Isu perubahan iklim dan pemanasan global bukan merupakan isu yang baharu. Sebaliknya, isu ini telah lama berlaku dan kian kritikal disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya, ekoran aspek tadbir urus hutan yang tidak cekap sehingga ekosistem berkenaan semakin mengecil akibat penebusgunaannya secara berleluasa untuk pelbagai tujuan seperti pembangunan infrastruktur, perumahan, pertanian dan perladangan.
Dalam konteks ini, pengukuran dan penilaian secara menyeluruh dalam aspek tadbir urus melibatkan pemeliharaan dan pemuliharaannya sama ada memenuhi tuntutan syariah atau sebaliknya amat penting bagi memacu kelestarian alam sekitar secara berterusan pada masa hadapan.
Konsep tadbir urus alam sekitar yang baik seharusnya berpandukan kepada maqasid syariah atau matlamat syariah, yakni meliputi dua aspek utama, iaitu meraih kemaslahatan dan mencegah kefasadan. Hal yang demikian kerana Islam mendidik umatnya supaya memahami bahawa pemuliharaan dan pelestarian alam sekitar merupakan kemaslahatan dasar yang menjadi asas tegaknya kehidupan manusia di atas muka bumi.
Perspektif maqasid syariah perlu dihayati dan diaplikasikan bagi menangani isu tadbir urus alam sekitar dalam usaha mitigasi perubahan iklim global pada hari ini. Dalam prinsip maqasid syariah, Imam Ghazali berpandangan bahawa perkara yang boleh membawa kemudaratan perlu dielakkan.
Konsep Maqasid Syariah dalam melestarikan alam sekitar merangkumi semua aspek kehidupan manusia termasuklah ekonomi, sosial, politik dan intelektual. Prinsip asas syariah yang diterapkan oleh Baginda Rasulullah SAW agar manusia tidak melakukan dan mengekalkan kerosakan ke atas alam sekitar. Selain itu, teras utama bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara memerlukan kepada pengisian konsep ilmu dan amalan yang tidak merosakkannya dan kepelbagaian ekosistem yang ada di dalamnya. Selain itu, fokus utama yang perlu diberi perhatian serius adalah dari aspek tadbir urus alam sekitar yang merangkumi prinsip penting sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam seperti ketelusan, akauntabiliti, integriti, dan keberkesanan.
Terdapat beberapa mekanisme yang boleh dipertimbangkan dalam aspek tadbir urus mitigasi perubahan iklim. Antaranya dengan mengembang dan menghidupkan sistem hima (kawasan perlindungan). Hima diiktiraf sebagai sistem pengurusan sumber asli berasaskan komuniti, yakni menggalakkan penghidupan mampan, pemuliharaan sumber dan perlindungan alam sekitar.
Walaupun telah ada inisiatif negara dalam meneruskan semangat Hima, yakni dengan mewartakan taman-taman rekreasi dan hutan lipur sebagai kawasan perlindungan, namun ia dilihat masih belum mencukupi dan perlu diperbanyakkan lagi. Dalam masa yang sama, aspek penguatkuasaan dan tadbir urus kawasan-kawasan yang digazetkan itu perlu diperkasakan lagi agar tidak berlaku pencerobohan, sekali gus dapat memelihara keseimbangan alam sekitar dan ekosistem.
Mekanisme kedua adalah dengan mempromosi dan membangunkan wakaf alam sekitar bagi memastikan kelestariannya. Kesedaran agama semata-mata tidak memungkinkan alam sekitar dan ekosistem dijaga secara mampan dan penuh tanggungjawab. Sebaliknya, kekurangan sumber, tenaga dan dana mungkin menyebabkan banyak urusan dibebankan kepada tampuk pemerintahan, dan ini pastinya menyebabkan tadbir urus tidak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Selain itu, institusi wakaf seharusnya menjadi instrumen yang mendidik masyarakat untuk berkorban bagi memastikan kemaslahatan sejagat. Rasulullah SAW banyak menekankan kewajipan manusia sebagai hamba di atas muka bumi untuk menjaga alam sekitar, termasuk ekosistem hutan, flora dan fauna. Hatta, di saat genting dalam peperangan sekalipun, Rasulullah SAW mengingatkan untuk tidak merosakkan alam sekitar. Begitu juga, pada saat kesukaran mengerjakan haji dan umrah, Rasulullah SAW juga mengingatkan supaya tidak merosakkan flora dan fauna. Secara jelas ini memberi cerminan betapa pentingnya aspek penjagaan alam sekitar serta segala komponen yang ada di dalamnya dari kaca mata Islam, dan instrumen wakaf boleh membantu melaksanakan amanah ini dengan lebih baik.
Mekanisme ketiga pula adalah dengan menyepadukan maqasid syariah dalam Akta Perhutanan Negara 1984. Peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam akta ini menggambarkan secara jelas bahawa kerajaan memberi perhatian yang serius dalam melindungi ekosistem hutan. Kefahaman yang mendalam terhadap pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan hutan sangat penting. Hal yang demikian kerana, ia secara langsung dapat membantu usaha kerajaan khususnya Jabatan Perhutanan untuk mengurus tadbir dan menjaga sumber hutan dengan lebih sistematik dan efisien bagi mengeluarkan hasil yang ekonomik dan menjaga kestabilan alam sekitar selaras dengan konsep pengurusan hutan secara lestari.
Ketiga-tiga mekanisme berkenaan perlu diperhalusi dan dipertimbangkan agar menjadi sebahagian perkara penting dalam memastikan aspek tadbir urus alam sekitar secara mampan dapat dicapai, sekali gus menangani perubahan iklim global dengan lebih berkesan. Maqasid syariah menyarankan matlamat utama pelestarian alam sekitar dapat dicapai dengan meraih kemaslahatan dan mencegah kefasadan. Justeru, komponen meraih kemaslahatan di sini boleh dicapai dengan mengoptimumkan interaksi kelestarian secara bermatlamat, berhemah, bersederhana dan berdasarkan fungsinya.
Manakala, komponen mencegah kefasadan pula boleh digarapkan melalui larangan-larangan dan langkah kawalan yang digazetkan dalam Akta Perhutanan Negara 1984 yang menitikberatkan aspek kelestarian ekosistem hutan di Malaysia. Terdapat beberapa teras maqasid syariah yang perlu dihayati dan dipraktikkan dalam aspek tadbir urus, khususnya dalam mobilisasi Akta Perhutanan Negara 1984 dan akta-akta lain yang berkaitan pelestarian alam sekitar yakni: (i) memelihara keseimbangan sistem kehidupan manusia serta mengekalkan kebaikan yang ada padanya; (ii) bertoleransi dan adil; dan (iii) sentiasa melakukan proses pemulihan dan penambahbaikan dalam segenap aspek kehidupan, baik dalam konteks individu, masyarakat mahupun negara.