitan statistik ini akan terus meningkat saban tahun, sejajar dengan peningkatan kadar kelahiran dan tahap kesedaran individu dan masyarakat.
Apakah dia masalah pembelajaran ini? Secara umumnya, ia adalah merujuk kepada sebarang keadaan berkaitan dengan kesukaran seseorang individu itu untuk belajar. Ia berkaitan dengan tahap perkembangan dan keupayaan pemprosesan otak seseorang individu yang berbeza dari majoriti individu normal lain dalam menerima sebarang input kognitif. Input kognitif ini melibatkan aktiviti dan proses otak seperti proses pertuturan dan percakapan, pembacaan, penulisan, pengiraan, keupayaan diri dalam pengurusan kendiri dan maklumat serta lain-lain. Terdapat pelbagai jenis dan kategori masalah berkaitan pembelajaran seperti lembam, disleksia, diskalkulia, disgrafia, dispraksia, gangguan fungsi eksekutif dan lain-lain, yang juga dikenali sebagai masalah pembelajaran spesifik. Akta Orang Kurang Upaya 2008 menyatakan bahawa mereka tergolong di dalam kategori OKU dan berhak untuk didaftarkan sebagai OKU serta memiliki kad OKU.
Selain dari masalah pembelajaran yang spesifik seperti itu, terdapat juga beberapa sindrom lain yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak pada peringkat usia perkembangan mereka seperti gangguan daya tumpuan dan hiperaktiviti atau ADHD, gangguan spektrum autisma, kelumpuhan fungsi sistem cerebral, sindrom Down, Cornelia dan lain-lain. Semua sindrom ini amat berbeza daripada masalah pembelajaran yang spesifik, tetapi perlu difahami bahawa mereka juga boleh berkongsi untuk memiliki simptom gangguan masalah pembelajaran spesifik itu. Namun, apa yang penting, seseorang individu kanak-kanak itu berisiko untuk mengalami masalah pembelajaran sekiranya mereka tidak dapat mengikuti proses pembelajaran secara normal sepertimana kanak-kanak yang lain pada peringkat umur yang sama. Keadaan yang sama juga akan berlaku jika kanak-kanak itu tertinggal dalam proses pembelajarannya akibat dari kelewatan dalam memenuhi tahap-tahap perkembangan dan pembesaran yang normal, seperti ketinggalan dalam aspek pertuturan dan komunikasi, kemahiran dalam pergaulan sosial, kematangan intelek dan emosi, daya tumpuan dan daya ingatan serta sebagainya. Namun, mereka tetap memiliki fungsi IQ dan kepintaran yang standing dengan individu normal yang lain.
Akibatnya, timbullah pelbagai tanda gejala masalah yang berlaku dalam proses pembelajaran itu seperti sukar untuk memberi tumpuan dan fokus dalam pembelajaran, menjejaskan daya ingatan, tidak memahami pelajaran yang diajarkan, hilang minat untuk belajar, kerap ponteng sekolah, dan akhirnya terlibat dengan pelbagai gejala salah laku sosial. Dalam perkara ini, amatlah tidak wajar bagi sesiapa pun untuk menunjukkan sikap menghukum kanak-kanak tersebut sebagai pemalas dan bodoh. Mereka tidak dilahirkan untuk menjadi pemalas atau bodoh hanya kerana mereka itu bermasalah, lewat atau tertinggal dalam proses perkembangan dan pembesaran. Apa yang terbaik ialah semua pihak perlu mengambil iktibar dalam perkara ini bagi membantu mereka ini agar dapat meneruskan kehidupan secara normal. Bukan sesuatu yang mustahil bagi kanak-kanak atau individu bermasalah seperti ini untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Mereka berupaya untuk belajar, berpasangan dan berkerjaya. Apa yang mereka perlukan ialah sokongan dari semua pihak dan mereka memerlukan pendekatan yang khusus dengan kaedah yang strategik dalam membimbing dan mendidik mereka sehingga berjaya.
Apa yang masyarakat perlu lakukan bagi membantu mereka? Memandangkan kes berkaitan masalah pembelajaran ini semakin meningkat, masyarakat dan komuniti perlu berganding bahu bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap penjagaan dan pendidikan serta peluang kemahiran dan kerjaya untuk masa depan mereka. Perlu diwujudkan satu pelan strategi ke arah menyeimbangkan di antara peningkatan kes dan tahap kesedaran masyarakat. Kesukaran berkaitan masalah pembelajaran dan tahap perkembangan kanak-kanak dan individu perlu diuruskan bukan sahaja pada peringkat keluarga, tetapi juga melibatkan keputusan politik dan keutamaan atau kepentingan masyarakat serta negara. Pertamanya, kesukaran dalam masyarakat akan terus wujud selagi mana pertambahan kes itu tidak disusuli dengan peningkatan tahap kesedran. Ia perlu seimbang dan keseimbangan itu perlu dibantu oleh pelbagai program kesedaran di samping penyediaan prasarana dan fasiliti yang mencukupi bagi golongan ini.
Keduanya, umum mengetahui bahawa masalah pembelajaran dan perkembangan ini bersifat sepanjang hayat. Oleh itu, penyembuhan dan pemulihan bukanlah matlamat utama. Malah, apa yang paling utama ialah mengoptimumkan keupayaan mereka sebagai individu yang efektif melalui program latihan dan kemahiran diri, dan pada masa yang sama ia akan membantu mereka untuk lebih mudah beradaptasi, yang pada akhirnya akan membantu menuju kepada proses penyembuhan juga. Apa yang penting di sini ialah untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk terus hidup secara berdikari. Ia bukan mustahil kerana tahap IQ dan kepintaran intelek mereka masih lagi berfungsi secara baik. kesungguhan politik memainkan peranan penting
Ketiga, memandangkan masalah pembelajaran dan gangguan perkembangan ini bersifat sepanjang hayat, ia memerlukan satu gerakan bersepadu pelbagai agensi pihak berkuasa secara berterusan. Non stop dan bukan full stop. Dalam perkara ini, umum memaklumi ada 4 kementerian utama, iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang terbabit secara langsung dengan kelompok individu bermasalah pembelajaran dan gangguan pembesaran ini. Memang benar telah banyak urusan kebajikan dan fasiliti berkaitan dilakukan untuk kebaikan dan kemudahan mereka.
Namun terdapat banyak juga isu dan persoalan terkini yang perlu diselesaikan oleh jabatan-jabatan tersebut. Umpamanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau JKM perlu memperluaskan lagi skop keutamaan penjagaan orang kurang upaya dan bukan sekadar mengeluarkan kad OKU atau mewujudkan satu pengkalan data yang bukan hanya mengumpul bilangan kes, tetapi juga menggunakan sepenuhnya pengkalan data yang ada tersebut bagi memantau progres mereka dan menyemak perlaksanaan perancangan pendidikan individu dan kerjaya golongan itu dapat dipenuhi sepanjang hayat. JKM juga boleh bekerjasama dengan agensi pencari pekerjaan yang sanggup untuk menerima golongan ini sebagai pekerja, sesuai dengan keupayaan masing-masing, setelah mereka tamat sesi pengajian, dan bagi mengelakkan golongan ini dari terus terpinggir.